Pages

Showing posts with label muhasabah. Show all posts
Showing posts with label muhasabah. Show all posts

Thursday, February 14, 2013

Kekasih



Cinta sering disalah ertikan. Maka cinta perlu diertikan. Hanya kerana tidak mengerti tentang cinta, jangan semua kekasih menjadi mangsa.

Pasti cinta bukan sekadar mengenang hari kekasih tapi dinamakan hari kekasih kerana wujudnya makhluk bernama cinta. Maka adakah salah untuk meraikannya kerana wujudnya cinta yang kembang mekar di dalam jiwa?

Mengulang kisah Qaisy yang gila dan Laila yang derita kerana mereka menanggung rasa cinta yang membara. Bukan mahu membuka hikayat. Namun kisah cinta agung karangan sufi ini membawa nilai tersendiri. Betapa cinta adalah ujian yang begitu menduga kerana di dalamnya terkandung nafsu dan percaya.

Silap aturan kepercayaan bisa dirobek nafsu yang bermaharajale. Sehingga menyangka ada penyatuan abadi dengan bertindak ‘kamikaze’bagai penyelesaian cinta dua darjat Romeo dan Juliet. Lebih derita bila kepercayaan terus musnah bila cinta hanya sekadar terkandung nafsu semata.

Maka mengertilah yang diperangi adalah nafsu yang membelenggu cinta. Bukan rasa percaya yang mengawalnya. Jika jauh di sudut jiwa, ada kepercayaan yang begitu padu berupaya mengawal hawa nafsu, silakan sahaja untuk bercinta. Tapi jika nafsu lebih terpercaya, maka hati-hatilah bermain cinta kerana bakarannya mampu melebur apa saja.

Sekadar menawar perbezaan, bahawa cinta itu bukan sekadar dua gender berlawanan. Bukan sekadar terukir antara Qaisy dan Laila atau Romeo dan Juliet. Kisah cinta yang melatari kehidupan sahabat zaman anbiya memberi teladan bahawa manusia yang beragama itu hidupnya adalah cinta. Sehingga mereka percaya untuk mengorbankan apa sahaja demi rasa cinta yang telah disemai dalam jiwa.

Mencontohi para sahabat yang saling bercinta, kami raikan hari kekasih ini. Bukan mahu menyokong sambutan mengenang valentine, tapi mengerti bahawa sahabat adalah kekasih yang perlu untuk diraikan. Serta cinta perlu diertikan!

kisah laila majnun di sini

Wednesday, January 30, 2013

Jatuh


Jatuh. Bila difikir-fikirkan jarang sekali saya 'jatuh'.

Dan sakitnya....saya hilang akal seketika. Dan saya mencari erti, kesakitan yang dilalui, pasti ada hikmah tersembunyi.

Saya masih ingat, peritnya 'jatuh' kali pertama. Menangis sepanjang malam, dan buntu mencari arah tujuan.

Bukan sekali, malah berkali-kali. Terdetik di hati untuk selamanya pergi. Hanya, satu kepercayaan yang menyelamatkan saya bahawa kesakitan ini cuma sementara.

Dan kesakitan ini mengajar saya untuk kembali pada-Nya. Pada nikmat yang begitu banyak dikurnia. Dan saya...seringkali terlupa dan jarang sekali melimpahkan rasa syukur dan cinta.





Sunday, January 1, 2012

2011... another year end...

2011 berakhir juga. 2 semester pengajian tamat. Tinggal lagi 2 semester = 1 tahun. Masa makin pantas berlalu. Masa tinggal sedikit lagi. Berkali-kali terucap di bibir, 'tak dapat dibayangkan hidup selepas ini. Benar-benar dewasa. Meninggalkan alam pelajar dan pengajian, ia menggetarkan hati.'

Setahun yang berbaki. 2 penggal yang tinggal. Ingin sekali menjadikannya benar-benar bererti.

Ketika saya menulis entri ini sengaja saya menyemak entri2 lalu blog ini. Sedar tidak sedar usia blog ini sudah lebih 3 tahun. Masa memang pantas berlalu. Saya tidak pasti apakah niat utama saya mula menulis blog. Entahlah, kadang-kala saya semakin banyak terlupa tentang perkara2 yang lalu. Tentang segala duka dan derita, juga senyum dan tawa.

Ketika menyemak, saya sedari tahun 2009, saya paling banyak menulis. Tahun pertama di alam degree. Jumlah entri semakin berkurang. Sepanjang tahun 2011, hanya 7 entri yang saya nukilkan. Sungguh, saya sendiri tidak mengerti mengapa. Malah kali pertama saya tidak mencatat sempena tahun baru dan hari lahir. Kali pertama saya tidak punya azam baru. Walau tahun 2011, banyak sekali perkara penting yang berlaku.

2010. Tahun kedua sebagai mahasiswa sarjana muda. Kali pertama melangkah ke luar bumi Malaysia. Tahun itu saya ke Singapura pada penggal pertama dan United Kingdom pada penggal kedua. Namun, peristiwa penting itu tidak saya punya sebarang catatan.

Seringkali, kejuruteraan yang lebih tertumpu pada angka dan kira-kira menjadi alasan yang saya berikan memberitahu betapa daya olahan aksara dan kata yang saya miliki semakin tumpul. Barangkali benar. Barangkali tidak. Barangkali juga luka yang dalam yang saya lalui di akhir pengajian asasi dan awal degree berbekas begitu lama hingga saya gentar untuk megukir bicara pena yang takkan terlepas mengukir rasa jiwa yang ingin saya pendam sendiri. Saya sendiri tidak pasti luka itu sudah sembuh. Namun, saya menyimpan impian untuk tegar menulis. Mungkinkah saya mampu?

Walau apapun 2011 berakhir. Maafkan saya atas segala kelemahan yang ada sepanjang tahun itu. Lebih2 lagi kepada sahabat2 di KBM. Menyandang jawatan sebagai Amirah, saya seringkali mentertawakan diri betapa saya hipokrit menjadi diri sendiri. Maafkan saya atas segala kelemahan. Ketika sahabat2 baru yang baru dilantik penuh keraguan untuk menerima taklifan, saya sekali lagi mentertawakan diri, sinis menyindir betapa saya lebih2 tidak layak walaupun telah setahun menanggung taklifan. Dan air mata menitis. Berdosakah saya dalam ketidakseriusan menjalankan amanah? Melepaskan taklifan ini satu kelegaan yang besar. Sungguh, tidak mudah dan saya berkali-kali putus asa. Tapi saya tidak mahu berhenti..

Ya, seperti menulis juga. Saya mungkin lemah untuk istiqamah dan kadang-kala futur sebentar. Sungguh, jauh di sudut hati saya mahu tegar berdiri.

2012... ada ramalan mengatakan dunia akan berakhir. Namun bagi saya, jika kehidupan di dunia ini berakhir, ia adalah permulaan baru. Bagi dunia yang abadi.

Maka saya memilih 2012 ini untuk bermula kembali.

Mencari pena
Meneroka makna

Menilai diri
Menghakikat insani

Biar bumi mati
Akhirat pasti

Kembali berdiri
Walau lemah tak bersendi


Resolusi Akhir tahun 2011 / Azam Awal tahun 2012
(terusan dari Azam Tahun Baru 1433 H)

1. Tulis entri blog sekurang-kurangnya sekali dalam 2 minggu
2. Mula start projek penulisan (bersama sahabat baik..=))
3. CGPA pointer 3.6
4. Habiskan baca buku sekurang-kurangnya sebuah sebulan
5. Sertai aktiviti luar sekurang-kurangnya sekali sebulan
6. Menghantar karya ke media cetak sekurang-kurangnya sekali sebulan
7. Menghasilkan Projek Tahun Akhir yang bermakna
8. Istiqamah aktiviti kerohanian
9. Sentiasa up to date isu semasa
10. Kembali mencari cinta dan hala diri


Rasanya inilah resolusi paling banyak pernah saya senaraikan. Sungguh, selama menulis azam tahun baru bertahun-tahun, tidak semua dapat saya capai. Jadi biarlah berlebih dan jangan berkkurang. Dan saya sedar limitasi diri. Apa yang saya gariskan ada di dalam lingkungan kemampuan diri. Insya Allah. Doakan saya...