Wednesday, February 6, 2013
Himpunan Helwa Kebangsaan 2013 (Bahagian 1)
Sunday, January 13, 2013
KL112 : Bukan sekadar jumlah kehadiran....
Perjalanan kami bermula dari ERL Putrajaya...
'Tak pernah ERL seramai ini,' teman saya bersuara. Mata meliar memerhati penumpang ERL yang menyarung t-shirt merah, hijau dan kuning sambil tangan kejap memegang tiang memaut diri (berdiri, tiada tempat duduk kosong dan ramai berdiri). Saya cuma berdiam kerana pertama kali menaiki ERL dan tidak mampu membuat perbandingan. Namun senyuman mengiringi perjalanan keretapi letrik pantas menuju KL sentral.
KL sentral menghadapi fenomena warna serupa. Ditambah ungu dan oren. Tujuan kami adalah hotel premier. Tempat keluarga teman saya ini menginap. Keluarganya begitu semangat sehingga menempah bilik hotel. Saya pula berdepan keraguan melepaskan diri oleh keluarga. Ibu saya bukanlah penyokong Barisan Nasional, namun, bila saluran informasi hanya tv. Keresahan dan kebimbangan turut menyelinap dalam hati, tambahan sifar kefahaman tentang himpunan yang akan dianjurkan. Tapi, saya memang keras untuk lembut mengakur dan saya yakin ibu pasti memahami penglibatan saya ini. Pasti, beliau memberi keizinan dengan seribu pesanan.
Keluar dari KL sentral, ragu mencari arah. 2 orang lelaki berkuturunan India pertengahan usia laju melangkah, saya tegur menanya arah. Pasti, mereka juga keliru di mana terletak pasti hotel tersebut. Pasti, laluan ke stadium merdeka tujuan mereka sambil bertanya arah sebenar perjalanan kami. Saya mengangguk iakan. Itu misi utama namun, kami perlu mampir ke hotel tersebut meletakkan beg pakaian yang dibawa teman saya dan singgah solat zohor.
Antara yakin dan percaya, kami melangkah bersama. Berbual basa-basi dengan 2 uncle yang saya terlupa bertanya nama. Berbicara soal kepincangan sistem pentadbiran dan keperluan untuk berubah. Saya menghadapi sedikit kesulitan menghadam kefasihan berbahasa Inggeris mereka. Mengeluh kelemahan diri tidak menguasai Inggeris sebaiknya atau kesal betapa bahasa Inggeris begitu rutin sehingga menjadi pertuturan harian yang lebih selesa diguna pakai dari bahasa kebangsaan. Namun, saya hanya membalas dengan senyuman dan ucapan terima kasih ketika hotel premier yang dituju kelihatan susuknya. Pastinya walau berbeza keturunan dan budaya, kami berkongsi idealisme serupa. Terasa perpaduan warga Malaysia terjelma.
Usai solat, dari jendela hotel di aras 14, kelihatan 'barisan rakyat' bergerak panjang dan padat di atas jalan. Teruja untuk menyertai. Berkobar untuk menggabungkan diri. Lantas, kami bergegas ke lif menuruni hotel dan melangkah pantas ke arah khalayak rakyat.
Adakah istilah untuk menggambarkan sangat sangat sangat ...... ramai ini? Saya jarang menyertai demonstrasi jalanan. Namun, pasti inilah demonstrasi (jika sesuai istilahnya) paling ramai pernah di adakan di Malaysia. Syukur, Saya dapat menyaksikan dan menjadi sebahagian daripadanya.
Setelah memetik kamera untuk gambar dan video. Kami menggabungkan diri. Melangkah perlahan mengikut arus manusia. Sesak, terhimpit. Namun aman. Namun selamat.
Saya bukan penggemar demonstrasi. Berpanas, berhimpit, apatah lagi bercampur lelaki wanita. Lemas dan rimas malah resah tidak dapat menjaga batasan dan maruah. Namun, entah bila bermula, saya mendapat perspektif berbeza soal himpunan demonstrasi baik di jalanan mahupun dataran.
Sambil melangkah, menjaga diri dan air wuduk yang masih lagi ada usai solat zohor tadi. Dalam sorak dan laungan semangat, saya dan teman sempat bergurau...
'tak terjaga wuduk kita.' Senyum.
'latihan untuk mengerjakan haji.' Sengaja saya memberi alasan. Seorang ustaz yang kami kenali lalu. Ketika menegur dia selamba berbicara, 'latihan tawaf dan padang arafah'. Kami terdiam sejenak sebelum tertawa perlahan. Bukan kami sahaja memikir seperti itu.
'Iktibar dari demonstrasi...
pertama, latihan untuk pelaksanaan haji,
kedua, reunion sahabat dan teman lama," kami senyum. Pandangan berlegar melihat beberapa peserta perarakan menyerbu sebuah van sarat dengan minuman untuk jualan.
'dan peluang perniagaan.' kami ketawa. Riang sebenarnya berdemo ini.
Memandang keliling tiada yang tertekan terhimpit dan tersepit. Semua melangkah tenang penuh semangat. Bila ada kesulitan ramai bertolak ansur memberi laluan dan menghulur bantuan.
Perjalanan berterusan dengan aman. Kelihatan beberapa kenderaan yang tersepit di kalangan demonstran. Melihat penumpang di dalam, tenang menunggu redha perarakan atau sabar memusing kenderaan dengan senyuman keluar dari khalayak demonstran. Ah, warga kita memang penuh kesedaran dan pemahaman, isu sehari terperangkap dalam lalulintas demi kebebasan dan kelestarian hidup rakyat bukanlah isu besar yang sengaja diperbesarkan golongan tertentu.
Sehingga tiba di persimpangan monorel hang tuah menuju ke satadium, perjalanan kami terhenti. Ya, laluan itu terlalu padat. Kami cuba juga melangkah. Namun, tidak berjaya. Hasrat untuk ke stadium terpaksa di padamkan. Dalam hati mengutuk diri keluar terlalu lewat bila ramai yang menuju stadium awal-awal pagi lagi.
Di persimpangan itu, beberapa wakil NGO dan Pakatan Rakyat memberikan ucapan. Saya cuba memberi perhatian. Tapi sedikit sukar. Namun ada ucapan seorang wakil menarik penumpuan saya, '...inilah perhimpunan yang diadakan oleh rakyat dan ditaja oleh rakyat.....'
Ya, ini adalah program yang ditaja oleh rakyat. Saya hadir dengan wang saku yang terhad dan tawakal yang menggunung tinggi. Tanpa paksaan dan tanpa tajaan pastinya. Kehadiran di sini dari seluruh ceruk tanah air tanpa sebarang huluran kewangan. Melihat semangat generasi warga emas dengan tongkat dan di papah anak-anak. Beralih pula melihat anak-anak kecil melangkah yakin tanpa rungutan apatah lagi tangisan. Ini bukan persoalan biasa, luar biasa melihat taburan generasi yang rela dan redha turun ke jalanan menunjukkan harapan dan impian untuk berubah. Saya terfikir, adakah ini suasana ketika kemerdekaan di umumkan lebih 50 tahun lalu. Bila berduyun-duyun warga keluarga meraikan pembebasan sebuah negara yang sekian lama tertindas oleh penjajahan. Terus tertanya-tanya, adakah suasana ini menggambarkan selama lebih 50 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan, rasa tertindas serta kebebasan yang di injak melilit kehidupan rakyat hingga memaksa mereka keluar untuk menuntut kebebasan itu kembali?
Teman menggamit untuk kami bergerak pulang. Maaf, saya tidak menanti hingga himpunan bersurai dan melangkah pulang lebih awal. Ketika melangkah saya mencadangkan melencong ke Petaling Street mencari tempat mengisi perut. Baru terasa perut berkeroncong, kerana saya cuma sempat bersarapan pagi tadi.
Berjalan sekali lagi tanpa memahami arah laluan sebenar. Kami berdua memang dari selangor, hidup dalam kebanyakan usia di selangor, namun, berdepan jalan-jalan di kuala lumpur, kami masih seperti rusa masuk kampung. Sepanjang jalan, demonstran dengan baju warna tema merah, hijau, kuning, oren dan banyak lagi mengisi jalan-jalan. Kebanyakan kedai tutup, tidak pasti kerana demonstrasi atau hari cuti, tapi pasti kedai makanan yang di buka penuh pelanggannya. Kami terus melangkah mencari tempat sesuai mengisi perut.
Akhirnya, papan tanda marry brown menggamit kami. Saya tidak begitu gemar menikmati marry brown, namun, tidak begitu mudah mencari medan selera lain, saya ambil keputusan untuk mengisi perut di situ. Kelihatan ramai juga demonstran yang lain turut memilih restoran makanan segera ini.
Tidak ketinggalan dua anggota polis lengkap seragam turut menikmati burger dan ayam goreng di marry brown ini. Saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama terbaik sepanjang himpunan. Lihat, jika tiada provokasi, polis yang bertugas turut boleh menjamu selera dengan tenang dan kenyang... =)
Tanpa sedar, rupanya restoran ini berdepan dengan lrt pasar seni yang bersambung dengan stesen komuter kuala lumpur. Saya akan bergerak pulang ke bangi dan teman saya akan menuju kembali ke hotel premier. Kami berpisah. Saya meneruskan langkah sendiri membeli tiket komuter.
Terpegun tiket manual komuter berupa resit cetak ditulis tangan oleh penjaga kaunter. Senyum lagi dan pandangan tertebar melihat di mana-mana demonstran berada.
Komuter berjalan lancar. Barangkali saya agak awal pulang. Masih beratus ribu di stadium dan sekitar. Sambil menanti komuter dan sepanjang perjalanan, update himpunan saya ikuti melalui facebook dan blog.
Tiba di stesen ukm, turun bersama saya, peserta perarakan lainny. Dari mula perjalanan hingga penghujung ada peserta himpunan bersama saya. Dan bilangannya bukan seorang dua..tapi lebih sepuluh orang. Terfikir, perarakan himpunan kebangkitan rakyat tidak bermula di sekitar KL di check point yang telah ditentukan tapi bermula sepanjang perjalanan dari seluruh pelusuk negara!
Pasca perhimpunan, jumlah kehadiran menjadi isu untuk dipolemikkan. Pasti, itulah 'outcome' sebuah perhimpunan, bilangan menampilkan kejayaan dan kegagalan. Saya akui, jumlah itu menggoda saya untuk turut serta. Namun, KL112 punya makna lebih dari sekadar mengira jumlah kehadiran....
Gambar-gambar yang sempat di rakam (saya akui perlu masuk kelas fotografi...huhu)
Saturday, March 13, 2010
EVOLUSI ’10 – Modul Personaliti
EVOLUSI ’10 menutup tirai semester ini dengan madul ketiga iaitu modul personaliti. Modul ini membawa pendekatan Membetuk Personaliti Diri Sebagai Seorang Muslim : Hindari Syirik Yang Tersembunyi. Dikelolakan oleh Dr. Asmah Yahaya, Pensyarah UPM yang pernah memenangi pingat emas dalam penyelidikan di Geneva.
Menjadikan syirik sebagai kontra dalam pembentukan personaliti, Dr Asmah menjelaskan bagaimana personaliti diri dapat dibina dengan nilai-nilai Islami. Syirik yang tersembunyi umpama kotoran hitam pada batu yang hitam di malam yang gelap. Ia sangat sukar untuk dihindari. Maka adalah penting dalam pembinaan personaliti muslim untuk berhati-hati dari terjebak dengannya.
Bagi membina personaliti, tiga langkah penting yang perlu ditekankan ialah ialah bentuk, baja dan hargai. Personaliti itu pertamanya perlu dibentuk,untuk dibentuk ia perlu kepada satu acuan,maka untuk memilih acuannya, kita sebagai muslim perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Allah swt sudah menetap dan menggariskan bagaimana sebenarnya akhlak atau personaliti seseorang muslim itu. Oleh sebab itu,mebentuk personaliti perlulah berdasarkan acuan yang telah ditentukan Allah swt. Kemudian personaliti yang telah dibentuk itu perlu dibaja. Ini adalah konsep istiqamah iaitu bagaimana personaliti yang telah dibentuk tadi dapat kekal di dalam diri serta sentiasa dipertingkatkan kualitinya. Ia memerlukan kepada usaha yang berterusan. Seterusnya ialah menghargai. Personaliti muslim yang baik dan bagus itu perlu pula dihargai. Antara caranya ia memanfaatkan personaliti yang baik itu untuk kebaikan kepada masyarakat serta bersyukur kepada Allah atas kurniaan yang diberikan.
Personaliti muslim itu merangkumi beberapa aspek, antaranya ialah nyata,personaliti seseorang muslim itu hendaklah tidak tersembunyi dan disembunyikan. Kemudian ia perlu seimbang untuk kehidupan di dunia dan akhirat serta ia berdasarkan ajaran Al-Quran dan mencontohi Rasulullah saw. Keperluan utama dalam membentuk personaliti muslim ialah Tauhid iaitu kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan yang satu dan lawan kepada Tauhid itu adalah syirik.Maka dalam membentuk personaliti muslim,musuh utama yang perlu dihindari ialah syirik.
Seterusnya,Dr Asmah menerangkan keperluan bersikap positif dalam membentuk personaliti. Beliau mengungkapkan betapa sikap positif itu memerlukan kepada aset. Ini bermaksud adalah lebih mudah untuk bersifat positif bila mengetahui kelemahana dan kekuatan kita agar ia membantu kita untuk sentiasa dapat bersikapa positif dengan apa yang kita miliki.
Dr Asmah menamatkan bengkel beliau dengan petikan kata-kata Dr Mazlan Osman, warga Malaysia yang berjaya di peringkat antarabangsa dalam bidang sains astrofizik;
‘Determine what you want to do, and do what you really want to do not what your teacher and parent want you to do. Look what you want to do in 5 to 10 years and make a path. In order to make a different, you have to different. Different thinking, different approach.’
Harapan saya mahasiswa hari ini akan lebih berupaya untuk bekerja keras dalam membentuk personaliti diri dan berjaya di dunia dan akhirat.
EVOLUSI ’10 – Modul Pengurusan Kewangan
Bukan segelintir, tapi majoriti warga Malaysia menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan mereka. Biar sebanyak mana pendapatan yang mereka peroleh, mereka masih berdepan dengan pelbagai isu kewangan yang mengugat dan mengganggu emosi dan jasmani.
Mendidik diri untuk mengurus kewangan dengan bijak juga memerlukan ilmu. Tanpa ilmu yang benar, pasti pengurusan yang tepat tidak dapat dilaksanakan. Masa yang paling sesuai untuk menuntut ilmu adalah zaman muda, zaman di mana manusia paling mudah mencerna informasi dan membentuk tabiat diri.
Mahasiswa hari ini turut tidak ketinggalan berdepan kerumitan isu kewangan. Pastinya jika tidak ditangani segera, golongan-golongan muda ini akan berdepan krisis yang lebih teruk ketika melangkah ke alam dewasa. Maka mengetahui teknik dan disiplin yang betul dalam pengurusan kewangan diri adalah sangat penting dalam kehidupan sebagai mahasiswa khususnya dan manusia seluruhnya.
Berikutan dalam melahirkan mahasiswa yang sentiasa bersedia dengan kepelbagaian kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menghadapi cabaran globalisasi dunia yang tidak terduga, mendedahkan mahasiswa kepada pegurusan kewangan diri yang betul adalah perlu. Bagi tujuan ini, melalui EVOLUSI ’10 modul pengurusan kewangan di bawah tajuk ‘Mahasiswa Bijak Mengurus Wang’, mahasiswa didedahkan kepada pengurusan kewangan secara teknikal dan praktikal oleh Pensyarah dari Jabatan Pembangunan Enterprise dan Perundingan Siswa, Universiti Teknologi Mara; Puan Laila Mohd Kamaruddin yang secara santai dan bersahaja berkongsi ilmu dan pengalaman beliau yang sangat bermanfaat kepada mahasiswa.
Bermula dengan mengulas Surah pertama dalam Al-Quran, Surah Alfatihah, beliau menerangkan betapa wujud dalam Quran yang mulia bagaimana teknik-teknik kewangan itu di ajar Tuhan. Bermula dengan istilah ‘maha’ yang bermasud terbaik,menunjukkan dalam pengurusan sesuatu perlulah dilaksanakan sebaik mungkin untuk memperoleh hasil yang diinginkan. Diteruskan bagaimana penggunaan akal yang bijak dan perkongsian rezeki yang diberi kepada golongan yang memerlukan serta pergantungan kepada Tuhan dalam menetukan pilihan terbaik dalam sesuatu permasalahan.
Beliau meneruskan penerangan tentang keperluan meletakkan tujuan dalam pengurusan kewangan. Dalam setiap urusan baik dalam pelajaran mahupun pekerjaan, kita pasti mempunyai matlamat dan objektif yang ingin dicapai. Begitu juga dalam menguruskan kewangan,meletakkan objektif untuk menguruskan kewangan adalah perlu supaya kita jelas tentang matlamat kita dan sentiasa berusaha ke arahnya.
Secara asasnya, tujuan utama dalam pengurusan kewangan adalah demi merancang masa depan. Pengurusan kewangan yang baik akan menyediakan masa depan yang terjamin, dan selamat dari pelbagai masalah. Sebagai contoh, tujuan pengurusan kewangan adalah untuk mengawal perbelanjaan agar tidak berlaku lebihan perbelanjaan yang menimbulkan masalah kekurangan sumber kewangan pada masa hadapan juga demi mewujudkan hubungan yang baik dengan keluarga, kawan dan masyarakat kerana dapat mengelakkan pergantungan kewangan dengan mereka yang boleh membawa kepada perselisihan faham dan ketidakpuasan hati. Ia juga perlu untuk menjaga insan-insan yang kita sayangi agar menjamin kehidupan mereka pada masa depan.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, banyak langkah dan teknik serta proses yang boleh diamalkan.Dalam sesi kali ini Puan Laila telah berkongsi agak panjang lebar 5 langkah dalam melaksanankan perancangan kewangan diri;
Langkah pertama ialah menilai situasi kewangan semasa. Ketika ini kita perlu menilai apakah keadaan kewangan kita sekarang. Adakah kritikal atau tidak? Apakah masalah-masalah kewangan yang kita hadapi? Apakah tabiat-tabiat yang ada pada diri kita mengganggu kelancaran pengurusan kewangan kita? Kenal pasti semua ini dan jika mampu senaraikan kedudukan kewangan kita dalam bentuk angka sekali agar lebih jelas dan difahami.
Langkah kedua ialah menetapkan matlamat kewangan persendirian. Matlamat ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Dalam menetapkan matlamat kewangan, adalah penting untuk kita mempunyai ilmu tentang nilai wang berdasarkan nilai masa. Ini berikutan nilai wang yang ada sekarang tidak akan sama untuk 10 tahun lagi. Oleh itu mengadakan simpanan wang untuk masa depan perlu bermula dari sekarang.
Dalam menetapkan matlamat,terdapat dua langkah penting iaitu pertama mengenalpasti apakah matlamat anda, sebagai contoh membeli kereta, rumah, pergi bercuti dan sebagainya. Kemudian pecahkan matlamat-matlamat itu kepada matlamat jangka pendek iaitu kurang dari satu tahun, sederhana antara 1 hingga 3 tahun dan jangka panjang iaitu lebih 3 tahun. Perlu diingatkan antara matlamat yang wajib ada dalam kewangan kita adalah simpanan untuk kecemasan. Sewajarnya simpanan untuk kecemasan ini adalah keperluankewangan yang diperlukan untuk enam bulan atau lebih. Ini bermaksud jika dalam sebulan anda memerlukan wang perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1000, maka anda perlu mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM6000.
Langkah ketiga adalah menentukan tindakan yang perlu diambil kira. Untuk melaksanakan sesuatu tindakan dalam kewangan, terlebih dahulu sediakan penyata kewangan anda (balance statement) yang menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda serta net worth anda. Apa yang perlu anda buat ialah sentiasa meningkatkan net worth anda. Antara cara-cara bagi meningkatkan net worth anda ialah; meningkatkan kadar simpanan, mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan hutang dan menjual barang-barang yang tidak lagi mendatangkan keperluan kepada anda.
Langkah keempat ialah menilai sebarang alternatif. Apa yang penting dalam pengurusan kewangan adalah menyedari dan memahami kemampuan kewangan diri. Kita perlu jelas mengenai keperluan dan kehendak, berbelanja dengan bijak serta menangguhkan keinginan. Setelah itu sediakan satu bajet kewangan, bajet ini perlu memenuhi beberapa syarat untuk dilaksanakan dengan jayanya. Antara syaratnya ialah hendaklah sabar dan berdisiplin, realistic, fleksibel dan menyediakan peruntukan untuk bergembira.
Langkah terakhir ialah menyediakan perancangan kewangan dan laksanakannya. Dalam penyediaan perancangan kewangan ini,beberapa perkara yang perlu diambil kira ialah produk kewangan seperti yang ditawarkan oleh bank-bank, membina kekayaan melalui simpanan, pelaburan dan sebagainya,insurans serta pengurusan hutang.
Puan Laila menamatkan ceramah beliau dengan igatan kepada mahasiswa agar bijak dalam menguruskan kewangan dan tidak mudah terpengaruh untuk berbelanja serta sentiasa berfikir tentang masa depan. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan modul ini dan berharap untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan. Harapan saya ialah mahasiswa mampu untuk bertanggungjawab terhadap kewangan masing-masing danmenjalani kehidupan sebagai mahasiswa yang berketrampilan dan bijak. Juga ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama rakan-rakan mahasiswa yang lain.
Wednesday, February 24, 2010
Tuesday, February 23, 2010
Selawat ke atas Baginda
Apakata kita selawat dahulu... Allahumma solli ala saidina Muhammad wa ala ali saidina Muhammad.
Sesungguhnya selawat ke atas jujungan besar Nabi Muhammad SAW tidak hanya diungkap makhluk yang terdiri dari manusia,haiwan,alam semesta dan seluruhnya, malah juga oleh Allah SWT Tuhan yang menciptakan sekalian alam. Selawat...
12 Rabiulawal tiba lagi. Tahun itu satu kejadian telah berlaku. Tentera bergajah Abrahah mahu menyerang Kaabah. Maha suci Allah telah melindungi Kaabah mengirimkan Ababil memusnahkan tentera Abrahah. Tahun Gajah, tahun di mana seorang insan paling mulia dan agung dilahirkan. Seketika saya merasa rindu, alangkah indah dapat bertemu kekasih Allah...Muhammad Bin Abdullah.
Jumaat ini, baru kelmarin saya diberitahu cuti umum sempena kelahiran Nabi Muhammad SAW, rasul terakhir yang sangat dicintai. Sungguh, saya tidak begitu rajin menyelak kelendar cuti tahunan walau menyedari sudah memasuki bulan maulid.
Sempena bulan yang mulia ini...mari sama-sama kita susuri perjalanan sirah baginda..menerokai pahit getir perjuangan baginda dan menghargai nikmat indahnya iman dan Islam dalam jiwa...
Selawat....


































