Pages

Saturday, September 12, 2009

Kasih Ibu dalam ‘Koma 2”

Televisyen di rumah saya baru saja elok. Namun gambarnya tidaklah begitu cantik tetapi masih bisa ditonton. Selepas menonton drama Nur Kasih, saya menukar-nukar saluran, mecari-cari jika ada cerita menarik untuk ditonton.




‘Koma 2’ itu tajuknya. Filem Hong Kong yang dibintangi Shu Qi, salah seorang pelakon Hong Kong kegemaran saya. Pada awalnya, ia seakan sebuah cerita hantu dengan beberapa babak yang mendebarkan. Saya bukanlah penakut, tapi saya memang tidak gemar ditakutkan oleh ‘hantu imaginasi’ dalam filem. Namun, oleh sebab tiada rancangan yang lebih menarik, saya biarkan saja kisah itu berjalan sambil saya menyelak-nyelak nota untuk ujian esok.




Namun, ia bukan cerita hantu. Mungkin dalam genre thriller seram. Namun tema filem ini cukup menarik. Kasih ibu terhadap anak. Sungguh, filem ini menggambarkan bagaimana seorang ibu sanggup melakukan apa saja malah melakukan sesuatu diluar kewarasan akal demi seorang anak. Sungguh, kasih ibu memang luar biasa.




Kisah bermula dengan sebuah keluarga, suami isteri dan seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan usia 5 tahun berpindah ke sebuah pangsapuri. Tragedi bermula apabila anak mereka hilang tiba-tiba dan si isteri mengesyaki anak mereka diculik ‘sesuatu’. Dalam usaha mencari, si suami pula di serang oleh si penculik dan tidak sedarkan diri. Akhirnya si isteri sedar penculik itu juga adalah manusia yang bersembunyi dalam bahagian-bahagian dalam pangsapuri itu.




Si isteri berusaha memburu penculik dengan harapan dapat menyelamatkan anaknya. Di sini tibulnya banyak babak yang menarik, usaha ibu yang ingin memperoleh anaknya kembali dan seorang wanita yang mahu melindungi seorang anak yang diculik yang dianggap anak sendiri kerana seiras anaknya yang telah tiada dari diambil kembali. Kadang-kala adegannya sedikit ganas dan menakutkan. Sesuai denga genre thriller yang dibawa. Namun, kita mendapat nilai betapa kasih ibu sesuatu yang sukar dimengerti. Ibu sanggup lakukan apa saja demi seorang anak.




Kisah berakhir dengan si penculik menyedari hakikat kehidupannya yang tidak lagi bermakna dan membunuh diri dengan terjun dari bumbung pangsapuri. Ini babak yang saya kurang gemar dalam banyaknya filem-filem. Apabila watak tidak diberi peluang untuk berubah dan ditamatkan dengan bunuh diri. Bagi saya ia seakan memimpin masyarakat untuk mencari jalan mudah dalam menyelesaikan masalah.




Walau apapun, saya merasakan tema yang baik ingin disampaikan pembikinnya. Ia wajar menjadi contoh pembikin filem di Malaysia dalam memilih tema dalam filem. Namun, terdapat beberapa adegan yang tidak sesuai dengan akidah dan budaya kita. Bagi saya, ambil yang jernih, buang yang keruh.

0 comments: