CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, February 8, 2010

Ujian Kehidupan


Minggu ujian pertama bagi saya sudah berakhir dengan kertas terakhir petang Jumaat lalu. Ya, ujian memang sesuatu yang boleh menekan jiwa dan perasaan. Sepanjang 2 minggu bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran, ditambah gementar dan kerisauan untuk mengetahui soaln yang akan dikeluarkan serta kebimbangan andai terlalu berdebar hingga tidak mampu memberikan yang terbaik. Sungguh-sungguh ia menekan perasaan.


Itu belum lagi ditambah apabila ujian selesai. Kecewa tidak dapat menjawab, bimbang tidak akan lulus, ya, gelisah ternanti-nanti keputusan diberikan. Ah, sekali lagi ujian memndera perasaan.


Namun, ia menjadikan kehidupan seakan begitu bermakna. Setiap detik yang berlalu adalh begitu berharga. Tiada saat yang berlalu tanpa kesal kerana tidak membaca. Ya, kerana ujian seakan kita mempunyai tujuan yang pasti yang tidak mahu disia-siakan. Serta tempoh waktu yang hampir, menjadikan kita lebih tekun dan berusaha keras. Bila dikenang, memang jiwa terdera namun, ujian bagai satu motivasi untuk tidak berhenti bekerja.


Ujian pertama saya sudah berakhir. Jelas, matlamat jangka pendek saya telah menemui sasaran tinggal menanti natijah yang bakal diperoleh. Seketika saya merasakan bagai ada beban yang sebegitu berat diangkat dari bahu saya. Saya boleh berbicara tenang bersama teman-teman tanpa resah melihat jam untuk mengulangkaji pelajaran serta lena dengan nyenyak tanpa nota dan buku bertimbun di sisi sehingga mewarnai mimpi. Sungguh. Biar mendera perasaan, perasaan setelah ianya berakhir adalah sesuatu yang amat sukar untuk digambarkan.


Umpama kita berpuasa. Menahan lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa merupakan satu ujian yang menduga, fizikal, emosi dan hati. Namun bukankah Allah telah berjanji, sesiapa yang mampu menenpuhi ujian itu akan bertemu dua nikmat? Nikmat ketika berbuka dan nikmat ketika bertemu Tuhannya.


Ujian. Hidup adalah ujian. Bukan sekadar dalam pelajaran dan berpuasa. Hidup yang dilalui tiap detik dan ketika merupakan ujian dari Tuhan. Setiap waktunya akan diperhatikan dan diberi markah. Natijahnya cuma 2; Syurga dan Neraka.


Bila berdepan kesukaran dan kepayahan, memang ia adalah ujian. Namun saat bahagia dan tenang; jangan terlupa ia adalah ujian yang lebih besar. Ujian yang memduga adakah kita masih mengucapkan syukur atas nikmat yang dikurnia, ujian yang menduga adakah kita mampu meneguhkan diri dan tidak hanyut dalam keindahan kehidupan yang fana.


Apakah kamu sudah beriman, sedangkan kamu tidak diuji????



Wednesday, February 3, 2010

EVOLUSI SIRI SATU (modul komunikasi)

Bagai mimpi. Itulah yang saya rasakan. Program ini adalah program pertama yang diluluskan BHEP sejak saya menyertai KBM. Terasa segalannya berjalan lancar. Ya, seperti tidak percaya saya rasa.

Ia membuatkan saya terkenang kronologi bagaimana pelaksanaan program ini. Daripada permasalahan yang timbul, mencetuskan matlamat yang ingi dicapai. Menerusi perbincangan, musyawarah dan ‘brainstorming’, konsep program ini terilham. Ya, akhir semester lepas, kami bersama-sama penasihat-penasihat KBM berkampung di rumah Dr. Osman semata-mata untuk merangka strategi dan Alhamdulillah dengan pengalaman dan perkongsian pandangan dengan para penasihat yang lebih berpengalaman, kami bertemu konsep program yang begitu baik ini.

Program ini masih tidak bernama ketika kami berlima, anggota majlis tertinggi KBM mengadakan mesyuarat terakhir semester lepas sebelum cuti akhir semester bermula. Perancangan disusun dan tugas dibahagi. Sebagai setiausaha, seperti biasa, membuat kertas kerja menjadi tugas saya. Jujurnya, saya cuba membuat kertas kerja yang terbaik, namun menaruh harapan yang terlalu tinggi sama sekali tidak kerana belajar dari pengalaman, saya tidak mahu terlalu kecewa andai natijahnya tidak seperti yang diharapkan.

Kertas kerja ini dihantar sebelum semester baru dibuka lagi. Namun dikembalikan semula kerana masalah-masalah teknikal dalam kertas kerja dan dihantar semula dengan segera. Ya, kami menanti agak lama. Ada ura-ura mengatakan semua kertas kerja program ditahan di meja Ketua BHEP lantaran musim PRK yang berlangsung. Saya tidak pasti kebenaran itu. Namun, Alhamdulillah, lebih kurang seminggu sebelum program ini bermula, kertas kerja ini diluluskan. Ya, saya sudah hampir hilang harapan untuk melihat program ini dilaksanakan semester. Sungguh, tiada siapa yang menyangka kerja Tuhan.

Lebih sukar untuk percaya bila Abang Sayed Munawar bersetuju untuk hadir. Saya seakan mahu menangis saat Atiqah memaklumkan tentangnya. Dalam hati saya tersa sedikit gusar. Mengapa terasa begitu mudah perjalanan diatur Tuhan? Semoga Dia sentiasa di sisi.
Walaupun bilangan peserta tidak sampai pun 30 orang seperti sasaran awal. Namun saya cukup berpuas hati. Lebih-lebih lagi bila setiap peserta pulang dengan senyuman dan wajah yang puas.
Terima kasih BHEP kerana meluluskan program ini, Abang Sayed yang sudi hadir dalam kesibukan diri, Dr Zuriati dan Dr Along yang banyak membantu dan memberi sokongan, Dr Osman sebagai mastermind untuk konsep program ini, semua mantan dan penasihat KBM yang terlibat, sahabat-sahabat di dalam KBM yang sama-sama berjuang dalam susah dan senang. Kepada semua, terima kasih tidak terhingga dan semoga kita dapat lakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

Tuesday, February 2, 2010

'Bicara Tentang Cinta'


Sunday, January 31, 2010

PRK UPM 2010 – Persoalan-persoalan saya....

Pilihan raya selamat berlangsung Selasa lalu, tapi sehingga Jumaat kami masih menanti-nanti senarai nama MPP yang berjaya memenangi kerusi. Ya, memang banyak khabar berita yang diterima namun keputusan rasmi yang ditampal masih dinanti. Sebagai seorang mahasiswa dan pengundi, mengetahui siapakah pemimpin yang bakal memperjuangkan nasib mereka adalah sesuatu yang amat dinanti.

Namun, saya menerima sms pagi tadi menyebut tentang pembatalan kemenangan beberapa calon MPP yang telah pun dikenalpasti kemenangan mereka. Ya, itu memang satu kejutan. Dan sebagai mahasiswa dan pengundi, sekali lagi kami tertanya-tanya.

Lalu, saya menambahkan pertanyaan di sini, apakah perlu PRK dilaksanakan jika sekadar mahu melantik pemimpin yang sedari awal telah dipilih? Mengapa perlu membazir waktu, tenaga dan wang dan merumitkan pemikiran untuk memikirkan jalan dan langkah jika pemilihan sudah sedia ditetapkan? Lantas saya menyarankan proses pilihanraya kampus UPM ini dimansuhkan sahaja........

Ketika tempoh sehari kempen, ada teman-teman yang bersungut melihat kertas-kertas poster yang bersepah-sepah. Bukan sahaja nampak seperti pembaziran malah lebih mencacatkan pemandangan. Namun saya hanya tersenyum dan dalam hati bertanya sendiri, bagaimana kemeriahan pilihanraya dapat terasa tanpa perang poster?

Itu terus membuatkan saya terus bertanya, betapa ramai mahasiswa yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga mereka mengedarkan poster dan berkempen demi kemenangan calon pilhan mereka. Ya, tiada calon yang sendirian dalam meraih undi. Mereka perlukan penyokong-penyokong setia yang membantu perjuangan mereka. Maka, persoalan saya, pasti ramai juga dikalangan mahasiswa yang sanggup mengorbankan tenaga dan masa mereka untuk mengira kertas undi dalam menentukan ketelusan proses pemilihan calon. Jika saya bertanya, adakah anda sanggup untuk mengira kertas undi secara percuma, pasti anda akan teragak-agak untuk mengiakannya, namun jika saya berkata, adakah anda berminat menjadi sukarelawan dalam melancarkan perjalanan proses pilihanraya, saya kira ramai dikalangan mahasiswa tanpa ragu sanggup mencurahkan bakti.

Lalu saya bertanya, mengapa perlu lagi e-undi? Ya, saya memang menyokong e-undi dari sudut efisiensi dan kelestarian yang dapat dilaksanakan. Tentu sekali saya bersetuju jika kertas tidak lagi digunakan dalam proses pengundian kerana pokok yang ditebang dapat dikurangkan dan keseimbangan ekosistem dapat dijaga selain menunjukkan ketinggian teknologi yang kita miliki. Namun saya seakan mahu ketawa pula bila proses berkempen masih di tahap tradisional malah purba bila hanya poster dan pamplet dari kertas A4 yang digunakan yang jelas tidaklah ‘lestari’. Malah, ‘kempen berteknologi’ turut disekat seakan eksplorasi teknologi oleh golongan mahasiswa pula seakan mahu dimatikan.

Ya, memang lucu. Saya tidak mahu tahu siapa salah dan siapa yang mulakan dahulu. Namun, saya mengharapkan penyelesaian. Sebagai mahasiswa, kita masih terlalu muda untuk membelenggu diri kita terhadap dalam anasir-anasir negatif. Sebagai mahasiswa, kita perlu lebih berlapang dada dan bersikap terbuka tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan berjuang demi kebenaran.

Barangkali ini persoalan terakhir yang ingin saya tanyakan, kali ini kepada bakal-bakal MPP yang akan diisytihar dalam masa yang hampir; Apakah tujuan utama anda bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini? Adakah anda benar-benar mahu memperjuangkan hak-hak mahasiswa seperti yang anda senaraikan dalam manifesto anda? Atau sekadar mahu menambah laku resume anda dan menunjukkan kepada betapa hebatnya anda kerana berjaya bergelar pemimpim mahasiswa (walau hakikatnya anda bukan pilihan mahasiswa). Seperti entri yang lalu, saya mahu tekankan lagi, mahasiswa adalah golongan yang perlu bebas dan merdeka, jangan membelenggu jiwa dan minda kita dengan materi dan pengiktirafan semata-mata.

Akhir kata, saya memilih calon yang saya yakin akan kemampuan mereka membela hak saya sebagai mahasiswa. Tidak kira mereka Pro-Aspirasi atau Pro-Mahasiswa. Harapan saya, satukan hati kita sebagai mahasiswa. Jika ada pihak yang tidak mampu berlaku telus, sebagai mahasiswa, kita wajar bersikap telus, jujur dan amanah.

Saturday, January 30, 2010

EVOLUSI - SIRI 1 (MODUL KOMUNIKASI)

Sunday, January 24, 2010

PRK 2010-sebuah catatan awal

Sekarang musim pilihanraya kampus. Seorang sahabat saya turut bertanding. Ya, orangnya agak popular juga barangkali kerana personalitinya yang mudah mesra. Namun, saya juga yakin beliau juga seorang bertanggungjawab dan berdedikasi pada tugas. Saya berdoa semoga beliau berjaya.

Pilihanraya kali ini nampak sedikit ‘hidup’ berbanding yang lalu. Ya, langsung tiada sebarang khabar dan berita. Seakan tidak mahu buat juga. Ya, barangkali ketika itu kehangatan pilihanraya umum masih terasa, maka pilihanraya kampus perlu mengambil ‘jalan selamat’ untuk dilaksanakan.

Saya tidak pernah membaca apa-apa artikel atau rencana tentang bagaimana sesebuah pilihanraya kampus itu dilaksanakan. Namun, dari ucapan YDP MPP dalam sebuah majlis baru-baru ini saya menyedari betapa mahasiswa-mahasiswa yang bertanding hendaklah atas tiket calon bebas dan sama-sekali bukan mewakili mana-mana parti seperti yang berlaku dalam pilihanraya umum. Walaubagaimanapun, secara tidak rasmi calon-calon ini terbahagi kepada Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa.

Ya, ketika demam pilihanraya kampus sedang bermula, bekas-bekas MPP yang lalu mula membuat kempen. Memang aneh, orang lain yang bakal bertanding, orang lain pula yang bersungguh untuk berkempen biarpun waktu berkempen masih belum tiba. Barangkali juga kerana ketika pilihanraya yang lalu mereka tidak diberi peluang langsung untuk berkempem. Maka dua kelompok ini Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa semakin jelas kelihatan.
Kadang-kala saya mahu tertawa dan kadang-kala saya sedikit kecewa. Barangkali kita semua mahu lakukan yang terbaik dalam setiap tugasan yang diamanahkan. Namun kadang-kala kita seakan terleka yang kita kejar bukan menghulur bakti dengan tulus namun harapan kita terpandang dan terkenang dalam lipatan sejarah. Ya, itu yang dapat saya rasakan terselit dalam hati bukan sahaja MPP malah keseluruhan mahasiswa. Kita menghulur tangan bukan semata-mata mahu membantu yang memerlukan tapi kerana kita mengharap orang lain turut melihat, menyanjung dan mengangkat.

Maka kuasa, pengaruh dan kepercayaan menjadi matlamat. Ya, saya kecewa. Barangkali banyak pencapaian dan kejayaan yang telah kita perolehi. Sungguh ia sangat mengagumkan. Namun, saya kecewa jika hanya sekadar itu tujuan dan matlamat kehidupan. Semata-mata kerana diri sendiri.

Dunia politik memang menggerunkan. Namun, tanpa kuasa politik kita seakan tongkat tidak dipapah. Mahasiswa adalah golongan muda yang penuh semangat dan idealistik. Saya bimbang dan saya harap agar semangan dan idea mahasiswa tidak ditenggelami oleh pengaruh material dan penghargaan. Dari dulu kita berjuang demi berbakti kepada masyarakat. Maka saya mengharapkan kita tidak akan sesekali berubah dan bercakaran sesama sendiri kerana kepentingan diri sendiri. Apatahlagi oleh pihak-pihak yang cuba memanipulasi semangat dan idea kita.

Pilihanraya kampus bakal bermula. Di UPM, calon-calon yang layak bertanding telah diumumkan. Sebagai warga kampus, menjadi hak dan tanggungjawab kita untuk membuat pilihan. Bagi sahabat-sahabat yang bertanding, bertandinglah secara adil atas semangat persaudaraan dan permuafakatan. Biar siapa pun kita, kita perlu sedar kita adalah mahasiswa yang bebas dan merdeka untuk menjadi diri kita sendiri. Jika anda terpilih, anda perlu sedar tugas anda bukan lagi mencari publisiti, tugas anda adalah berada dikalangan sahabat-sahabat anda ini untuk membantu mereka. Juga sebagai pemimpin, anda perlu sedar amanah yang anda galas itu sangat berat.

Monday, January 18, 2010

'Allah' dalam sastera cetusan bukan Islam

Oleh : Jimadie Shah Othman


Adakah kita bimbang kalimah Allah tidak disebut secara benar? Atau kita bimbang ia disebut secara salah?

Reaksi umat Islam ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan nama Allah dalam mingguan Katholik Herald merupakan kebimbangan jenis kedua.

Dan kebimbangan tokoh-tokoh seperti bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan anggota majlis syura PAS Ahmad Awang, kebimbangan jenis yang pertama.

Pengalaman sastera Malaysia selepas pascapenjajahan - atau secara nakal boleh disebut "era Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)" - memperlihatkan perkembangan menarik yang mungkin boleh dijadikan iktibar terhadap polemik terbaru kalimah Allah di negara ini.

Selepas merdeka, walaupun tidak ramai, tetapi masih terdapat penulis bukan Islam yang menulis karya-karya berunsur Islam, termasuk menggunakan kalimah Allah dalam tulisan mereka.

Nama-nama seperti Raja Rajeswati Seetha Raman, Joseph Selvam dan Lim Swee Tim pada suatu masa juga terlibat mewarnai perkembangan sastera berunsur Islam di Malaysia.

Penulis Uthaya Shankar SB pernah menulis karya bernada Islam, mengisahkan kemelut mualaf yang ingin memeluk Islam dan konsep janji menurut Islam.

Selain mendapat tempat di pelbagai penerbitan, karya-karya pernulis bukan Islam ini turut dimuatkan dalam penerbitan Islam seperti majalah Al Islam, Nur dan Dewan Agama dan Falsafah (tidak lagi beroperasi).

Sementara puisi-puisi yang melafazkan kecintaan kepada tuhan seperti buah tangan penyair Kristian Lebanon, Khalil Gibran pula kadangkala diletakkan sebaris dengan puisi-puisi sufi nukilan Hamzah Fansuri, Amir Hamzah dan Muhammad Iqbal.

Namun, mampukah kecurigaan umat Islam menghambat mereka daripada memperkatakan tentang tuhan sekalian alam, memperkatakannya secara benar? Jawapannya, ya.

"Semasa saya menulis, saya anggap diri saya sebagai seorang penulis Islam. Saya fokus seratus peratus. Niat saya ikhlas.

"Tetapi selepas jadi macam ini (polemik penggunaan kalimah Allah), mungkin saya tidak akan tulis lagi," kata seorang penulis beragama Hindu yang menulis karya-karya berunsur Islam.

Menurut seorang pengkaji sastera Islam, penulis Cina kelahiran Kelantan, Lim Swee Tim - yang pernah menulis sajak-sajak berunsur Islam pada permulaan penglibatannya dalam dunia sastera sekitar tahun 1970-an - juga telah beralih arah kepada tema-tema lain seperti kemanusiaan.

Walaupun karya-karya tersebut barangkali tidak selari dengan format sastera Islam ala DBP - yang berpaksikan pandangan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad - penulis terkenal Faisal Tehrani berpendapat, karya-karya tersebut diterima kerana ia "sangat sederhana dan tidak melibatkan upacara keagamaan."

Pengamat sastera Salleh Rahamad pula berpandangan, perkara tersebut tidak pernah menjadi isu kerana kumpulan terbabit tidak pernah menyifatkan ajaran Islam atau mencemari kesempurnaan sifat-sifat Allah.

Tambahnya, tidak pernah misalnya ada penulis yang menyifatkan Allah seperti penganut Kristian percaya kepada konsep ketuhanan secara ajaran tritunggal.

Dalam dunia seni budaya, saya percaya, hampir keseluruhan anggotanya tidak melihat penglibatan penulis bukan Islam sebagai ancaman terhadap keharmonian Islam.

Tetapi ramai penulis dan sasterawan yang mungkin berpendirian sebaliknya selepas muncul kontroversi luar biasa kes Herald mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri. Mereka dihurung kebimbangan yang sama.

Tetapi bagaimana jika kebimbangan dan kecurigaan kita itu barangkali menyebabkan nama Allah tidak lagi disebut - disebut secara benar?

Sekurang-kurangnya, seorang penulis terkenal beragama Hindu - yang menulis sajak secara 'lebih Islam daripada orang Islam' - sudah menzahirkan keengganannya terus berkarya kepada saya.

Siapakah yang akan menanggung dosa ini?

sumber di sini