Tidak secara sengaja ada rancangan akustik muzikal yang menampilkan Faizal Tahir hari ini. Saya terpaku sejenak di depan televisyen. Setelah rancangan itu berakhir, ada sebuah filem Melayu pula yang ditayangkan. Saya memang tidak begitu berminat untuk menonton, namun samabil cuba menyelesaikan tugasan-tugasan akademik yang perlu dihantar sebaik habis bercuti raya, saya biarkan televisyen terpasang.
Tajuknya Waris Jari Hantu. Rasanya filem ini sudah agak lama juga diterbitkan. Lakonan Maya Karin, rasanya ia kesinambungan filem Pontianak Harum Sundal Malam. Barangkali tema dan persoalan yang sedikit berbeza namun ia masih dalam genre yang serupa dengan barisan pelakon yang hampir semuanya sama.
Saya pernah menonton Pontianak Harum Sundal Malam, sudah lama juga dan seingat saya,saya tidak begitu memahami jalan ceritanya. Barangkali juga kerana saya memang tidak menggemari cerita bergenre seram apatahlagi ia filem melayu. Namun, ia bagi saya jalan cerita filem itu memang sedikit berbeza dari kisah filem melayu biasa. Tidak hairan juga ia bukan sahaja dapat menarik khalayak penonton malah meraih beberapa anugerah.
Walaubagaimanapun, saya cuba mencari moral untuk dikutip dari kisah yang dipaparkan. Tahyul dan khurafat, ditambah pula tentang isu pertukaran jantina. Saya jadi betul-betul pelik saat menonton. Kisah cinta yang sering saya tonton dalam filem Korea dan Jepun jauh lebih bermoral. Bagaimana seorang melayu, Islam pula gagal merenjis nilai-nilai indah dalam filem?
Barangkali benar juga, kita terlalu taksub dengan mazhab bentuk. Sedaya upaya kita mengubah jalan cerita yang luar biasa dan mengeluarkan dana yang besar untuk teknik-teknik kesan khas yang hebat. Semua ini semata-mata kita merasa inilah satu-satunya cara menandingi penerbitan layar perak dari luar. Hakikinya, kita bukan saja tidak berdaya menyaingi malah untuk mengejar pun tidak mampu.
Saya merasakan pembikin filem tanah air perlu membetulkan pemikiran. Kisah yang indah bukan kerana jalinannya yang luar biasa, tetapi kisah itu perlu memberi kesan. Kisah dimana penonton bisa berfikir dan mengambil keputusan untuk mengubah kehidupannya. Kisah yang memberi harapan dan impian. Apakah yang mungkin diimpikan pada kisah seorang lelaki yang menukar jantinanya dan kemudiannya berubah pula menjadi haiwan?
Melayu memang penuh dengan mistik dan misteri. Tak salah untuk meneroka dan berkreatif. Tapi, sebagai pengkarya yang menghasilkan seni untuk tatapan masyarakat, perlulah lebih memikirkan apa yang masyarakat akan peroleh dengan hasil itu. Bukan sekadar berkarya untuk menempa nama dan pengiktirafan.
Maaf andai saya begitu lancang meluah bicara. Namun, saya mahukan revolusi dalam penghasilan filem di Malaysia. Tak salah kisah yang luar biasa, namun, biarlah ada manfaatnya bagi khalayak yang menonton.
Friday, September 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment