Pages

Tuesday, May 24, 2011

Mamat Mat Salleh yang benci Lynas dan sayang Malaysia

I got this interesting vid...just watch and think yourself!



Friday, May 20, 2011

Tunggu Teduh Dulu

Masa suram, masa sukar, sering dianalogikan dengan mendung yang berarak, membawa siraman hujan lebat. Dan kita menati teduh. Menanti hujan teduh, mentari menjelma, barangkali pelangi juga. Indah. Kiasan mendung, hujan, mentari dan pelangi adalah simbolik paling mudah membangun cerita. Serasa ia seakan begitu klise dan tidak wajar digunakan bagi seorang penulis mapan. Namun, novel bersiri karya penulis prolifik Faisal Tehrani mengangkat perumpamaan mudah ini. Pastinya, ianya tidak klise hasil garapan beliau.

Ini kali kedua saya menelaah novel ini. Mengangkat tema Tauhid, ‘Lailahaillallah’, sejujurnya saya tidak begitu ralit dan mengerti pengisian dan jalan ceritanya ternyata tidak begitu mengiurkan. Ya, itu ketika kali pertama membaca. Novel yang memuatkan kisah pertaniaan betik ini ternya kurang menambat jiwa saya yang sama sekali kurang menggemari bidang agro. Namun, saat saya sekadar mahu mencari erti hidup, mencari impian yang hampir hilang, ‘Tunggu Teduh Dulu’ memberikan teduhan yang aman dalam gelora dan ribut yang melanda kehidupan. Walaupun novel ini tidak menjanjikan mentari, apatahlagi pelangi, namun, bagi saya teduhan yang seketika sepanjang saya menghadam kisahnya memberi saya percaya mentari ada tersembunyi dan pelangi belum muncul lagi.

Membaca Tunggu Teduh Dulu, saya seakan tersindir, saya seperti diberi inspirasi dan saya menjadi cemburu. Sungguh kisah ini bukan sekadar kisah cinta, pertanian dan kehidupan namun bagi saya ia sebuah novel penyelesai kemelut dan masalah. (Jujurnya karya Faisal Tehrani sentiasa memberi jalan pencerahan, cuma bagi Tunggu Teduh Dahulu, saya sedikit lambat mencerna kemelut dan solusi yang diisinya. Barangkali ada kisah yang lebih menusuk hati saat situasi tertentu terjadi. Seperti saya saat ini berbeza dengan saya ketika dulu kali pertama membacanya).

Tunggu Teduh Dulu, mengangkat wanita sebagai ikon yang cekal dan tabah, mengharung liku kehidupan yang tak selamanya indah. Namun, ia memberi warna realiti, bahawa tiada manusia yang sempurna, namun ia bukan alasan untuk tidak terus menuju kesempurnaan. Tidak seperti novel-novel yang lazimnya mengambarkan kesempurnaan watak utama, Tunggu Teduh Dulu mendekati watak wanita normal namun digarap indah dengan pelbagai babak sehingga kebiasaan yang ada pada watak tampil menjadi luar biasa. Sebagai pembaca, saya sedikit teruja, ya, saya juga cuma memegang karakter yang biasa, penuh kelemahan dan kekurangan namun dalam kisah ini saya juga tidak mustahil untuk mencipta keajaiban. (Secara realistik).

Kisah yang sentiasa terisi masalah, namun tidak lelah memberi jalan keluar. Seperti kata pepatah, setiap penyakit ada penawarnya, tiada sesuatu pun kesukaran yang tidak dapat ditangani. Tunggu Teduh Dulu menjanjikan bahawa keimanan yang kita pegang adalah jalan keluar setiap ringtangan. Keimanan itu juga menjadi paksi untuk kita tidak lelah mengharung onak kehidupan. Kepercayaan kepada Tuhan itu memberi inti mujahadah yang indah. Betapa mukmin yang sebenar tidak wajar mengalah, perjuangan menegakkan kebenaran dan melindungi yang hak itu satu kewajipan.

Ya, dalam indahnya kisah ladang betik di kaki gunung, saya tersindir dengan kehidupan ini satu perjuangan dan perlu dilawan habis-habisan. Betapa saya seorang yang mudah mengalah, pantas berputus asa dan lemah semangat. Sekilas itu saya diberi pencerahan, bila hujan turun, tidak salah mencari teduhan, namun, pabila hujan telah reda, keluarlah merasai bahangnya mentari dan indahnya pelangi kehidupan. Kadang-kala hujan lambat berhenti, tidak sewajarnya berteduh selamanya, kadang-kala perlu mencari solusi meredah hujan lebat mencari mentari yang menyinar.

Saya turut terinspirasi, impian itu indah. Namun mencipta realiti, menanggung seribu kepayahan. Walaubagaimanapun, nikmat kesusahan itu memberi manis kepada sebuah kejayaan. Bahawa hidup ini tiada jalan mudah. Setiap usaha dan titik peluh akan mengeluarkan hasilnya. Mereka yang kuat akan mencipta kemenangan. Bukankah Allah sendiri berfirman, bahawa Dia lebih cinta pada hambanya yang kuat? Saya memang sentiasa merasa lemah, hingga setiap tahun berganti, impian dan cita-cita satu persatu saya kuburkan. Kedewasaan bagi saya umpama membunuh mimpi kerana pengalaman dan pengetahuan menyedarkan kita tentang hakikat dan had diri. Hingga saya menjadi buntu. Apakah masa depan yang bakal saya lalui? Dan Tunggu Teduh Dulu memberi erti, betapa mimpi yang mustahil kadang-kala mampu direalisasikan. Ya, dengan kekuatan dan bara semangat yang tak pernah padam.

Berbanding memberikan sinopsis cerita, saya memang lebih gemar menggarap rasa yang saya alami melalui cerita. Cadangan saya, saat anda seakan tercari-cari hala tuju hidup yang sebenar, beleklah novel dengan kulit depan biru dan putih ini. Doa saya, anda turut memperoleh pencerahan seperti saya. Selamat Membaca!! (^_^)

Wednesday, May 18, 2011

Kembali

Lama sekali saya tidak menulis. Kadang-kala saya seperti sudah terlupa bagaimana mahu menyusun ayat dalam bahasa melayu lantaran saya jarang-jarang menulis dan tugasan akademik semuanya menggunakan bahasa inggeris. Namun, banyak sekali yang berputar dalam kepala. Banyak sekali yang ingin di luahkan. Banyak sekali. Cuma, jemari saya semakin kaku untuk menyusun aksara.

Saya tidak pasti mengapa saya berhenti menulis. Barangkali sejak melangkah ke alam sarjana muda, mengambil bidang kejuruteraan, saya bertemu angka lebih selalu berbanding abjad. Maka perkataan dan ayat kurang saya mesrai, formula dan persamaan lebih saya dekati. Alasan pastinya. Barangkali juga banyak perkara yang saya tidak mahu kongsikan, lebih senang dihimpun dalam sanubari. Bukan mahu memendam rasa, namun, sesetangah cerita lebih indah dijadikan rahsia. Maka saya berhenti bercerita.

Tapi penulisan sesungguhnya cinta pertama saya. Bila kenangan lalu menjelma, saya sering merasa, tidak mungkin saya lupa betapa saya akrab dengan pena dan kertas. Betapa saya karib dengan kisah dan cerita. Betapa saya rindu kini untuk kembali menarikan aksara, membentuk kata, rangkai dan perenggan. Menggarap ceritera.

Maka hari ini saya kembali. Melepas rindu yang membara. Pada tinta dan aksara.