Pages

Friday, September 11, 2009

Sebat Kartika selepas Aidilfitri

Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my




KUANTAN 10 Sept. - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yakin hukuman sebat ke atas seorang model, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang ditangguhkan pada 24 Ogos lalu akan dapat dilaksanakan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.




Pengarah JAIP, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata, pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.




Katanya, keputusan semakan itu akan diumumkan sendiri oleh Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.




''Jika Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengekalkan keputusan hukuman sebat itu, kita akan teruskan.




''Setakat ini, kita tidak dapat memberi sebarang ulasan berhubung kes Kartika Sari Dewi kerana semakan terhadap hukuman tersebut masih dijalankan oleh panel rayuan,'' ujarnya selepas merasmikan Bengkel Rasm Uthmani dan melancarkan buku Menuju Gerbang Akhirat di Dewan JAIP di sini hari ini.




Beliau mengulas perkembangan kes hukuman sebat yang dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi yang ditangguhkan di saat-saat akhir pada 24 Ogos lalu.




Kartika Sari Dewi sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor dari Ipoh, Perak pada 24 Ogos lalu bagi menjalani hukuman sebat kerana kesalahan meminum arak tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir dengan alasan perintah tahanan terhadapnya tidak dapat dilaksanakan dan menghormati bulan Ramadan.




Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Mohd. Sahfri Abdul Aziz berkata, berikutan itu, Ketua Hakim Syarie Pahang telah memberi jaminan akan menyemak semula keputusan mahkamah terhadap model tersebut.




Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 20 Julai lalu selepas mengaku bersalah minum arak di sebuah pusat hiburan di Cherating, dua tahun lalu.




Abdul Manan memberitahu, ekoran penangguhan kes Kartika Sari Dewi itu juga, pihaknya sedang menyemak semula Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 berhubung kesalahan minum arak di khalayak ramai.




Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai ketiadaan tukang sebat syariah yang berpengalaman dan berkemahiran bagi melaksanakan hukuman itu ke atas Kartika Sari Dewi.




Dalam pada itu, beliau menolak andaian bahawa reputasi dan kredibiliti JAIP terjejas selepas kejadian penangguhan kes sebat tersebut, sebaliknya moral pegawai dan kakitangannya tidak terjejas kerana kes itu dikendalikan mengikut prosedur perundangan yang betul.




Meskipun hukuman sebat itu telah termaktub dalam perundangan syariah negeri katanya, sehingga kini belum ada mana-mana individu yang dikenakan hukuman sedemikian selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai.




''Kita mempunyai empat lagi kes selain Kartika Sari Dewi tetapi kesemua mereka belum menjalani hukuman kerana menunggu proses rayuan,'' jelasnya.




Abdul Manan juga kesal dengan sikap sesetengah pihak yang menggambarkan hukuman sebat mengikut undang-undang syariah adalah kejam.




Tegas beliau, hukuman sebat mengikut undang-undang syariah adalah lebih berperikemanusiaan dan tidak menyeksakan berbanding hukuman sama mengikut undang-undang sivil.




Sehubungan itu jelasnya, pihaknya akan mengadakan kempen penerangan supaya orang ramai termasuk bukan Islam lebih memahami hukuman sebat syariah selain mungkin menerbitkan buku berkaitan pelaksanaan hukuman-hukuman yang terdapat dalam Islam tidak lama lagi.


sumber di sini

0 comments: