Pages

Friday, September 25, 2009

‘Cari Nur’ dalam ‘Perempuan’



Saya memang gemar membiarkan televisyen terpasang sambil menyelesaikan tugasan. Tujuan utamanya adalah untuk menghalau rasa mengantuk dan bosan. Namun konsentrasi memang banyak terganggu. Sedang asyik memilih saluran untuk ditonton, saya terpaku sejenak dengan sebuah drama melayu yang memaparkan para pelakon wanita yang selekeh bertudung yang memainkan watak banduan. Saya sedikit tertarik melihat pelakon-pelakon tanpa solekan itu cuba menghidupkan watak banduan yang sedang bergaduh dengan dialog-dialog kasar yang tidak molek bagi seorang wanita.



Tapi saya terus juga tidak menukar saluran. Saya terus terpaku menonton kisah itu. Kisah seorang wanita yang berdepan masalah keluarga, menempuh jalan hitam dan berakhir menjadi seorang banduan. Ia tidak berakhir di situ, wanita itu bertemu ‘nur’ di penjara. Kisah ini tambah menarik dengan beberapa adegan imbas kembali mengiringi surat-surat yang dihantar wanita itu kepada pengarang sebuah majalah.



Ironinya, surat yang biasanya dihantar ke ruangan pengarang itu kebiasaannya meminta nasihat dari pengarang, tetapi surat yang ditulis wanita ini dengan nama samaran ‘cari nur’ menceritakan kisah hidupnya dan keinsafan yang diperolehinya. Surat itu pula menjadi penawar bagi pengarang yang sememangnya berdepan masalah rumah tangga. Lebih menarik, pengarang itu bukanlah seorang Islam, memperoleh hidayah dari surat-surat itu dan menemui jalan kebenaran dan keluar dari kemelut masalah yang dihadapinya.



Drama berakhir dengan ‘cahaya’ yang diperoleh setiap watak. Kisah ini memang terlalu biasa dengan dialog dan teknik yang biasa-biasa sahaja. Namun, saya menangis sepanjang tontonan. Jelas, drama ini berkesan di hati saya dalam kebiasaannya.



Barangkali memang ada yang lemat dan cacat pada drama ini, namun mesejnya yang cuba disampaikan begitu tulus sekali. Biarpun ada klise, namun ia jelas bermakna. Oh ya, sebelum terlupa, drama ini bertajuk ‘Perempuan’.



0 comments: