Pages

Showing posts with label pandangan. Show all posts
Showing posts with label pandangan. Show all posts

Thursday, February 14, 2013

Kekasih



Cinta sering disalah ertikan. Maka cinta perlu diertikan. Hanya kerana tidak mengerti tentang cinta, jangan semua kekasih menjadi mangsa.

Pasti cinta bukan sekadar mengenang hari kekasih tapi dinamakan hari kekasih kerana wujudnya makhluk bernama cinta. Maka adakah salah untuk meraikannya kerana wujudnya cinta yang kembang mekar di dalam jiwa?

Mengulang kisah Qaisy yang gila dan Laila yang derita kerana mereka menanggung rasa cinta yang membara. Bukan mahu membuka hikayat. Namun kisah cinta agung karangan sufi ini membawa nilai tersendiri. Betapa cinta adalah ujian yang begitu menduga kerana di dalamnya terkandung nafsu dan percaya.

Silap aturan kepercayaan bisa dirobek nafsu yang bermaharajale. Sehingga menyangka ada penyatuan abadi dengan bertindak ‘kamikaze’bagai penyelesaian cinta dua darjat Romeo dan Juliet. Lebih derita bila kepercayaan terus musnah bila cinta hanya sekadar terkandung nafsu semata.

Maka mengertilah yang diperangi adalah nafsu yang membelenggu cinta. Bukan rasa percaya yang mengawalnya. Jika jauh di sudut jiwa, ada kepercayaan yang begitu padu berupaya mengawal hawa nafsu, silakan sahaja untuk bercinta. Tapi jika nafsu lebih terpercaya, maka hati-hatilah bermain cinta kerana bakarannya mampu melebur apa saja.

Sekadar menawar perbezaan, bahawa cinta itu bukan sekadar dua gender berlawanan. Bukan sekadar terukir antara Qaisy dan Laila atau Romeo dan Juliet. Kisah cinta yang melatari kehidupan sahabat zaman anbiya memberi teladan bahawa manusia yang beragama itu hidupnya adalah cinta. Sehingga mereka percaya untuk mengorbankan apa sahaja demi rasa cinta yang telah disemai dalam jiwa.

Mencontohi para sahabat yang saling bercinta, kami raikan hari kekasih ini. Bukan mahu menyokong sambutan mengenang valentine, tapi mengerti bahawa sahabat adalah kekasih yang perlu untuk diraikan. Serta cinta perlu diertikan!

kisah laila majnun di sini

Tuesday, January 15, 2013

Listen, Listen, Listen, About Our Right!


Okay. Tak mudah nak menulis dalam bahasa melayu penuh tapi kerana saya ada rasa ‘hormat’ pada bahasa kebangsaan, saya akan cuba.

Saya yakin memaparkan kesalahan dan kesilapan manusia lain adalah satu usaha untuk memalukan dan menjatuhkan maruah individu terbabit. Pasti, saya tak akan setuju dengan tingkah laku seperti itu. Tapi kalau seseorang itu secara tak sengaja mendedahkan keburukan dan kelemahan diri semata-mata berniat untuk menjatuhkan orang lain, bagaimana ye?

Okay, saya bukan mufti untuk keluarkan fatwa tapi saya pening dengan sikap sesetengah manusia yang sengaja buang sampah merata-rata tapi selepas itu akan buang masa untuk kutip sampah tersebut satu persatu semata-mata mahu menunjuk-nunjuk betapa rajinnya dia mengutip sampah walaupun dia buang sampah pun depan orang ramai juga. (Betul kah perumpamaan ini?)

Okay, berbicara soal hak. Mari kita merenung seketika hikmah penciptaan manusia. Selalu kita dengar beza manusia dan haiwan adalah akal. Bukan saya tidak setuju, memang benar, tapi satu lagi perbezaan terpenting antara manusia dan binatang adalah hak. Manusia diberi keistimewaan oleh Allah kerana manusia memiliki hak manakala haiwan tidak.

Hak apa? Hak kebebasan, hak memilih, hak bekerja, hak belajar, hak makan, hak minum, hak tidur (okay, bahagian ini adalah hak haiwan juga), hak bercinta, hak merindu, hak bersuara, hak bertanya, hak meluahkan pendapat, hak berkata-kata, hak memegang mikrofon, hak menjerit, hak merampas mikrofon? Hak menghalau keluar? Hak memotong hujah? Hak menggunakan bahasa rojak? Hak menepuk tangan? Hak bersorak? Hak berdiam diri?

Okay, banyak lagi hak dan saya malas nak senaraikan. Tentu itulah keistimewaan manusia yang Allah ciptakan denganpelbagai hak berbeza dengan binatang malah hak untuk membela nasib binatang juga ada pada manusia serta hak untuk menyeksa binatang juga ada pada manusia (kenapa saya gunakan hak bukan pilihan?). Sebab isunya manusia selalu berbicara soal hak asasi, dan segala pilihan yang ada di dunia, baik dan buruk diangkat menjadi hak ASASI. (Bukan yang asas pun jadi hak asasi)

Paling penting adalah hak beriman. Inilah yang paling membezakan manusia dan haiwan kerana istimewanya haiwan, mereka dicipta tanpa hak untuk beriman lalu mereka semuanya tunduk dan patuh kepada Allah sedangkan ruginya manusia yang punya pelbagai hak perlu memilih untuk mengimani apa?

Maka (dengan izin) ‘human right’ bukan sekadar isu hak asasi manusia tapi saya lebih suka menggunakan istilah (dengan izin) ‘karamah insaniyyah’ ata kemuliaan insan. Manusia yang berhak adalah manusia yang diberikan kemuliaan untuk menjalani kehidupannya sebagai manusia.

Memuliakan manusia bukan sekadar memandang wajahnya, tersenyum, bersalam, dan sebagainya, tapi memuliakan manusia adalah memberikan hak kehidupan yang sewajarnya dia peroleh sebagai manusia.
Jika dia anak, dia berhak mendapat hak sebagai anak. Jika dia pekerja, dia berhak mendapat hak sebagai pekerja. Jika dia pengundi, dia berhak mendapat hak sebagai pengundi. Jika dia pelajar, dia berhak mendapat hak sebagai pelajar. 

Persoalannya, bagaimana menentukan hak tersebut? Bagi orang Islam, saya akan mengajak untuk kembali kepada Al-quran dan sunnah, jadikan sirah nabawi sebagai pengajaran yang berguna. (negara Islam Madinah patut dijadikan hujah jika melawan hujah seorang Islam yang jahil kerana sejahil-jahil orang Islam itu, jika dia masih mahu mengucap dua kalimah syahadah, pasti tidak boleh membangkang negara Islam Madinah yang diasaskan Rasulullah sebagai hujah bandingan dan pasti kita tidak boleh kembali ke zaman itu untuk hidup dalam negara tersebut.) Namun, bagi bukan Islam, hak ditentukan dengan pelbagai cara dan itu sama sekali tidak salah kerana selagi anda bergelar manusia, anda berhak! Dan saya percaya itu.

Sebenarnya dalam isu video forum mahasiswa di UUM ini, saya tidak merasa kasihan langsung (okay, adalah sedikit) kepada gadis India yang dinafikan hak untuk berbicara tapi lebih kepada rasa kagum melihat keberaniaannya menyanggah hujah penceramah yang menunjukkan betapa dia sedar hak dia sebagai pendengar dan juga manusia pastinya. Tapi, saya simpati dengan penceramah muda yang bersungguh-sungguh bersuara tapi tidak memahami bahawa dia sedang menafikan haknya sendiri sebagai manusia yang bebas dan merdeka dengan membiarkan haknya diinjak dengan menjadi taksub kepada satu sistem yang sama sekali menginjak-injak hak manusiawi. 

Okay, manusia bukan robot, bukan mesin, manusia berhak untuk memberi sokongan dan memberi bantahan. Kenapa mahu menafikannya jika benar anda memperjuangkan hak. 

Baik, bersyukur. Bagus bersyukur. Malah dituntut dalam Islam. Dapat telefon pintar pasti lebih-lebih lagi perlu bersyukur. Tapi, untuk bersyukur juga hak manusia. Hak manusia untuk rasa bersyukur dangan apa yang ada sekarang dan rasa tak cukup dengan apa yang ada sekarang. Kalau mahu mengajar syukur, sila edarkan telefon bimbit tanpa skrin sentuh dan warna yang hanya hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan dan berbalas mesej. Kenapa mahu di edar telefon mahal? Itu bukan ajaran syukur, itu ajaran tidak cukup dan meminta untuk kehidupan yang lebih baik.

Saya sekadar menggunakan hak  yang ada untuk memberikan pandangan. Anda sebagai manusia berhak untuk menerima atau membantahnya. Terima Kasih!

Link video di sini


Sunday, January 13, 2013

KL112 : Bukan sekadar jumlah kehadiran....


Perjalanan kami bermula dari ERL Putrajaya...

'Tak pernah ERL seramai ini,' teman saya bersuara. Mata meliar memerhati penumpang ERL yang menyarung t-shirt merah, hijau dan kuning sambil tangan kejap memegang tiang memaut diri (berdiri, tiada tempat duduk kosong dan ramai berdiri). Saya cuma berdiam kerana pertama kali menaiki ERL dan tidak mampu membuat perbandingan. Namun senyuman mengiringi perjalanan keretapi letrik pantas menuju KL sentral.

KL sentral menghadapi fenomena warna serupa. Ditambah ungu dan oren. Tujuan kami adalah hotel premier. Tempat keluarga teman saya ini menginap. Keluarganya begitu semangat sehingga menempah bilik hotel. Saya pula berdepan keraguan melepaskan diri oleh keluarga. Ibu saya bukanlah penyokong Barisan Nasional, namun, bila saluran informasi hanya tv. Keresahan dan kebimbangan turut menyelinap dalam hati, tambahan sifar kefahaman tentang himpunan yang akan dianjurkan. Tapi, saya memang keras untuk lembut mengakur dan saya yakin ibu pasti memahami penglibatan saya ini. Pasti, beliau memberi keizinan dengan seribu pesanan.

Keluar dari KL sentral, ragu mencari arah. 2 orang lelaki berkuturunan India pertengahan usia laju melangkah, saya tegur menanya arah. Pasti, mereka juga keliru di mana terletak pasti hotel tersebut. Pasti, laluan ke stadium merdeka tujuan mereka sambil bertanya arah sebenar perjalanan kami. Saya mengangguk iakan. Itu misi utama namun, kami perlu mampir ke hotel tersebut meletakkan beg pakaian yang dibawa teman saya dan singgah solat zohor.

Antara yakin dan percaya, kami melangkah bersama. Berbual basa-basi dengan 2 uncle yang saya terlupa bertanya nama. Berbicara soal kepincangan sistem pentadbiran dan keperluan untuk berubah. Saya menghadapi sedikit kesulitan menghadam kefasihan berbahasa Inggeris mereka. Mengeluh kelemahan diri tidak menguasai Inggeris sebaiknya atau kesal betapa bahasa Inggeris begitu rutin sehingga menjadi pertuturan harian yang lebih selesa diguna pakai dari bahasa kebangsaan. Namun, saya hanya membalas dengan senyuman dan ucapan terima kasih ketika hotel premier yang dituju kelihatan susuknya. Pastinya walau berbeza keturunan dan budaya, kami berkongsi idealisme serupa. Terasa perpaduan warga Malaysia terjelma.

Usai solat, dari jendela hotel di aras 14, kelihatan 'barisan rakyat' bergerak panjang dan padat di atas jalan. Teruja untuk menyertai. Berkobar untuk menggabungkan diri. Lantas, kami bergegas ke lif menuruni hotel dan melangkah pantas ke arah khalayak rakyat.

Adakah istilah untuk menggambarkan sangat sangat sangat ...... ramai ini? Saya jarang menyertai demonstrasi jalanan. Namun, pasti inilah demonstrasi (jika sesuai istilahnya) paling ramai pernah di adakan di Malaysia. Syukur, Saya dapat menyaksikan dan menjadi sebahagian daripadanya.

Setelah memetik kamera untuk gambar dan video. Kami menggabungkan diri. Melangkah perlahan mengikut arus manusia. Sesak, terhimpit. Namun aman. Namun selamat.

Saya bukan penggemar demonstrasi. Berpanas, berhimpit, apatah lagi bercampur lelaki wanita. Lemas dan rimas malah resah tidak dapat menjaga batasan dan maruah. Namun, entah bila bermula, saya mendapat perspektif berbeza soal himpunan demonstrasi baik di jalanan mahupun dataran.

Sambil melangkah, menjaga diri dan air wuduk yang masih lagi ada usai solat zohor tadi. Dalam sorak dan laungan semangat, saya dan teman sempat bergurau...

'tak terjaga wuduk kita.' Senyum.

'latihan untuk mengerjakan haji.' Sengaja saya memberi alasan. Seorang ustaz yang kami kenali lalu. Ketika menegur dia selamba berbicara, 'latihan tawaf dan padang arafah'. Kami terdiam sejenak sebelum tertawa perlahan. Bukan kami sahaja memikir seperti itu.

'Iktibar dari demonstrasi...
pertama, latihan untuk pelaksanaan haji,
kedua, reunion sahabat dan teman lama," kami senyum. Pandangan berlegar melihat beberapa peserta perarakan menyerbu sebuah van sarat dengan minuman untuk jualan.

'dan peluang perniagaan.' kami ketawa. Riang sebenarnya berdemo ini.

Memandang keliling tiada yang tertekan terhimpit dan tersepit. Semua melangkah tenang penuh semangat. Bila ada kesulitan ramai bertolak ansur memberi laluan dan menghulur bantuan.

Perjalanan berterusan dengan aman. Kelihatan beberapa kenderaan yang tersepit di kalangan demonstran. Melihat penumpang di dalam, tenang menunggu redha perarakan atau sabar memusing kenderaan dengan senyuman keluar dari khalayak demonstran. Ah, warga kita memang penuh kesedaran dan pemahaman, isu sehari terperangkap dalam lalulintas demi kebebasan dan kelestarian hidup rakyat bukanlah isu besar yang sengaja diperbesarkan golongan tertentu.

Sehingga tiba di persimpangan monorel hang tuah menuju ke satadium, perjalanan kami terhenti. Ya, laluan itu terlalu padat. Kami cuba juga melangkah. Namun, tidak berjaya. Hasrat untuk ke stadium terpaksa di padamkan. Dalam hati mengutuk diri keluar terlalu lewat bila ramai yang menuju stadium awal-awal pagi lagi.

Di persimpangan itu, beberapa wakil NGO dan Pakatan Rakyat memberikan ucapan. Saya cuba memberi perhatian. Tapi sedikit sukar. Namun ada ucapan seorang wakil menarik penumpuan saya, '...inilah perhimpunan yang diadakan oleh rakyat dan ditaja oleh rakyat.....'

Ya, ini adalah program yang ditaja oleh rakyat. Saya hadir dengan wang saku yang terhad dan tawakal yang menggunung tinggi. Tanpa paksaan dan tanpa tajaan pastinya. Kehadiran di sini dari seluruh ceruk tanah air tanpa sebarang huluran kewangan. Melihat semangat generasi warga emas dengan tongkat dan di papah anak-anak. Beralih pula melihat anak-anak kecil melangkah yakin tanpa rungutan apatah lagi tangisan. Ini bukan persoalan biasa, luar biasa melihat taburan generasi yang rela dan redha turun ke jalanan menunjukkan  harapan dan impian untuk berubah. Saya terfikir, adakah ini suasana ketika kemerdekaan di umumkan lebih 50 tahun lalu. Bila berduyun-duyun warga keluarga meraikan pembebasan sebuah negara yang sekian lama tertindas oleh penjajahan. Terus tertanya-tanya, adakah suasana ini menggambarkan selama lebih 50 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan, rasa tertindas serta kebebasan yang di injak melilit kehidupan rakyat hingga memaksa mereka keluar untuk menuntut kebebasan itu kembali?

Teman menggamit untuk kami bergerak pulang. Maaf, saya tidak menanti hingga himpunan bersurai dan melangkah pulang lebih awal. Ketika melangkah saya mencadangkan melencong ke Petaling Street mencari tempat mengisi perut. Baru terasa perut berkeroncong, kerana saya cuma sempat bersarapan pagi tadi.

Berjalan sekali lagi tanpa memahami arah laluan sebenar. Kami berdua memang dari selangor, hidup dalam kebanyakan usia di selangor, namun, berdepan jalan-jalan di kuala lumpur, kami masih seperti rusa masuk kampung. Sepanjang jalan, demonstran dengan baju warna tema merah, hijau, kuning, oren dan banyak lagi mengisi jalan-jalan. Kebanyakan kedai tutup, tidak pasti kerana demonstrasi atau hari cuti, tapi pasti kedai makanan yang di buka penuh pelanggannya. Kami terus melangkah mencari tempat sesuai mengisi perut.

Akhirnya, papan tanda marry brown menggamit kami. Saya tidak begitu gemar menikmati marry brown, namun, tidak begitu mudah mencari medan selera lain, saya ambil keputusan untuk mengisi perut di situ. Kelihatan ramai juga demonstran yang lain turut memilih restoran makanan segera ini.

Tidak ketinggalan dua anggota polis lengkap seragam turut menikmati burger dan ayam goreng di marry brown ini. Saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama terbaik sepanjang himpunan. Lihat, jika tiada provokasi, polis yang bertugas turut boleh menjamu selera dengan tenang dan kenyang... =)

Tanpa sedar, rupanya restoran ini berdepan dengan lrt pasar seni yang bersambung dengan stesen komuter kuala lumpur. Saya akan bergerak pulang ke bangi dan teman saya akan menuju kembali ke hotel premier. Kami berpisah. Saya meneruskan langkah sendiri membeli tiket komuter.

Terpegun tiket manual komuter berupa resit cetak ditulis tangan oleh penjaga kaunter. Senyum lagi dan pandangan tertebar melihat di mana-mana demonstran berada.

Komuter berjalan lancar. Barangkali saya agak awal pulang. Masih beratus ribu di stadium dan sekitar. Sambil menanti komuter dan sepanjang perjalanan, update himpunan saya ikuti melalui facebook dan blog.

Tiba di stesen ukm, turun bersama saya, peserta perarakan lainny. Dari mula perjalanan hingga penghujung ada peserta himpunan bersama saya. Dan bilangannya bukan seorang dua..tapi lebih sepuluh orang. Terfikir, perarakan himpunan kebangkitan rakyat tidak bermula di sekitar KL di check point yang telah ditentukan tapi bermula sepanjang perjalanan dari seluruh pelusuk negara!

Pasca perhimpunan, jumlah kehadiran menjadi isu untuk dipolemikkan. Pasti, itulah 'outcome' sebuah perhimpunan, bilangan menampilkan kejayaan dan kegagalan. Saya akui, jumlah itu menggoda saya untuk turut serta. Namun, KL112 punya makna lebih dari sekadar mengira jumlah kehadiran....

Gambar-gambar yang sempat di rakam (saya akui perlu masuk kelas fotografi...huhu)

dari tingkat 14 hotel premier

sebelum menggabungkan diri

tak pasti hujung pangkal

ada sisters, bergegas melintas untuk bergabung...




antara polis yang terlibat. Yang sempat ambil gambar...byk lagi sebenarnya...
terima kasih dalam melancarkan lagi perjalanan perhimpunan.. ^_^








kebetulan.. (tiz zaqyah tak terlibat dalam himpunan kali ini...may be lain kali...^_^)












di marry brown, demonstran yang beratur memesan makanan, gmbar sebahagian bendera pas milik demonstran yang menjamu selera di meja sebelah. (saya bukan ahli parti politik, so, tak miliki sebarang bendera parti ^_^)

tiket manual komuter untuk pulang ke bangi (stesen ukm)

Friday, January 11, 2013

Pilihan


Tamat kertas terakhir. Saya berfikir untuk membuat pilihan, bagi meredakan tekanan musim peperiksaan. Antara tidur, membaca novel, menonton filem atau keluar bersiar-siar, yang mana akan saya lakukan dahulu?

Hidup, mana pernah sepi dengan pilihan, dari memilih warna berus gigi sampai memilih warna kulit calon isteri/suami. Semua perlu dipilih. Kadang-kala memang mudah, dan adakala sangat sukar.

Seorang sahabat bertanya pilihan untuk menyambung pengajian, menyemak pro dan kontra dalam membuat pilihan. Bukan mudah, tapi mahu atau tidak, pilihan perlu dibuat...langkah perlu di atur ke hadapan.

Melihat ke belakang, saya bertanya dalam diri, pernahkah pilihan yang telah saya lakukan menghadir kesal dalam diri? Bila memikir, saya jarang berfikir panjang dalam menentukan pilihan, seringkali juga pilihan saya dipandu emosi dan situasi semasa. Jarang saya menimbang-tara semasak-masaknya.

Barangkali, dulu saya masih terlalu hijau untuk berfikir panjang, namun, bila usia makin bertambah, saya menyedari ada pilihan yang saya lakukan memberi kesan mendalam. Setakat ini, saya mahu lebih tenang dalam membuat keputusan. Berfikir panjang dan matang. Sesuai usia, saya kalau boleh tidak mahu silap memilih.

Pilihan dan akibatnya bukan dapat diteka. Masa depan bukan mampu diramal setepatnya. Kehidupan memang kadang-kala berdepan kesalahan dan kesilapan juga kecuaian. Manusia cuma makhluk lemah. Saya percaya bergantung pada taakulan akal adalah kekhilafan yang mesti dielakkan pada peringkat awal membuat pilihan.

Saya masih memilih suara hati, cenderung jiwa dalam membuat pilihan. Namun, dalam hati ada ruang nafsu dan iman. Untuk memastikan hati tidak dikelabui nafsu, iman perlu diperkuatkan.

Ada bicara mahsyur, manusia merancang, Tuhan juga merancang, dan perancangan Tuhan itu lebih besar atau mudahnya manusia hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan. Menyerahkan pilihan kepada SI PEMBERI pilihan barangkali satu jalan penyelesaian.

Barangkali juga mengapa solat istikharah itu sangat dituntut. Bukan sahaja untuk menentukan pilihan jodoh pernikahan. Namun, terbabit dalam setiap permasalahan pilihan, keliru antara banyak pilihan, resah kerana pilihan yang ada tidak diberkenan dan buntu kerana tiada pilihan.

Istikharah umpama memberi jiwa dan diri untuk dipimpim dalam jalan Tuhan. Barangkali kita ada keinginan, kita sudah membuat pilihan. Namun, istikharah akan mengembalikan kita kepada pilihan yang membawa kepada kebenaran. Membawa kepada pilihan yang lebih padan dengan kita. Bukankah Allah itu Tuhan yang Maha Pencipta lebih mengetahui tentang hamba-hamba ciptaanNya?

Berbicara selamanya tentang pilihan, saya memilih untuk berhenti menulis setakat ini. Jujurnya, esok saya masih tidak pasti untuk membuat pilihan,  sama ada turun berhimpun, hadir ke bengkel atau sekadar meluangkan masa bersama keluarga yang lama tidak bersua.... barangkali perlu istikharah... =)

Selamat memilih semua!!!

Tuesday, October 30, 2012

Isu 'my name is khan'



Membaca tulisan abang mat saparuddin (Naib Presiden ABIM) berkenaan filem hindustan 'my name is khan' buat saya terfikir sejenak. Semasa filem ini ditayangkan petang sabtu yang lalu, kami sekeluarga sedang berbarbeku daging yang korban yang baru diterima. Televisyen memang terpasang tapi kurang di ambil perhatian. Tapi kadang-kala ada babak menarik perhatian menjadi modal perbualan.


Abang sepupu saya berkata bahawa sudah berulangkali beliau menonton filem tersebut dan masih berminat menontonnya. Saya berfikir, saya mengambil masa beberapa lama malah sambung menyambung untuk menghabiskan filem itu. Saya tidak pasti mengapa, barangkali genre yang sedikit berat itu kurang menarik jiwa saya. Dan kami terus menikmati juadah daging korban yang dibakar.


Namun, saat membaca pernyataan abang mat, saya berfikir lama. Ya, memang saya kurang bersetuju dengan beberapa isu yang dibawa tapi seakan tidak begitu peduli kerana baru-baru ini saya turut mendapat tahu, pelakon tersebut, Shah Rukh Khan yang menganut agama Islam berkahwin dengan isterinya yang masih menganut agama Hindu. Saat pertama kali mendengar, pastinya saya kaget tapi kemudian saya memikirkan barangkali itu sudah kebiaasaan di India (pasti saya tidak akan bersetuju cuma itu bukan sesuatu yang dapat saya kawal). Namun, isu penayangan kisah kecelaruan ini di kaca televisyen tempatan, barangkali pernyataan bantahan abang mat adalah satu kewajaran (kerana kita mampu mengawalnya).


Secara tak sengaja juga sebelum saya menulis entri ini saya membaca beberapa entri lama, dan saya terlupa, saya pernah menulis ulasan tentang filem ini...


"After watching this great movie, we without realize want to say it, ‘my name is Amalina, and I’m not a terrorist’. Nothing wrong with it, such a great film, great actors/actress, great story and we will give full moon for it for those who struggle for peace, democracy and freedom on the earth. However, for me the movie is wrong and somehow bring bad influence to viewer. Especially who claim he is muslim and he is not a terrorist.


First, when the movie differentiate people to two, bad and good. No doubt, it is rightful way to distinguish person. However, how to measure the good and bad of the person? There should be a guidance or just by logical or what most people think is good? In Islam, the only thing to differentiate a person with others is ‘taqwa’. The guide which Allah prepared for us. Not by our thinking or assumption.


Next, the marriage. I dont study more whether there is a rule that allow a muslim to marry a non muslim. However, this movie give permission for this kind of situation to happen. And it show it is good thing. Be with love one although different belief. It show, all the religion is equal. You have right to choose and you can choose to live with what kind of life you want. Which I believe wrong and this kind of thinking is support the pluaralisme and liberalisme in belief.


I cry while watching this heartbreaking film. No doubt, its touch my heart. But, I prepare that not all show and come through your mind and heart is true. This film may be made to unite people, to make peace. However, in the same time it give the wrong thinking about Islam. Of course, muslim is not a terrorist but for muslim, is not enough to be a good person but muslim is a person who have ‘taqwa’, follow all Allah asks and forbids.


This film, is another film to spread the logical thinking of modern people with not consider the religious aspect. As a muslim we should learn, we are not terrorist, but why should we just deny but we have to show them who the real terrorist."


sumber di sini


Entri ini di tulis tahun 2010, 2 tahun yang lalu. Pasti saya sudah terlupa tentangnya. Namun, isu yang sama masih ada. Walau ketika itu saya berpandangan ada pengajaran yang baik dapat dikutip, jujur saya rasakan kini ada perkara yang kadangkala kemudaratannya lebih besar dari manfaatnya yang mewajarkan untuk kita menghilangkan kemudaratan tersebut.


Isunya kini, agama Islam tidak di fahami secara menyeluruh dan kepincangan dalam filem yang hebat ini mampu menambahkan kecelaruan fahaman dikalangan masyarakat yang ada dengan mudah menjadi filem cereka ini bahan ber'fatwa'. Kadang-kala kita tersenyum dan tertawa dan dalam hati berbicara 'takkanlah ada...' namun, ia tidak mustahil bagi mereka yang suka mencari jalan mudah untuk berhujah dan mensahihkan pandangan logik akal mereka.


Kesimpulannya, saya menyokong dan bersetuju dengan pernyataan abang mat, banyak lagi cerita-cerita baik yang lain yang boleh diangkat dan dipaparkan. Sewajarnya kisah-kisah yang bercelaru ini di tolak ke tepi (bukan saja 'my name is khan', filem-filem yang mengangkat tema-tema kecelaruan seperti ini perlu di saring terlebih dahulu sebelum di tayangkan di arus perdana).


pandangan abang mat sumber di sini


Tuesday, December 13, 2011

Haram

Saya sebenarnya agak terlewat untuk mengupas tajuk ini. Benar, akhir-akhir ini ralit dengan tugasan akademik hingga gagal mendalami isu-isu semasa dan terkini yang menghiasi hari-hari masyarakat.

Saya baru menonton filem yang sedang hangat di panggung. Tiketnya laris seperti pisang goreng panas. Filem adaptasi sebuah novel melayu yang begitu popular pada akhir era 90-an tidak salah saya atau mungkin juga ketika melangkah ke alaf baru tahun 2000. Lebih kurang begitulah sebab seingat saya, saya membaca 'Ombak Rindu' ketika berusia 13 atau 14 tahun. lebih kurang 10 tahun kemudian filemnya diterbitkan. Memang sekarang musim adaptasi novel ke filem. Tentu sekali lebih realistik bagi pengeluar di mana khalayak penonton filem dan pembaca novel dapat sama-sama ditarik ke panggung yang pastinya dapat meningkatkan berlipat kali ganda keuntungan.



Kebetulan saya menonton filem ini. Sungguh, menonton di panggung bukanlah kegemaran, namun ada kala saya merasa ingin juga menukar sudut pandangan dari monitor netbook 12 inch ke layar perak 3-4 meter persegi keluasannya. Kebetulan 'Ombak Rindu' menjadi pilihan. Ya, setelah sekian lama tidak menulis ulasan, terdetik di hati saya untuk mengulas sedikit bukan kerana 'Ombak Rindu' tapi kerana HARAMnya 'Sebongkah Batu di Kuala Berang'.




Sebab itu saya katakan saya agak terlewat mengupas tajuk ini kerana isu pengharaman ini sudah berlangsung hampir seminggu dan novel ini serta merta menjadi 'hangat' juga di pasaran. Stoknya sudah habis terjual. Jika masih ada yang belum membaca, boleh sewa dengan rate RM 2 sehari dari saya..=). Saya juga masih belum khatam, masih berbaki bab terakhir.

Saya setuju atau tidak dengan pengharaman itu? Karya Faisal Tehrani, katakan saja yang mana tidak menimbulkan isu? rasanya lebih separuh hasil karya dan penulisan beliau menjadi bahan polemik dan kontroversi. Rasanya jika menyingkap isu syiah, sebelum novel ini, banyak lagi karya-karya beliau yang mengungkap makna dan isi yang serupa. Namun, apa yang salahnya jika yang ditekankan cuma kecintaan kepada ahlul bait, Ali, Fatimah, Hassan dan Hussin. entahlah, saya bukanlah mufti yang layak mengeluarkan fatwa, jadi apakah pandangan saya sama sekali tidak penting untuk diperbahaskan di sini. Namun yang pasti novel ini sekadar fiksi dan bukan kitab agama untuk diimani. Jika ada dikalangan kita merasakan novel ini benar, kebenarannya tidak akan mengatasi Quran. Jika ada yang menanggapinya sesat, kesesatannya pasti kerana ia cuma kisah rekaan yang menempelkan fakta-fakta sejarah yang masih boleh dikaji dengan mendalam. Pengharamannya? Tak begitu penting kerana penerbit mahupun penulis sudah beroleh pulangan modal dan keuntungan saya kira dengan novel ini habis dijual dengan dua kali cetakan.

Berbalik kepada 'Ombak Rndu'. Tidak dapat dinafikan novel ini memang punya pengikutnya sendiri sebagai antara novel cinta popular terawal dalam zaman bermulanya demam novel cinta popular. Selepas kemunculan 'Ombak Rindu', khalayak pembaca di Malaysia semakin minat menbaca dan hasil penjualan novel-novel genre ini semakin mendapat sambutan di pasaran. Ya, sebelum Ayat-ayat Cinta memasuki pasaran tempatan dan khalayak mula rambang mata dan seterusnya novel cinta islami popular mengambil tempat carta teratas dalam permintaan bahan bacaan di pasaran. Kini khalayak pembaca sudah semakin jemu dengan jalan cerita novel-novel cinta popular, beralih arah kepada novel cinta islami popular. Ya, mengikut zaman dan trend semasa, masyarakat pembaca berubah selera. Sejak akhir-akhir ini semakin ramai pembaca mula mencari bahan bacaan lebih intelektual dan meninggalkan novel-novel genre cinta picisan kepada genre yang lebih matang dan berfakta. Namun, pastinya novel evergreen 'Ombak Rindu' masih mendapat tempat di hati pembaca dan peminat setianya.

Namun, apakah kaitannya 'Ombak Rindu' untuk di ulas dalam entri ini? 'Ombak Rindu' yang tanpa title haram ini telah pun terjual dengan panasnya. Malah dengan klasifikasi U (umum), filem 2 jam ini menjadi tatapan khalayak penonton dari dalam perut sampai tua kerepot. Isunya, kenapa adegan-adegan yang jelas tidak penting dan haram dilakonkan (bagi pelakon) atau ditonton (bagi penonton)dibiarkan menjadi tayangan umum termasuk kanak-kanak kecil. Saya memang jarang menonton cerita melayu, adakah filem-filem melayu memang begini sifat semula jadinya, menampilkan ketimuran dari sudut keharaman? Ah, novel ini memang novel cinta, tapi perlukah untuk menampilkan adegan cinta keterlaluan dan pemakaian pelakon yang sama sekali mengundang nafsu syahwat. Filem ini mampu saya berikan 10 bintang andai tatacara pemakaian di beri perhatian dan babak-babak dalam kelambu sekadar diganti suasana senja yang indah.

Akui saya menuntut sedikit ilmu penulisan daripada Faisal Tehrani, beliau pernah menyebut tentang teknik cerita barat yang menitik beratkan 'bekas' dan teknik cerita islami yang menitik beratkan 'isi'. Jujurnya, saya akui 'Ombak Rindu' hampir sempurna 'bekas'nya walau bengkok dan kemek di sini-sana tapi pastinya mampu menadah 'isi'. Namun, dari sudut 'isi'. Memang ini bukan karya islami, mengapa perlu di cari 'isi' wahai amalina. Saya mengeluh sendiri. Filem hollywood barat Harry Potter yang mengagung-agungkan 'bekas' itu (malah sesat dengan ilmu-ilmu hitam) juga cuba memberi 'isi' agar kisah itu brmakna. Namun, saya tidak bertemu 'isi' dalam filem ini. Ini membuatka saya mengimbau novel 'Ombak Rindu' sendiri, sungguh genre novel cinta popular sememangnya miskin 'isi'. Itulah sebabnya mengapa begitu mudah khalayak pembaca beralih kepada novel cinta islami popular.

Seoran teman bertanya pendapat saya, dari 5 bintang, berapa bintang yang akan saya berikan kepada filem 'Ombak Rindu' ini, saya terdiam lama, teknik sinematografi, jalan cerita, set pengambaran, segalanya buat saya mahu menyebut 5 bintang tapi dari sudut kostum, lakonan dan isi cerita. Saya merenung teman saya dan dengan yakin saya ucapkan, 'aku tak galakkan untuk orang lain menonton filem ini'.

p/s - penapisan filem adalah dari pihak FINAS? betulkan JAKIM memang tidak ada kuasa? seperti mana KDN yang akan mewartakan pengharaman buku yang disarankan JAKIM, rasanya JAKIM perlu lebih kritikal dalam memastikan filem-filem dan hasilan-hasilan media menepati syarak. Bagi saya bukan isunya 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' perlu haram atau tidak, jika benar sesatnya, haramkan saja. Isu yang lebih kritikal ialah begitu banyak yang jelas haramnya tapi di pandang sebelah mata oleh ramai pihak.