Terlalu banyak yang kurang dalam diri saya. Keras kepala, pemalas, menyelesaikan urusan di akhir waktu, penakut, dan banyak sekali. Sungguh, tanpa cahaya dan petunjuk-Nya dan fikrah yang jelas dalam memahami agama, saya nyaris hanyut dalam lautan dunia yang penuh kepalsuan. Dan ia sesuatu yang amat saya resahkan kerana ujian yang datang tak akan pernah berhenti.
Namun, Tuhan itu Maha Penyanyang. Dalam banyaknya keburukan dan kelemahan, Dia masih begitu pemurah mengurniakan sifat-sifat terpuji dalam diri saya. Sifat-sifat yang seakan berakar-umbi dan menjadi darah daging saya. Ahamdulillah.
Antara sifat itu ialah menepati janji. Benar. Barangsiapa yang berjanji, tetapi memungkirinya, sungguh dia termasuk dalam golongan munafik. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa hambaMu ini.
Bukan saya tidak pernah mungkir janji, malah berkali-kali. Ah, saya juga insan kerdil yang serba tidak sempurna. Kadang-kala akal fikiran dilalaikan dan saya terlupa akan janji yang telah dimeterai. Kadang-kala pula waktu begitu mendesak dan saya seakan perlu memilih antara pelbagai urusan. Maka ada janji termungkiri tanpa sengaja dan terpaksa dimungkiri. Mohon keampunan atas segala kelemahan diri.
Sungguh saya kesal betapa bibir begitu mudah mengungkap janji. Ampunkanlah atas kekhilafan ini. Sedaya-upaya janji akan tetap saya tepati dan jika tidak memang hati tidak tenang dan rasa bersalah akan terus membelenggu diri. Tuhan, kuatkanlah hamba dalam melaksanakan ketaatan pada-Mu.
Saya telah berjanji dengan sahabat untuk hadir ke program, saya juga berjanji pada ibu untuk pulang ke rumah. Antara dua janji saya benar-benar tersepit. Sungguh, saya boleh pulang ke rumah dan kembali ke kampus. Namun, cuti saya masih berbaki sehari. Ibu pula meluahkan ras kurang senang bila saya berhasrat pulang awal. Sungguh, saya serba salah.
Saya bertanya, di mana saya lebih diperlukan? Saya sendiri buntu. Doakan Dia memberikan saya pentunjuk-Nya.
0 comments:
Post a Comment