WASHINGTON 9 Sept. - Presiden Barack Obama memberi amaran kepada remaja Amerika Syarikat (AS) tentang bahaya mendedahkan terlalu banyak maklumat peribadi di dalam laman-laman jaringan sosial Internet, memandangkan ia boleh mengganggu hidup mereka pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian selepas kajian terbaru mendapati semakin ramai majikan AS yang merujuk ke laman seperti Facebook dan Myspace untuk memeriksa latar belakang pemohon kerja.
Dalam satu sesi soal jawab dengan sekumpulan pelajar sekolah berusia 14 dan 15 tahun, Obama ditanya oleh seorang pelajar tentang bagaimana menjadi Presiden.
"Saya akan beri kamu satu tip yang mudah dipraktikkan. Pertama sekali, kamu semua perlu berhati-hati dengan apa yang kamu hantar di dalam Facebook, kerana dalam era Youtube ini, apa saja yang kamu lakukan boleh dicungkil kembali pada masa akan datang," ujarnya.
"Semasa muda, kamu melakukan banyak kesilapan dan perkara-perkara bodoh.
"Banyak telah saya dengar tentang anak-anak muda yang menghantar pelbagai perkara ke Facebook dan apabila mereka mahu memohon kerja, mereka telah diselidik," tambahnya.
Obama turut merujuk kepada beberapa 'kesilapan' yang pernah dilakukannya semasa berada di bangku sekolah, walaupun tidak menerangkan secara spesifik.
Sebelum ini, dia pernah mengakui pernah terlibat dengan dadah semasa muda.
Dalam satu kaji selidik, sebanyak 35 peratus majikan mengakui menemui kandungan di laman web yang mempengaruhi mereka untuk menolak permohonan kerja, seperti gambar yang tidak senonoh, maklumat mengenai tabiat minuman keras dan dadah atau sikap mengutuk majikan atau rakan sekerja terdahulu.
White House kerap menggunakan Facebook, Twitter dan lain-lain laman sosial untuk berkomunikasi secara terus dengan rakyat Amerika. - Reuters
sumber di sini
Thursday, September 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment