Pages

Showing posts with label diri ini. Show all posts
Showing posts with label diri ini. Show all posts

Wednesday, January 30, 2013

Jatuh


Jatuh. Bila difikir-fikirkan jarang sekali saya 'jatuh'.

Dan sakitnya....saya hilang akal seketika. Dan saya mencari erti, kesakitan yang dilalui, pasti ada hikmah tersembunyi.

Saya masih ingat, peritnya 'jatuh' kali pertama. Menangis sepanjang malam, dan buntu mencari arah tujuan.

Bukan sekali, malah berkali-kali. Terdetik di hati untuk selamanya pergi. Hanya, satu kepercayaan yang menyelamatkan saya bahawa kesakitan ini cuma sementara.

Dan kesakitan ini mengajar saya untuk kembali pada-Nya. Pada nikmat yang begitu banyak dikurnia. Dan saya...seringkali terlupa dan jarang sekali melimpahkan rasa syukur dan cinta.





Sunday, January 13, 2013

KL112 : Bukan sekadar jumlah kehadiran....


Perjalanan kami bermula dari ERL Putrajaya...

'Tak pernah ERL seramai ini,' teman saya bersuara. Mata meliar memerhati penumpang ERL yang menyarung t-shirt merah, hijau dan kuning sambil tangan kejap memegang tiang memaut diri (berdiri, tiada tempat duduk kosong dan ramai berdiri). Saya cuma berdiam kerana pertama kali menaiki ERL dan tidak mampu membuat perbandingan. Namun senyuman mengiringi perjalanan keretapi letrik pantas menuju KL sentral.

KL sentral menghadapi fenomena warna serupa. Ditambah ungu dan oren. Tujuan kami adalah hotel premier. Tempat keluarga teman saya ini menginap. Keluarganya begitu semangat sehingga menempah bilik hotel. Saya pula berdepan keraguan melepaskan diri oleh keluarga. Ibu saya bukanlah penyokong Barisan Nasional, namun, bila saluran informasi hanya tv. Keresahan dan kebimbangan turut menyelinap dalam hati, tambahan sifar kefahaman tentang himpunan yang akan dianjurkan. Tapi, saya memang keras untuk lembut mengakur dan saya yakin ibu pasti memahami penglibatan saya ini. Pasti, beliau memberi keizinan dengan seribu pesanan.

Keluar dari KL sentral, ragu mencari arah. 2 orang lelaki berkuturunan India pertengahan usia laju melangkah, saya tegur menanya arah. Pasti, mereka juga keliru di mana terletak pasti hotel tersebut. Pasti, laluan ke stadium merdeka tujuan mereka sambil bertanya arah sebenar perjalanan kami. Saya mengangguk iakan. Itu misi utama namun, kami perlu mampir ke hotel tersebut meletakkan beg pakaian yang dibawa teman saya dan singgah solat zohor.

Antara yakin dan percaya, kami melangkah bersama. Berbual basa-basi dengan 2 uncle yang saya terlupa bertanya nama. Berbicara soal kepincangan sistem pentadbiran dan keperluan untuk berubah. Saya menghadapi sedikit kesulitan menghadam kefasihan berbahasa Inggeris mereka. Mengeluh kelemahan diri tidak menguasai Inggeris sebaiknya atau kesal betapa bahasa Inggeris begitu rutin sehingga menjadi pertuturan harian yang lebih selesa diguna pakai dari bahasa kebangsaan. Namun, saya hanya membalas dengan senyuman dan ucapan terima kasih ketika hotel premier yang dituju kelihatan susuknya. Pastinya walau berbeza keturunan dan budaya, kami berkongsi idealisme serupa. Terasa perpaduan warga Malaysia terjelma.

Usai solat, dari jendela hotel di aras 14, kelihatan 'barisan rakyat' bergerak panjang dan padat di atas jalan. Teruja untuk menyertai. Berkobar untuk menggabungkan diri. Lantas, kami bergegas ke lif menuruni hotel dan melangkah pantas ke arah khalayak rakyat.

Adakah istilah untuk menggambarkan sangat sangat sangat ...... ramai ini? Saya jarang menyertai demonstrasi jalanan. Namun, pasti inilah demonstrasi (jika sesuai istilahnya) paling ramai pernah di adakan di Malaysia. Syukur, Saya dapat menyaksikan dan menjadi sebahagian daripadanya.

Setelah memetik kamera untuk gambar dan video. Kami menggabungkan diri. Melangkah perlahan mengikut arus manusia. Sesak, terhimpit. Namun aman. Namun selamat.

Saya bukan penggemar demonstrasi. Berpanas, berhimpit, apatah lagi bercampur lelaki wanita. Lemas dan rimas malah resah tidak dapat menjaga batasan dan maruah. Namun, entah bila bermula, saya mendapat perspektif berbeza soal himpunan demonstrasi baik di jalanan mahupun dataran.

Sambil melangkah, menjaga diri dan air wuduk yang masih lagi ada usai solat zohor tadi. Dalam sorak dan laungan semangat, saya dan teman sempat bergurau...

'tak terjaga wuduk kita.' Senyum.

'latihan untuk mengerjakan haji.' Sengaja saya memberi alasan. Seorang ustaz yang kami kenali lalu. Ketika menegur dia selamba berbicara, 'latihan tawaf dan padang arafah'. Kami terdiam sejenak sebelum tertawa perlahan. Bukan kami sahaja memikir seperti itu.

'Iktibar dari demonstrasi...
pertama, latihan untuk pelaksanaan haji,
kedua, reunion sahabat dan teman lama," kami senyum. Pandangan berlegar melihat beberapa peserta perarakan menyerbu sebuah van sarat dengan minuman untuk jualan.

'dan peluang perniagaan.' kami ketawa. Riang sebenarnya berdemo ini.

Memandang keliling tiada yang tertekan terhimpit dan tersepit. Semua melangkah tenang penuh semangat. Bila ada kesulitan ramai bertolak ansur memberi laluan dan menghulur bantuan.

Perjalanan berterusan dengan aman. Kelihatan beberapa kenderaan yang tersepit di kalangan demonstran. Melihat penumpang di dalam, tenang menunggu redha perarakan atau sabar memusing kenderaan dengan senyuman keluar dari khalayak demonstran. Ah, warga kita memang penuh kesedaran dan pemahaman, isu sehari terperangkap dalam lalulintas demi kebebasan dan kelestarian hidup rakyat bukanlah isu besar yang sengaja diperbesarkan golongan tertentu.

Sehingga tiba di persimpangan monorel hang tuah menuju ke satadium, perjalanan kami terhenti. Ya, laluan itu terlalu padat. Kami cuba juga melangkah. Namun, tidak berjaya. Hasrat untuk ke stadium terpaksa di padamkan. Dalam hati mengutuk diri keluar terlalu lewat bila ramai yang menuju stadium awal-awal pagi lagi.

Di persimpangan itu, beberapa wakil NGO dan Pakatan Rakyat memberikan ucapan. Saya cuba memberi perhatian. Tapi sedikit sukar. Namun ada ucapan seorang wakil menarik penumpuan saya, '...inilah perhimpunan yang diadakan oleh rakyat dan ditaja oleh rakyat.....'

Ya, ini adalah program yang ditaja oleh rakyat. Saya hadir dengan wang saku yang terhad dan tawakal yang menggunung tinggi. Tanpa paksaan dan tanpa tajaan pastinya. Kehadiran di sini dari seluruh ceruk tanah air tanpa sebarang huluran kewangan. Melihat semangat generasi warga emas dengan tongkat dan di papah anak-anak. Beralih pula melihat anak-anak kecil melangkah yakin tanpa rungutan apatah lagi tangisan. Ini bukan persoalan biasa, luar biasa melihat taburan generasi yang rela dan redha turun ke jalanan menunjukkan  harapan dan impian untuk berubah. Saya terfikir, adakah ini suasana ketika kemerdekaan di umumkan lebih 50 tahun lalu. Bila berduyun-duyun warga keluarga meraikan pembebasan sebuah negara yang sekian lama tertindas oleh penjajahan. Terus tertanya-tanya, adakah suasana ini menggambarkan selama lebih 50 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan, rasa tertindas serta kebebasan yang di injak melilit kehidupan rakyat hingga memaksa mereka keluar untuk menuntut kebebasan itu kembali?

Teman menggamit untuk kami bergerak pulang. Maaf, saya tidak menanti hingga himpunan bersurai dan melangkah pulang lebih awal. Ketika melangkah saya mencadangkan melencong ke Petaling Street mencari tempat mengisi perut. Baru terasa perut berkeroncong, kerana saya cuma sempat bersarapan pagi tadi.

Berjalan sekali lagi tanpa memahami arah laluan sebenar. Kami berdua memang dari selangor, hidup dalam kebanyakan usia di selangor, namun, berdepan jalan-jalan di kuala lumpur, kami masih seperti rusa masuk kampung. Sepanjang jalan, demonstran dengan baju warna tema merah, hijau, kuning, oren dan banyak lagi mengisi jalan-jalan. Kebanyakan kedai tutup, tidak pasti kerana demonstrasi atau hari cuti, tapi pasti kedai makanan yang di buka penuh pelanggannya. Kami terus melangkah mencari tempat sesuai mengisi perut.

Akhirnya, papan tanda marry brown menggamit kami. Saya tidak begitu gemar menikmati marry brown, namun, tidak begitu mudah mencari medan selera lain, saya ambil keputusan untuk mengisi perut di situ. Kelihatan ramai juga demonstran yang lain turut memilih restoran makanan segera ini.

Tidak ketinggalan dua anggota polis lengkap seragam turut menikmati burger dan ayam goreng di marry brown ini. Saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama terbaik sepanjang himpunan. Lihat, jika tiada provokasi, polis yang bertugas turut boleh menjamu selera dengan tenang dan kenyang... =)

Tanpa sedar, rupanya restoran ini berdepan dengan lrt pasar seni yang bersambung dengan stesen komuter kuala lumpur. Saya akan bergerak pulang ke bangi dan teman saya akan menuju kembali ke hotel premier. Kami berpisah. Saya meneruskan langkah sendiri membeli tiket komuter.

Terpegun tiket manual komuter berupa resit cetak ditulis tangan oleh penjaga kaunter. Senyum lagi dan pandangan tertebar melihat di mana-mana demonstran berada.

Komuter berjalan lancar. Barangkali saya agak awal pulang. Masih beratus ribu di stadium dan sekitar. Sambil menanti komuter dan sepanjang perjalanan, update himpunan saya ikuti melalui facebook dan blog.

Tiba di stesen ukm, turun bersama saya, peserta perarakan lainny. Dari mula perjalanan hingga penghujung ada peserta himpunan bersama saya. Dan bilangannya bukan seorang dua..tapi lebih sepuluh orang. Terfikir, perarakan himpunan kebangkitan rakyat tidak bermula di sekitar KL di check point yang telah ditentukan tapi bermula sepanjang perjalanan dari seluruh pelusuk negara!

Pasca perhimpunan, jumlah kehadiran menjadi isu untuk dipolemikkan. Pasti, itulah 'outcome' sebuah perhimpunan, bilangan menampilkan kejayaan dan kegagalan. Saya akui, jumlah itu menggoda saya untuk turut serta. Namun, KL112 punya makna lebih dari sekadar mengira jumlah kehadiran....

Gambar-gambar yang sempat di rakam (saya akui perlu masuk kelas fotografi...huhu)

dari tingkat 14 hotel premier

sebelum menggabungkan diri

tak pasti hujung pangkal

ada sisters, bergegas melintas untuk bergabung...




antara polis yang terlibat. Yang sempat ambil gambar...byk lagi sebenarnya...
terima kasih dalam melancarkan lagi perjalanan perhimpunan.. ^_^








kebetulan.. (tiz zaqyah tak terlibat dalam himpunan kali ini...may be lain kali...^_^)












di marry brown, demonstran yang beratur memesan makanan, gmbar sebahagian bendera pas milik demonstran yang menjamu selera di meja sebelah. (saya bukan ahli parti politik, so, tak miliki sebarang bendera parti ^_^)

tiket manual komuter untuk pulang ke bangi (stesen ukm)

Sunday, January 6, 2013

Sendiri

Bukan tidak biasa untuk sendiri. Namun, sejujurnya saya tidak kuat sendirian.

Tinggal seminggu. Tamat menghadapi peperiksaan dan pembentangan projek tahun akhir. Segalanya akan berakhir within next week and another following week, I give my self time to wrap up everything.

Still, teman serumah dan sahabat baik yang menemani sepanjang hampir 6 bulan sudah kembali ke kampung halaman. Dan tiba-tiba sendirian itu menjadi satu momokan yang menakutkan.

Benar, at the end, death come and all of us will be alone on our own. Tapi mencari kekuatan dalam sendirian terasa begitu sukar.

Yup, I'm getting eyes watery! Life is somehow very hard for me. And living it alone is somehow much more hard.

At this time...getting married come across mind. May be that why Islam menuntut ummatnya untuk bernikah. Serta mendirikan rumah tangga itu adalah menyempurnakan sebahagian dari agama. Sigh...totally not ready yet!

Terkenang, malam kelmarin, ketika kami mengadakan aktiviti 'pillow talk'. Masing-masing meluahkan rasa. Tentang impian, tentang cita-cita, tentang kerisauan, tentang cabaran.... pasti, setiap dari kami berbeza. Perpisahan bakal terjadi dan sendirian adalah pasti sepertimana kematian yang bakal berlaku nanti.

Untuk terbang bebas, independent dan mengurangkan kebergantungan itu mesti. Mau tida mau, sendirian adalah perlu. Mencari kekuatan dalam kesendirian umpama amanah dalam melalui kehidupan.


Tuesday, October 30, 2012

Kembali menari


Saya buat keputusan untuk 'kembali menari'

Tarian apa? Saya sendiri tidak pasti. Setelah beberapa purnama berhibernasi, puas meneliti mimpi-mimpi, saya mahu kembali realiti. Kembali menjadi diri sendiri.

Banyak yang terjadi. Terlalu banyak untuk saya tarikan di sini. Banyak yang akan berlalu di bawa angin lalu atau terkubur sepi dalam sanubari. Namun,sedaya mungkin akan saya cuba mengatur lenggok gemalai dan menari indah.

Pinta saya, jika ada langkah yang sumbang dan lagak yang kurang menyenangkan, dapatlah di beri nasihat dan dimaafkan. Sungguh saya juga insan biasa yang hanya ingin cuba menari di pentas ini....

Sunday, January 1, 2012

2011... another year end...

2011 berakhir juga. 2 semester pengajian tamat. Tinggal lagi 2 semester = 1 tahun. Masa makin pantas berlalu. Masa tinggal sedikit lagi. Berkali-kali terucap di bibir, 'tak dapat dibayangkan hidup selepas ini. Benar-benar dewasa. Meninggalkan alam pelajar dan pengajian, ia menggetarkan hati.'

Setahun yang berbaki. 2 penggal yang tinggal. Ingin sekali menjadikannya benar-benar bererti.

Ketika saya menulis entri ini sengaja saya menyemak entri2 lalu blog ini. Sedar tidak sedar usia blog ini sudah lebih 3 tahun. Masa memang pantas berlalu. Saya tidak pasti apakah niat utama saya mula menulis blog. Entahlah, kadang-kala saya semakin banyak terlupa tentang perkara2 yang lalu. Tentang segala duka dan derita, juga senyum dan tawa.

Ketika menyemak, saya sedari tahun 2009, saya paling banyak menulis. Tahun pertama di alam degree. Jumlah entri semakin berkurang. Sepanjang tahun 2011, hanya 7 entri yang saya nukilkan. Sungguh, saya sendiri tidak mengerti mengapa. Malah kali pertama saya tidak mencatat sempena tahun baru dan hari lahir. Kali pertama saya tidak punya azam baru. Walau tahun 2011, banyak sekali perkara penting yang berlaku.

2010. Tahun kedua sebagai mahasiswa sarjana muda. Kali pertama melangkah ke luar bumi Malaysia. Tahun itu saya ke Singapura pada penggal pertama dan United Kingdom pada penggal kedua. Namun, peristiwa penting itu tidak saya punya sebarang catatan.

Seringkali, kejuruteraan yang lebih tertumpu pada angka dan kira-kira menjadi alasan yang saya berikan memberitahu betapa daya olahan aksara dan kata yang saya miliki semakin tumpul. Barangkali benar. Barangkali tidak. Barangkali juga luka yang dalam yang saya lalui di akhir pengajian asasi dan awal degree berbekas begitu lama hingga saya gentar untuk megukir bicara pena yang takkan terlepas mengukir rasa jiwa yang ingin saya pendam sendiri. Saya sendiri tidak pasti luka itu sudah sembuh. Namun, saya menyimpan impian untuk tegar menulis. Mungkinkah saya mampu?

Walau apapun 2011 berakhir. Maafkan saya atas segala kelemahan yang ada sepanjang tahun itu. Lebih2 lagi kepada sahabat2 di KBM. Menyandang jawatan sebagai Amirah, saya seringkali mentertawakan diri betapa saya hipokrit menjadi diri sendiri. Maafkan saya atas segala kelemahan. Ketika sahabat2 baru yang baru dilantik penuh keraguan untuk menerima taklifan, saya sekali lagi mentertawakan diri, sinis menyindir betapa saya lebih2 tidak layak walaupun telah setahun menanggung taklifan. Dan air mata menitis. Berdosakah saya dalam ketidakseriusan menjalankan amanah? Melepaskan taklifan ini satu kelegaan yang besar. Sungguh, tidak mudah dan saya berkali-kali putus asa. Tapi saya tidak mahu berhenti..

Ya, seperti menulis juga. Saya mungkin lemah untuk istiqamah dan kadang-kala futur sebentar. Sungguh, jauh di sudut hati saya mahu tegar berdiri.

2012... ada ramalan mengatakan dunia akan berakhir. Namun bagi saya, jika kehidupan di dunia ini berakhir, ia adalah permulaan baru. Bagi dunia yang abadi.

Maka saya memilih 2012 ini untuk bermula kembali.

Mencari pena
Meneroka makna

Menilai diri
Menghakikat insani

Biar bumi mati
Akhirat pasti

Kembali berdiri
Walau lemah tak bersendi


Resolusi Akhir tahun 2011 / Azam Awal tahun 2012
(terusan dari Azam Tahun Baru 1433 H)

1. Tulis entri blog sekurang-kurangnya sekali dalam 2 minggu
2. Mula start projek penulisan (bersama sahabat baik..=))
3. CGPA pointer 3.6
4. Habiskan baca buku sekurang-kurangnya sebuah sebulan
5. Sertai aktiviti luar sekurang-kurangnya sekali sebulan
6. Menghantar karya ke media cetak sekurang-kurangnya sekali sebulan
7. Menghasilkan Projek Tahun Akhir yang bermakna
8. Istiqamah aktiviti kerohanian
9. Sentiasa up to date isu semasa
10. Kembali mencari cinta dan hala diri


Rasanya inilah resolusi paling banyak pernah saya senaraikan. Sungguh, selama menulis azam tahun baru bertahun-tahun, tidak semua dapat saya capai. Jadi biarlah berlebih dan jangan berkkurang. Dan saya sedar limitasi diri. Apa yang saya gariskan ada di dalam lingkungan kemampuan diri. Insya Allah. Doakan saya...

Monday, November 28, 2011

Selamat Tahun Baru!!!

Sedar tak sedar dah masuk 23 tahun umur saya. Lama saya tidak menulis sempena tahun baru. Menulis tentang azam, menulis tentang impian, menulis tentang harapan…. Malah hakikatnya saya memang terlalu lama tidak menulis tentang apa saja.

Di kesempatan ini saya merasa amat perlu, malah memaksa hati dan minda serta jemari untuk mengukir kata-kata sempena tahun baru hijrah ini. Ah, kehidupan bagai satu keterpaksaan… mengapa dalam usia yang hampir separuh abad saya masih bergelut dalam memaksa fizikal dan mental saya. Seakan kanak-kanak yang baru mengerti….

Barangkali itulah kehidupan, barangkali itulah makna iman…. Selama kita berada atas muka bumi ini kita diajar untuk terus belajar…belajar untuk dewasa walau sudah berusia. Bila kita merasakan usia adalah bukti kedewasaan, maka timbul begitu ramai dewasa yang masih tidak mengerti makna sebenar kehidupan, tidak mengerti bagaimana untuk beriman…. Dan doa saya, saya ingin tua dengan merasakan diri belum dewasa, mencari makna untuk matang dan sentiasa merasakan garam yang di makan masih kurang jumlahnya untuk memahami erti masinnya lautan kehidupan.

Namun, saya merasakan saya semakin dewasa. Bila saya buntu mengukir azam, impian dan harapan. Bila seakan kehidupan umpama duri yang bisa mencengkam. Bila saya seakan bosan untuk menelusuri dan bereksperimentasi dalam memahami definisi yang tersembunyi dalam erti kehidupan.

Kadang-kala, saya teringin kembali ke masa lalu…zaman kanak-kanak, menyemai cita dan impian. Bermimpi segalanya mungkin, harapan sebesar lautan. Alangkah indah andai saya masih seperti dulu, memasang azam, menyemai impian dan melakar cita-cita.

Walau apapun, tahun baru tiba jua…lebih manis usia saya menginjak ke angka 23… apa istimewanya 23 tahun? Sungguh ada istimewanya, namun biarlah sekadar bersemi dalam hati dan tersenyum sendiri..=)

Sekadar kemestian….

Azam Tahun Baru 1433 H

1. Tulis entri blog sekurang-kurangnya sekali dalam 2 minggu
2. Mula start projek penulisan (bersama sahabat baik..=))
3. CGPA melebihi pointer 3.5
4. Habiskan baca buku sekurang-kurangnya sebuah sebulan

Sekadar ini sahaja….harapnya dapat dilaksanakan sepanjang tahun ini…(^_^)

Wednesday, May 18, 2011

Kembali

Lama sekali saya tidak menulis. Kadang-kala saya seperti sudah terlupa bagaimana mahu menyusun ayat dalam bahasa melayu lantaran saya jarang-jarang menulis dan tugasan akademik semuanya menggunakan bahasa inggeris. Namun, banyak sekali yang berputar dalam kepala. Banyak sekali yang ingin di luahkan. Banyak sekali. Cuma, jemari saya semakin kaku untuk menyusun aksara.

Saya tidak pasti mengapa saya berhenti menulis. Barangkali sejak melangkah ke alam sarjana muda, mengambil bidang kejuruteraan, saya bertemu angka lebih selalu berbanding abjad. Maka perkataan dan ayat kurang saya mesrai, formula dan persamaan lebih saya dekati. Alasan pastinya. Barangkali juga banyak perkara yang saya tidak mahu kongsikan, lebih senang dihimpun dalam sanubari. Bukan mahu memendam rasa, namun, sesetangah cerita lebih indah dijadikan rahsia. Maka saya berhenti bercerita.

Tapi penulisan sesungguhnya cinta pertama saya. Bila kenangan lalu menjelma, saya sering merasa, tidak mungkin saya lupa betapa saya akrab dengan pena dan kertas. Betapa saya karib dengan kisah dan cerita. Betapa saya rindu kini untuk kembali menarikan aksara, membentuk kata, rangkai dan perenggan. Menggarap ceritera.

Maka hari ini saya kembali. Melepas rindu yang membara. Pada tinta dan aksara.

Sunday, November 21, 2010

Semester

Akhirnya 14 minggu kuliah, 2 minggu cuti pertengahan semester, 1 minggu 'study week' dan 2 minggu peperiksaan akhir bagi semester pertama sesi 2010/2011. Semester kali ini mengambil masa 19 minggu, hampir 5 bulan. Akhirnya berakhir semester ke empat saya, tinggal lagi 4 semester sebelum saya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Proses dan Makanan) ini. Lama atau sekejap sahaja lagi? Apa yang pasti semakin sedikit masa yang tinggal di sini, semakin banyak yang ingin saya lakukan. Semakin saya merasakan masa yang lama berlalu tidak saya manfaatkan sebaiknya.

Terlalu banyak kenagan untuk di rakam semester ini. Antara yang paling memberi kesan adalah bekerja sambilan hujung minggu di bulan puasa dan menyertai pertandingan catur bistari. Dari sudut jemaah pula, ada taklifan besar yang datang tanpa diundang yang membuatkan saya kelu dan kaku. Apa yang patut saya lakukan? Betapa tidak layaknya saya... Namun, itulah kehidupan. Sentiasa akan ada perubahan. Semakin banyak ilmu ditimba dan pengalaman dirasa. Dan kita semakin dewasa.

Cuti semester kali ini, jadual saya begitu padat. Selepas peperiksaan akhir berakhir, saya ada seminggu masa untuk menyelesaikan tugasan-tugasan persatuan, program dan sebagainya sambil membuat persediaan untuk menyertai program maobiliti ke United Kingdom. Saat ini, saya masih berada di kolej, menyelesaikan beberapa urusan yang perlu.

Insya Allah, saya akan ke United Kingdom selama 2 minggu. Diharapkan doa dari kalian agar perjalanan ini selamat dan berada dalam redha-Nya. Saya juga meminta mohon dan maaf dikesempatan ini di atas segala silap dan salah. Kalau ada duit lebih, insya Allah akan ada buah tangan untuk sahabat-sahabat semua.

3 minggu daripada 6 minggu cuti akhir semester berlalu. Ada 2 minggu cuti di rumah yang akan saya manfaatkan untuk menamatkan latihan memandu dan mengambil ujian lesen memandu yang lebih setahun tertunggak. Doakan segalanya dipermudahkan.

Minggu terakhir adalah persediaan dan perlaksaan Kem Aspirasi Kecemerlangan Minda anjuran KBM. Akhirnya tirai 2010 kali ini berlabuh dengan program ini yang akan berlangsung selama tiga hari sehingga ke ambang tahun baru. Diharapkan juga program ini dapat berjalan sebaiknya. Sama-sama kita berdoa memohon pertolongan Allah dalam kelancaran lagi program tahunan ini.

Akhirnya cuti semester saya berakhirnya. Jujurnya ada banyak lagi program yang ingin saya sertai namun kekangan masa membataskan pergerakan saya. Seperti di awal entri, semakin sedikit masa yang tinggal, semakin banyak yang ingin saya lakukan. Doanya, Allah sentiasa memberi kesihatan dan rahmatnya untuk saya. Moga juga diluaskan ruang masa dan rezeki untuk saya.

Kepada sahabat-sahabat semua, selamat bercuti dan selamat berprogram..=)

Wednesday, August 25, 2010

‘Happy birthday amal! Semoga kau mencapai semua impian...’

Satu mesej masuk ke peti masuk telefon bimbit saya. Saya tersenyum sendiri, baru meregangkan otot setelah berhempas pulas menyiapkan laporan amali, sungguh saya benar-benar terlupa hari lahir saya yang ke dua puluh satu sudah menjelang! Petang tadi, fikiran sarat dengan agenda mesyuarat kelab. Laporan untuk Program Majlis Berbuka Puasa yang masih belum sempurna juga tugasan-tugasan akademik yang meminta perhatian setelah minggu ujian pertama berlalu. Serasa sibuk pula diri ini hingga sama sekali terkeluar dari ingatan akan tarikh hari lahir. Rasa lucu pula menyapa.

Kali ini tiada sambutan yang dirancang dan saya bukan lagi anak kecil yang merengek mahukan hadiah dan kek hari lahir. Bagi saya hari lahir adalah titik permulaan, sebagai mana 21 tahun lalu ia menjadi detik pertama saya menatap wajah dunia, ia turut menjadi titik bermula untuk saya berubah menjadi lebih baik. Barangkali lebih dewasa. 21 tahun, usia yang penuh signifikan. Menurut undang-undang saya sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Ya, ini bermakna usia yang cukup dewasa untuk membuat pilihan dan bertanggungjawab atas pilihan itu.

Lama saya tidak mencoret di halaman maya ini. ‘Come back’ sempena hari lahir ke 21 seakan amat sesuai rasanya. Ya, saya memang terlalu rindu untuk berpencak dengan aksara dan madah. Kesepian untuk beberapa ketika atas beberapa sebab-sebab peribadi yang tidak perlulah dikongsikan di sini. Apa yang pasti saya kembali dengan seribu misi!

Sebenarnya banyak yang telah berlaku sepanjang ‘pertapaan’ saya. Peristiwa-peristiwa yang begitu mengajar dan mendewasakan saya. Saya tidak akan menceritakan peristiwa-peristiwa itu di sini kerana ruangan ini tidak mahu saya jadikan diari peribadi yang semata-mata membongkar kisah hidup saya. Tapi saya mahu jadikan ia sebuah catatan perjalanan kehidupan yang penuh warna dan sarat dengan pengisian. Doakan saya mampu melakukannya!

Namun, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi; pertama, Alhamdulillah untuk semester lalu pointer saya telah melebihi 3.75, walaupun pointer keseluruhan masih di bawah 3.75 namun saya benar-benar bersyukur kerana semester lalu saya mampu menunjukkan pencapaian yang memuaskan. Kedua, saya sudah memulakan ‘part-time job’. Saya tidak meletakkannya sebagai resolusi tahun baru tahun ini tapi ia adalah antara resolusi tahun baru tahun lalu yang gagal saya capai, namun Alhamdulillah, secara tak sengaja semasa saya membeli-belah di Bangi Utama beberapa minggu sebelum bulan ramadhan bermula saya mendapat kerja sambilan di sebuah kedai pakaian. Seminggu sebelum ramadhan, saya memulakan kerjaya baru saya setiap hujung minggu. Kerja dengan gaji yang tak seberapa itu memang agak penat dan membosankan namun, banyak yang saya peroleh dan pelajari. Sungguh, keluar dari lingkungan kampus ke pusat membeli-belah, saya membuka pandangan saya ke sebuah dunia yang begitu berbeza. Ia mengajar saya erti kesyukuran dan tanggungjawab. Betapa banyak lagi keperluan yang perlu disumbangkan golongan mahasiswa kepada masyarakat dan komuniti. Walaupun wang adalah tujuan saya memulakan pekerjaan sambilan, namun saya sedar betapa Allah menentukan saya untuk bekerja adalah supaya saya terjun dalam masyarakat dan memahami kepincangannya. Saya berdoa semoga satu hari nanti saya mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat ini. Perkara ketiga yang ingin saya kongsi di sini adalah tentang impian saya untuk menulis novel. Ya, impian untuk menjadi seorang penulis tak pernah pudar dan saya akan terus menuju ke arah impian itu. Baru-baru ini saya telah menyertai sebuah bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam UPM dengan kerjasama PTS Islamika dan PTS Litera. Saya melihat betapa luasnya peluang untuk saya menjadi seorang penulis di situ. Doakan impian saya ini tercapai!

Saya kira sampai di sini sahaja celoteh tengah malam di permulaan hari lahir saya yang ke 21. Doakan saya tetap dalam iman dan Islam serta teguh dalam perjuangan. Doakan jasad dan rohani saya sihat dari anasir-anasir syirik, munafik dan fasik. Doakan kesejahteraan keluarga dan sahabat-sahabat saya. Doakan dalam keberkatan ramadhan yang mulia ini Allah akan terus berada dalam hati saya. Sungguh, saya masih terkenang kali pertama menyambut hari lahir pada bulan ramadhan ketika masih kecil saya memotong kek gulung coklat ketika sahur di kampung nenek. Setelah dewasa, saya tidak lagi memikirkan soal memotong kek, apa yang saya harapkan doakan saya selalu dalam setiap doa anda!

Sunday, December 20, 2009

AZAM TAHUN BARU

My Resolutions 1430 H / 2009 M

1. Write at least 6 short stories

2. Make a part time job

3. Start writing first novel

4. Stop say the word ‘malas’

5. Write entri in blog in malay at least once a week

6. Write entri in blog in english at least once a week

7. At least make 3.75 pointer in exam

Setahun yang lalu, inilah 7 perkara yang saya jadikan azam tahun baru. Ya, rasanya saya memang masih tidak mampu untuk memenuhinya. Itulah yang berlaku saban tahun, saya menanam impian namun berhasil menjadi sekadar sebuah mimpi. Kecewa. Entahlah. Apa yang pasti saya tidak pernah putus asa. Waktu terus berlalu, saya terus menanam azam yang hampir serupa. Saya sedar, dari dulu hingga sekakrang tidak banyak yang saya berubah. Begitu juga impian dan cita-cita saya.

Saya hanya berhasil menulis 4 buah cerpen sepanjang tahun 1430 H / 2009. Saya cuba untuk menulis lagi 2 cerpen bagi memenuhi perkara pertama dalam azam saya, namun jemari saya terus kaku untuk menekan papan kekunci komputer riba kesayangan saya ini. Namun, saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya masih mampu menulis.

‘Part time job’. Apabila cuti panjang mahu bermula saya akan mula menyimpan hajat untuk bekerja sambilan. Tapi alasan dan halangan sering saja membuat saya hanya terkunci di dalam rumah. Namun, saya sempat menjana sedikit kewangan dengan perkhidmatan fotostat dan cetakan serta makanan ringan di kolej untuk beberapa ketika. Ya, saya masih berhasrat untuk meneruskannya semester ini. Memang dunia perniagaan bukanlah dunia saya. Namun, saya sedar 9/10 rezeki itu datangnya dari perniagaan. Saya juga berkira-kira untuk membina sebuah lagi blog untuk produk-produk saya. Namun masih dalam perancangan dan bergantung pada keupayaan saya. Atau barangkali akan saya masukkan dalam azam tahun baru saya tahun ini? Hmm..akan saya fikirkan.

Novel. Saya tidak pasti sejak usia berapa tahun saya menyimpan impian ini. Apa yang pasti saya menetapkannya dalam azam tahun baru saya walau saya seringkali menyedari bahawa saya tidak akan mencapainya pada tahun itu, apa yang pasti saya mahu mencapainya walau bertahun-tahun lagi. Tetapi, pada tahun bila? Mungkinkah tahun 1431 H/2010 M akan datang ini?

Malas. Saya memang dah jarang menyebutnya. Walau kadang-kadang terpacul dari mulut saat berbual dengan rakan. Ia menyedarkan saya betapa saya menyebutnya sekadar menambah perbualan dengan teman. Seakan tiada perkataan lain yang lebih perlu untuk diucapkan. Walaubagaimanapun, kemalasan masih menguasai diri saya. Saya sedar saya memang tidak akan melakukan sesuatu jika tidak dalam keadaan terdesak. Itu bermaksud saya hanya akan menjadi ‘rajin’ bila saya benar-benar dalam keperluan. Maka saya perlu memikirkan apakah yang perlu untuk mendesak saya agar saya tidak lagi terus-terusan menjadi seorang yang pemalas.

Entri blog. Hmm, saya rasa ini adalah satu-satunya azam yang berjaya saya penuhi. Walau saya tidak menulis secara seimbang dalam bahasa melayu dan inggeris namun saya menulis lebih dari yang saya jangkakan. Ya, ia menyedarkan saya betapa saya senang untuk menulis. Jadi saya tidak perlukannya untuk azam tahun baru lagi. Jelas ia menjadi satu tabiat bagi saya.

Setiap kali saya membuat azam yang berkaitan akademik ini yang akan berlaku. Saya pasti tidak mencapai apa yang saya tetapkan tapi ia hanya jatu h ke bawah sedikit. Barangkali untuk menuju ke puncak kita perlu bermimpi untuk merentas angkasa raya. Ya, saya sedar itu. Di samping mengukur kemampuan diri, bercita-cita tinggi juga satu keperluan untuk mencipta kejayaan. Walaupun kehidupan semakin sukar, saya tidak mahu sesekali mengalah.

Akhirnya saya perlu menetapkan apakah yang ingin saya capai sepanjang tahun 1431 H/2010 M ini.

Azam Tahun Baru Saya 1431 H / 2010 M

1. Mencapai sekurang-kurangnya GPA 3.75

2. Menulis cerita dalam bentuk siri atau bersambung di dalam blog sekurang-kurangnya seminggu sekali. (Ini bakal menjadi sebuah novel)

3. Siapkan sekurang-kurangnya 6 buah cerpen

4. Jana pendapatan melalui perniagaan

5. Kemas bilik dua minggu sekali

6. Berenang sekurang-kurangnya sebulan sekali

7. Baca terjemahan Al-Quran sekurang-kurangnya satu muka sehari




Monday, November 9, 2009

mimpi saya 2


Masa kecil dahulu, orang selalu kata saya akan jadi doktor dan along akan jadi arkitek. Masih melekat dalam ingatan sekeping kad kiriman abang saudara saya yang memberi ucapan untuk kami bertiga beradik agar belajar-belajar bersungguh-sungguh dan saya akan menjadi doktor dan along pula arkitek. Ya, saya memang pernah bermimpi untuk menjadi doktor. Tapi saya tak ingat mimpi-mimpi itu. Atau saya memang tidak pernah bermimpi? Kata-kata orang hanya berlalu menjadi seakan ia satu realiti bagi saya. Tapi saya memang gemar menonton drama-drama berkaitan doktor. Hmm, barangkali saya memang sukar menonton drama, bukan doktor sahaja.


Dulu, semasa di sekolah rendah saya suka membaca. Terutama siri-siri penyiasatan. Saya pun bermimpi untuk menjadi detektif. Namun, saya langsung tidak ingat apakah kes yang saya ingin selesaikan. Pastinya kes selesai sebaik saya tamat membaca hingga ke muka akhir. Tapi bukan buku penyiasatan saja yang saya uliti. Seingat saya, perpustakaan kecil sekolah rendah saya adalah tempat di mana masa saya paling banyak dihabiskan. Ya, serasa hampir semua buku di situ saya habiskan membaca sebelum saya tamat persekolahan. Barangkali saya hanya suka membaca bukan menjalankan siasatan.


Cita-cita yang pernah muncul dalam hidup saya semuanya adalah cerita. Bila membaca buku tentang seorang pengarang, saya bermimpi untuk untuk menjadi penulis skrip. Bila menonton filem tentang ciptaan baru, saya bermimpi untuk menjadi saintis. Hakikatnya saya cuma tengelam dalam keterujaan sebuah cerita. Bila menemui cerita baru keterujaan yang lama berlalu dan keterujaan yang baru membara. Maka saya terus mengukir mimpi-mimpi berbeza.


Maka saya mengejar mimpi. Hingga ke saat ini.........


Apakah mimpi saya saat ini? Setakat ini apa yang perlu adalah lulus dalam setiap peperiksaan, duit yang cukup untuk menampung kehidupan dan hati yang gembira. Ya, setakat ini semua itu cukup untuk memberi senyuman di bibir saya.


Namaun, saya masih tidak berhenti berfikir tentang masa depan. Apa yang ingin saya lakukan? Jujurnya, saya cuma mahukan kehidupan yang ringkas. Setakat ini yang berlegar difikiran hanyalah sebuah restoran dan perpustakaan. Sungguh, saya bakal jurutera makanan, namun makanan yang diprose dan kilang bukan satu kegemaran. Malah saya paling benci dengan makanan berproses. Bagaimana mungkin untuk saya mencipta sesuatu yang tidak saya gemari? Sebaliknya saya suka dengan masakan segar yang terhidang. Masakan panas yang baru dibakar, digoreng atau direbus. Tentu sekali dengan ramuan semulajadi yang enak. Ya, siapa saja yang tidak gemar? Maka saya selalu memikirkan restoran.


Namun, ada impian yang perlu diselesaikan. Saya sendiri masih ragu akan kemampuan untuk menggapainya. Ya, masa depan memang tidak seindah yang dirancang. Barangkali saya hanya akan berakhir sebagai kakitangan awam dalam sebuah jabatan kerajaan. Bekerja sehingga usia persaraan. Di hujung kehidupan menghabiskan masa hanya dengan keluarga. Sebuah kisah yang ditelusuri kebanyakan insan. Barangkali kisah saya juga.