Pages

Saturday, September 5, 2009

Iftar sepanjang minggu ini...


Sepanjang minggu ini, saya hanya sempat sekali berbuka di bilik. Ada saja jemputan untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, murah rezeki ramadhan kali ini. Namun, saya masih mencari peluang untuk sekali lagi mengadakan iftar, walaupun sekadar mengajak teman-teman sekuliah.



Semalam, berbuka puasa atas jemputan Pro-Mahasiswa. Pada mulanya saya tidak mahu hadir berikutan saya ada kelas malam. Namun, kelas saya bermula agak lewat dan saya juga ingin bertemu seorang sahabat atas satu urusan. Maka saya putuskan untuk hadir.



Saya senang menghadiri program sebegini, bertemu sahabat, berkenalan, mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim. Lebih penting sempat juga bertukar-tukar info terkini sambil saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Ah, saya senang sekali dengan semua ini! Bagaimana mungkin hati tidak tenang jika hubungan yang dijalin kerana Allah dan bukan sesuatu yang lain!



Sebentar tadi saya baru pulang dari majlis berbuka puasa dan perasmian sebuah asrama anak yatim dan miskin di Bangi. Ah, saya langsung tidak memikirkan tentang juadah untuk berbuka bila saban hari memenuhi ajakan teman ini! Bagi saya, inilah pengisian dalam kehidupan yang perlu saya rebut. Atau saya sendiri akan kekosongan.



Hujung minggu ini saya pulang ke rumah seperti biasa. Sungguh, kesibukan kuliah dan program memang perlu namun bertemu ibu dan ayah dan memenuhi keperluan mereka, itu lebih-lebih lagi perlu. Saya berhasrat untuk melakukan apa yang saya lakukan ketika cuti hujung minggu lepas. Semoga ramadhan saya kali ini lebih berkat.



0 comments: