Pages

Wednesday, September 9, 2009

Drama CInta Sempurna

Setelah demam Nur Kasih sedikit surut kerana menanti episod terbaru untuk disiarkan Jumaat ini. Saya sempat berbual bersama beberapa orang sahabat. Bagi mereka Nur Kasih bukanlah drama islami yang benar-benar membina sebaliknya mencadangkan untuk saya menonton sebuah drama yang disiarkan di astro oasis yang berjudul Cinta Sempurna.




Ada yang menyarankan agar saya berhenti menonton Nur Kasih. Namun, bagi saya Nur Kasih masih ada kekuatan tersendiri walau ada beberapa babak yang perlu di pertimbangkan semula sama ada perlu untuk diterbitkan dan juga dimuatkan wacana yang lebih bermakna agar mampu menjana minda masyarakat untuk mengupas persoalan-persoalan ummah yang lebih besar. Namun, dari segi teknikal dan temanya, Nur Kasih masih mengagumkan saya selaku sebuah drama melayu.




Namun, saya cari juga drama Cinta Sempurna yang dicadangkan itu. Kata mereka boleh ditonton melalui youtube. Ya, memang benar. Dan sehingga kini saya telah menonton sehingga episod ke 10. Saya tidak pasti berapa episod keseluruhannya namun saya merasa sedikit teruja dengan tema yang di bawa drama ini.




Cerita asal Cinta Sempurna adalah daripada Ustaz Hasrizal, pemilik blog saidulislam.com dan penulis buku motivasi cinta Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai Ke Syurga. Tema utamanya adalah akidah saya kira. Sekitar tontonan saya kisah ini berjalan sekitar dua adik-beradik remaja yang baru pulang dari barat yang hilang percaya kepada agama khususnya Islam. Kebanyakan babak membawa kepada usaha ibu bapa mereka dalam mengembalikan aqidah anak-anak mereka. Sungguh, drama ini seperti dokumentari dakwah dan islah. Mencari solusi dalam mengembalikan aqidah remaja yang telah hanyut dengan kepercayaan modenisasi dan sekular.




Drama berlangsung dengan banyaknya perbincangan dan persoalan. Saya tidak sabar menanti bagaimana mungkin kedua beradik ini kembali mengenal hakikat iman dan islam. Biarpun penuh wacana, saya tidak terasa bosan atau jemu untuk terus menonton. Barangkali kerana perjalanan cerita yang begitu dinamik namun dari segi teknikal ia seperti drama melayu biasa. Bagi saya, kekuatan dalam drama ini adalah skrip dan dialog yang diucapkan. Segalanya penuh dangan persoalan yang memerlukan pemikiran dan perbincangan.




Biarpun kisah ini jelas dengan tema untuk mengembalikan aqidah remaja yang terpesong kepercayaan. Masih ada persoalan cinta yang dibangkitkan. Saya masih di awal tontonan dan tidak begitu pasti bagaimana kisah cinta ini berjalan. Namun, bagi saya seberat mana sebuah kisah itu ingin disampaikan, persoalan cinta perlu juga diberi sentuhan kerana cinta itu cerita umpama garam dalam makanan. Tanpanya makanan kurang enak, jika terlebih buruk pula akibatnya.




Itulah drama yang saya kira wajar menjadi alternatif untuk memperkayakan pemikiran dalam kehidupan. Selama menonton!!!

0 comments: