Pages

Thursday, September 3, 2009

Tragedi Semalam



Semalam saya membuat rujukan di makmal IT di perpustakaan. Cuba menyiapkan laporan makmal kimia organik. Namun masih ada yang terbengkalai. Saya bercadang untuk selesaikan pagi ini juga.



Namun, sedang saya mencari ‘pendrive’ putih jenama ‘adata’ kesayangan saya, ternyata saya tidak menemuinya. Jelas saya telah tertinggal di perpustakaan ketika memindahkan data. Saya terkedu sejenak. Semalam saya memang sentiasa mengingatkan diri tentang ‘pendrive’ ini. Setelah saya telah pun ada kehilangan ‘pendrive’ sebelum ini. Turut di perpustakaan.



Saya cuba memujuk diri. Sungguh, ‘pendrive’ kali ini bukan saja menyimpan data-data untuk saya menyiapkan laporan makmal saja, malah tersimpan satu kenangan yang begitu lama. Tidaklah terlalu lama, tapi ia telah menemani saya selama lebih dua tahun saya menuntut di sini. Sentiasa menjadi pembantu saya dalam menyiapkan tugasan-tugasan sepanjang pengajian, baik akademik mahupun bukan. Sungguh, ia terlalu banyak khidmatnya. Malah, walaupun warna putihnya tidak sekilau waktu baru dibeli, bagi saya ia masih bersinar. Dan lebih unik lagi, jarang-jarang saya ada melihat orang memiliki ‘pendrive’ seperti ini. Ia benar-benar bermakna.



Namun, takdir Tuhan siapa saja mampu melawan? Saya cuba mencari redha dan sabar. Ah, sedangkan manusia turut akan Dia ambil pergi, apatah lagi hanya sebuah ‘pendrive’ lama? Terkenang bicara mama saat kecil ketika belon yang baru dibeli pecah saat riang bermain. Saya sedih dan menangis. Tentu sahaja bagi anak kecil, belon yang pecah yang cuba dijaga dan menemani keriangan bermain sesuatu yang mencuit perasaan. Tapi mama memujuk. Ujar mama, ‘orang yang kita sayang turut akan pergi juga, apatahlagi belon yang begitu mudah untuk pecah.’ Saya terhenti menangis. Entah mengapa dalam usia sekecil itu saya mengerti bicara mama. Saya masih tidak mengerti sabar dan redha namun saya seakan memahami bagaimana kita mampu untuk redha dan sabar dengan ketentuaan-Nya. Sungguh, setiap sesuatu itu datang daripada-Nya dan akan kembali kepada-Nya.



Saya hilangkan resah dan jiwa yang terluka dengan kehilangan barang yang berharga itu. Saya melihat sekitar kamar. Sungguh, semalam beberapa teman datang bertandang dan kamar saya jelas sekali tidak sedap untuk mata memandang. Saya sibuk dengan kuliah dan tugasan sepanjang minggu dan tergesa-gesa pulang ke rumah di hujung minggu. Keadaan kamar memang kurang saya perhatikan. Namun segan pula bila ada yang datang bertandang kerana urusan.



Akhirnya saya selesai juga mengemas semuanya. Tidaklah sesukar mana kerana sifat saya yang suka meletakkan barang tanpa aturan menjadikan keadaan kamar sedikit tidak teratur dan memakan banyak ruang. Hanya beberapa ketika menyusun atur kembali, ia selesai juga. Saya turut merasa senang dan lapang. Juga ingatan terhadap ‘pendrive’ kesayangan sedikit pudar.



Hari ini saya akan ke perpustakaan juga. Mana tahu jika ada rezeki, saya akan kembali memperoleh ‘pendrive’ yang saya terlupa itu. Moga-moga ia masih kekal ditempatnya atau disimpan oleh pustakawan yang bertugas. Amin.....pohon doa dari semua.



0 comments: