Pages

Friday, September 25, 2009

Iran, Libya kutuk kuasa besar

Muammar Gaddafi yang muncul pertama kali di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-64 setelah 40 tahun menolak untuk menghadirinya, mempamerkan ketegasan dengan menyelar badan dunia itu atas apa yang disifatkannya sebagai ketidakadilan dan berat sebelah. Pemimpin Libya itu mengejutkan perhimpunan tersebut apabila menunjukkan aksi mengoyak buku piagam PBB dan kemudiannya melemparkan buku ke podium sebagai tanda protes terhadap kelemahan PBB.



NEW YORK 24 Sept. – Pada hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kebanyakan negara-negara anggotanya menyeru ke arah perpaduan global, pemimpin Iran dan Libya hari ini mengutuk ketidakadilan dunia yang dikuasai oleh lima kuasa besar.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad sedikit pun tidak memperkatakan tentang program nuklear negara itu dalam ucapan beliau dalam Perhimpunan Agung PBB. Beliau berucap dalam perjumpaan tahunan ini selepas enam kuasa global yang cuba menyekat cita-cita nuklear Iran mengumumkan mereka mahu ‘maklum balas serius’ Teheran dalam perbincangan nuklear pada 1 Oktober ini.

Ahmadinejad mengkritik kapitalisme rakus Amerika Syarikat (AS), sekutu Baratnya dan Israel yang merampas tanah penduduk Palestin. Namun beliau juga menawarkan persahabatan kepada mana-mana negara yang ‘ikhlas’ berbuat demikian.

Kenyataannya itu dibuat selepas temu ramah malam semalam yang mana dia meminta Presiden Barack Obama agar melihat Iran dengan potensi sebagai rakan dan bukan ancaman.

Tatkala Ahmadinejad mengumumkan komitmen baru Iran untuk membantu mewujudkan ‘keamanan berpanjangan dan keselamatan seluruh dunia untuk semua negara’, ucapan beliau dipenuhi dengan bahasa anti-Israel dan anti-Semitik yang menyebabkan delegasi AS keluar dari dewan. Ia diikuti perwakilan Israel, Kanada dan beberapa negara lain.

Ahmadinejad meramalkan ‘kapitalisme peluasan kuasa’ akan mengalami nasib sama seperti Marxisme, dengan melemparkan tuduhan itu kepada kuasa yang tidak dinamakan yang ‘menggunakan cara paling buruk untuk soal siasat dan penipuan di bawah sepanduk kebebasan’.

Sebelum itu, Muammar Gaddafi menyelar PBB kerana gagal menghalang puluhan perang di dunia dan menuduh anggota paling berkuasa dalam badan dunia itu melayan negara lain sebagai ‘kelas kedua yang dibenci’.

Dalam ucapan pertama beliau di depan Perhimpunan Agung PBB sejak 40 tahun memerintah Libya, Gaddafi banyak memperkatakan ketidaksamaan dalam Majlis Keselamatan PBB yang mana lima anggota tetapnya – AS, Rusia, China, Britain dan Perancis – memiliki kuasa veto.

“Ia patut digelar ‘majlis keganasan’,” ujar beliau yang kemudian menyeru agar veto dihapuskan dan keanggotaan diperluas untuk Afrika, Amerika Latin, Arab dan negara-negara Islam.

Gaddafi yang berjubah coklat menaiki podium selepas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Obama meminta penglibatan global yang lebih banyak ke arah dunia tanpa senjata nuklear, mengatasi ancaman perubahan iklim dan menangani krisis kewangan global yang dijangka menyebabkan 100 juta orang berada di bawah paras kemiskinan tahun ini.

Para pemimpin dibenarkan berucap selama 15 minit sebelum lampu merah dinyalakan. Obama sendiri tidak mengendahkannya dan meneruskan ucapan selama 38 minit tetapi Gaddafi berbicara lebih lama dengan catatan 1 jam 36 minit, seterusnya merosakkan jadual ucapan dan mengganggu majlis makan tengah hari untuk delegasi.

Ketika Gaddafi meneruskan ucapan, dewan perhimpunan semakin kosong dan pada satu ketika beliau mengoyakkan kulit muka piagam PBB dan melemparkannya ke arah podium sambil menyatakan rasa tidak puas hati kerana dunia dikawal oleh empat atau lima kuasa besar. – AP


sumber-Utusan Online





0 comments: