Pages

Monday, September 7, 2009

Arak dan Hudud.

Pertama kali saya menatap kisah ini, saya jadi pengagum seketika pada seorang pendosa. Ah, jujurnya siapa saja tidak melakukan dosa. Malah saya sendiri terbelenggu berbagai dosa. Namun, bila seorang berdosa mengaku berdosa, mahu bertaubat malah sanggup menanggung balasan dan akibat atas dosa yang dilakukan, masakan kita tidak merasa kagum?





Hukuman sebat terhadap wanita ini, Kartika Sari Dewi menimbulkan isu nasional. Tentu sahaja, ramai tergamam dan tak senang duduk dengan hukuman itu. Jelas ia penganiayaan terhadap wanita. Mana mungkin boleh memukul seorang wanita, itu penderaan dan sama sekali menyalahi hak asasi manusia. Hak asasi manusia? Saya jadi terfikir pula, meminum arak itu bukankah memberikan kesan yang tidak baik pada kesihatan, menjejaskan kemampuan akal untuk berfungsi secara berkesan. Tidakkah membiarkan masyarakat bergelumang dengannya menjejas hak asasi tubuh mereka yang berhak untuk berada dalam keadaan sihat dan sedar?





Sungguh, saya tidak mengerti apakah erti hak asasi yang sebenar. Dan saya tidak berminat untuk membincangkannya di sini. Namun, persoalan hukuman sebatan yang menimbulkan pelbagai tanggapan dalam masyrakat menarik saya untuk menulis sedikit tentangnya.





Seorang pensyarah saya mempersoalkan isu hukuman itu lantas mempersendakan Kartika Sari Dewi sekadar mencari populariti. Saya merasakan tanggapan begitu tidak wajar untuk diluahkan, lebih-lebih lagi oleh seorang ahli akademik di hadapan para pelajarnya. Bagi saya apa sebenarnya yang terselindung dalam hati wanita itu tidak perlu diteka-teka dan diandai-andai. Apa yang patut sebagai seorang manusia lebih-lebih lagi Islam adalah bersangka baik dan memberinya sokongan ke arah perubahan yang baik. Bukan melakukan spekulasi dan menimbulkan lebih banyak isu.





Saya jarang membaca akhbar kerana saya memang sukar menerima berita-berita yang dipaparkan saban hari menyesakkan dada dan pemikiran. Terlalu banyak yang perlu diperbetul dan diubah. Namun, itu bukan bermakna saya buta info semasa. Apatahlagi ilmu-ilmu yang sepatutnya perlu ada bagi orang beragama.





Bila timbul pelbagai isu berkaitan sebatan ini, saya makin berminat untuk mencari apakah jalan penyelesaian yang pelu dilalui. Apakah perlu hukuman itu diteruskan?






Hukuman bagi seorang peminum arak memang telah jelas di dalam banyaknya hadis ialah 40 kali sebatan. Saya mempelajarinya ketika masih di sekolah menengah dalam mata pelajaran Pendidikan Syariah Islamiah. Saya yakin, ramai yang mengetahui tentangnya cuma ramai juga yang masih ragu akan kewajarannya. Namun, sebagai seorang Islam yang beriman kepada kitab Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w., saya rasa tidak timbul kesangsian dalam diri tentang keperluan hukuman itu dilaksanankan.





Saya membaca dan mengumpul pelbagai pendapat tentang isu ini. Ya, saya hanya mempelajari tentang agama Islam secara formal sehingga tamat sekolah menengah. Walaupun saya tidak berhenti dalam menimba ilmu namun banyak sekali perkara yang masih samar-samar pada saya. Maka saya terus mencari dan membuat penilaian. Maka, artikel ini ditulis agak lewat setelah agak lama isu itu berlangsung.






Hukuman dalam Islam terbahagi pada dua, iaitu hudud dan ta’zir. Hudud adalah hukuman yang telah tetap diperintahkan Allah dalam Al-Quran manakala ta’zir adalah hukuman bagi kesalahan-kesalahan lain yang tidak disebut dalam Al-Quran yang ditentukan hukumannya oleh pemerintah. Bagi meminum arak ada yang beranggapa ia hudud, tidak kurang juga mengganggap ia ta’zir.





6 kali hukuman sebatan. Ia dijatuhkan atas dasar ta’zir. Ini kerana hukuman yang ditentukan Rasulullah adalah 40 kali sebatan. Maka jelas sudah ada tolak ansur di situ di mana mahkamah syariah memilih unutuk menjalankan ta’zir. Namun hukuman sebatan itu bukanlah seperti hukuman jenayanh sivil yang sering kita dengar dan lihat.





Telah jelas di dalam hadis, 40 kali sebatan itu menggunakan pelepah tamar atau sepatu. Juga tangan yang diangkat ketika melakukan sebatan ada had-had tertentu. Seorang ustaz menjelaskan jika sebuah buku di kepit di bawah lengan, ia tidak akan terjatuh bila tangan diangkat untuk melakukan sebatan.





Sungguh sebatan itu adalah tarbiyah, didikan. Juga tazkirah, peringatan. Bagi pelaku juga bagi orang yang melihatnya. Hukuman yang dilakasanakan juga adalah maghfirah terhadap si pelaku. Bila hukuman di dunia telah terlaksana, insya Allah akan terlepas hukuman di akhirat yang lebih sengsara.





Selain itu, tidak sewajarnya timbul isu jantina dalam menjatuhkan hukuman. Bukankah zaman ini isu kesamarataan dan hak yang sama wajar diberikan pada lelaki dan wanita. Sungguh, Islam agama yang adil dan tidak menjalankan diskriminasi termasuk dalam perlaksanaan hukuman. Maka, baik lelaki mahupun wanita, yang bersalah akan tetap di hukum.





Saya rasa sekadar itu sahaja. Saya kagum dengan Kartika Sari Dewi yang mempunyai kekuatan untuk mengaku bersalah dan menanggung hukuman. Semoga Allah memberikan taubat dan hidayah kepada beliau.






Saya juga merasa hikmah yang besar dari kesanggupan beliau. Hikmah di mana hukuman syariah mampu untuk dilaksanakan di muka bumi Malaysia ini walaupun berdepan pelbagai halangan. Juga hikmah unutk masyarakat terdedah kepada isu-isu ummah seperti ini. Isu-isu di mana banyaknya kejahilan mereka-mereka yang mengaku beriman tetapi tidak mengenali hakikat sebenar Islam.

0 comments: