Cuti seminggu sempena Aidilfitri kini berakhir. Menanti saya dan teman-teman tarikh akhir penghantaran tugasan dan ujian kedua. Serta kurang sebulan untuk peperiksaan akhir pula menjelma.
Saya kira Aidilfitri kali ini paling banyak rumah saya berziarah. Jujurnya saya memang tidak akan ke mana melainkan bersama keluarga. Biasanya pula saya memang sedikit liat untuk menurut mama dan abah dalam bertandang di hari lebaran.
Saya tahu memang hari raya adalah untuk saling ziarah-menziarahi, namun ekoran dari banyaknya halangan dan kadang-kala bila seharian perjalanan, saya memang cepat berasa penat dan meminta izin untuk tidak turut serta. Walaubagaimanapun, berkunjung ke rumah saudara-mara terdekat dan rapat memang suatu kewajipan dan saya tiada alasan untuk mengelak. Hakikatnya bertemu saudara-mara adalah saat yang dinanti saban tahun.
Menarik juga bila saya masih memperoleh duit raya. Sedikit lucu kerana berbanding tahun lalu, tahun ini sedikit bertambah pula. Adik saya dengan nada bergurau berkata,’tahun lepas ekonomi merosot.’ Kami hanya ketawa. Bagi saya, mungkin ini rezeki, tambah lagi di saat-saat akhir semester ini banyak juga bayaran yang perlu dilunaskan dan saya pula semakin kehabisan kewangan. Alhamdulillah.
Setiap kali berkunjung ke rumah saudara-mara, pasti ada saja makanan berat yang dihidangkan. Saya dan Adik saya yang memang tiada topik perbualan dengan tuan rumah biasanya akan makan sebanyak-banyaknya. Bukan mahu membalas dendam untuk puasa yang lalu, cuma juadah yang disediakan memang memenuhi selera. Lagi pula, bukankah jika bertandang ke rumah orang yang menyediakan juadah hendaklah makan dengan berselera sebagai meraikan tuan rumah?
Namun, berbeza seperti kebanyakan orang, lemang, rendang dan kebanyakan juadah lazim hari raya bukanlah juadah kegemaran saya. Melainkan jika rasanya memang benar-benar memikat selera. Tapi saya bukanlah cerewet soal makanan, cuma saya tidak begitu gemar. Biasanya, di hari raya pertama, saya hanya akan makan ketupat dan sup ayam. Salah satu menu wajib yang kami sediakan selain rendang daging, rendang ayam dan kuah kacang.
Hari raya masih ada 3 minggu lagi untuk dilalui. Saya cuma berhasrat untuk menghabiskan puasa enam yang masih belum sempat saya laksanakan lantaran terlalu sibuk berziarah sepanjang cuti ini. Tugasan dan ujian yang bakal disiapkan dan dihadapi telah memadamkan ‘mood’ raya saya sekaligus. Jelasnya kini, saya terlalu bimbang dengan lambakan tugasan yang perlu saya siapkan.
0 comments:
Post a Comment