Pages

Saturday, September 12, 2009

Pulang ke Rumah

Saya memang tidak mahu ‘balik rumah’ minggu ini. Rasanya hampir 14 minggu semester pengajian, tak pernah sekalipun saya tidak pulang ke rumah di hujung minggu. Biar sesibuk mana dan sebanyak mana pun program yang berlangsung, saya akan tetap pulang. Bila difikirkan, memang agak melampau. Mungkin ramai akan menganggap saya anak manja. Namun, itu tidak pernah menganggu saya. Ibu bapa saya senang anak-anak mereka di rumah dari menghabiskan hujung minggu di tempat lain. Sungguh, jika tidak bersama keluarga, bersama siapa lagi harus diluangkan masa?




Namun, saya memang tidak mahu pulang minggu ini. Esok saya ada kelas, ada ujian lagi. Kemudian sebentar tadi, saya baru teringat saya masih tidak siapkan tugasan untuk pembentangan esok. Ah, terlalu banyak tugasan. Belum ditambah ulangkaji yang perlu saya lakukan untuk beberapa ujian minggu depan serta persiapan untuk program kelas renang juga program KBM untuk hujung semester ini.




Saya memang berniat untuk tumpukan perhatian pada tugasan-tugasan itu hujung minggu ini. Tetapi saya hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Sebelum ke kelas pagi tadi Abah menelefon. Semalam saya sudah maklumkan saya tidak akan pulang minggu ini, namun mama maklumkan pula adik juga tidak dapat pulang, dan hanya pulang pada petang sabtu. Abah bertanya kelas saya tamat pukul berapa petang ini, saya menjawab dalam pukul lima. Sambil itu saya menjeling jam, sudah hampir jam 8, saya tertanya sendiri, tidakkan abah pergi kerja?




‘Nanti pukul 5 abah ambil,’ saya tergamam sejenak dengan kata-kata abah. Saya sedar ada yang tidak kena. Tanpa berfikir panjang saya mengiyakan saja.




Saya pulang juga hujung minggu ini. Pastinya dengan seribu keresahan dengan banyaknya tugasan menanti. Namun, saya cuba bersangka baik dengan aturan-Nya. Pasti Dia akan membantu saya.




Saya terkenang minggu lepas, saya terpaksa membatalkan satu janji kepada sahabat semata-mata mama tidak membenarkan saya pulang awal ke kampus. Saya memang selalu serba salah. Kadang-kala sukar untuk memilih. Namun, saya sering terfikir, jika satu hari nanti saya sudah berkeluarga, bekerja dan tanggungjawab yang lebih berat, bolehkah saya memenuhi segala permintaan mereka?




Saya bukanlah anak mithali, yang baik dan taat sentiasa. Hakikatnya saya memang keras hati, degil dan mudah terasa. Namun, bila diminta untuk pulang ke rumah, bagaimana untuk saya mengelak semata-mata kerana pelbagai alasan. Saya tahu mereka tidak meminta lebih, sekadar mahu bertemu anak. Mengapa perlu saya begitu berkira tentang masa saya?




Maka saya memilih untuk pulang saja ke rumah dari banyak bersoal jawab dan melukakan hati mereka. Selama 20 tahun saya hidup pun, berapa banyak masa mereka telah habiskan semata-mata untuk saya? Saya tidak mungki mampu membalasnya, cukup sekadar saya bisa menyenangkan hati mereka.




Saya bukan anak yang baik, namun doakan saya untuk menjadi baik.....

0 comments: