Pages

Thursday, June 18, 2009

Faisal Tehrani Bersiaran Langsung



Saya baru mahu cuba melelapkan mata kembali. Ini bukan tabiat yang baik, tidur selepas subuh. Namun cuti adalah alasannya.


Bunyi mesej kedengaran masuk. Malas sekali untuk membacanya. Namun saya tatap juga.


Secara refleks saya pantas bingkas dan menekan punat televisyen di depan. Agak kalut juga mecari siaran.


‘Amal, Faizal Tehrani di MHI’. Itulah kandungan mesej dari seorang teman. Saya terpaku seketika di depan kaca televisyen. Seketika saya segar memasang telinga mendengar tiap tutur bicara penulis kegemaran saya itu.


Beliau diundang untuk mengulas novel Bedar Sukma Bisu. Saya sudah khatam novel ini juga pernah mendengar bicara Saudara Faisal tentang novel ini dalam satu konvensyen mahasiswa di ibu negara. Jelas itu bukan perkara asing namun saya senang dapat menatap dan mendengar bicaranya. Apa yang terlintas di fikiran saya cuma satu, nampaknya dia sudah pulang dari India.


Hari ini saya agak rajin. Saya cuba mempelajari teknik grafik untuk laman web dari sebuah perisian pemberian yang akhirnya memberikan saya beberapa idea yang baik sekali. Kemudian sebelah malam saya cuba menulis satu entri untuk blog.


Malam telah lewat. Saya biasanya akan tidur paling lewat pukul satu pagi. Tapi terkenang ada siaran ulangan MHI pada lewat malam. Saya menanti. Sebaik saja bermula, saya sudah sedia di depan kaca televisyen.


Rasanya tidak sepicing pun detik melainkan saya menumpukan perhatian pada lelaki yang amat saya kagumi itu. Nampaknya saya hanya menonton separuh siaran tentangnya pagi tadi. Puas rasanya dapat menonton sepenuhnya pada awal pagi ini.


Saya kira beliau terlalu kurus. Terkenang gurauan adik ketika pesta buku yang lalu. Ya, waktu itu saya tidak terlalu memberi perhatian. Mana mungkin untuk saya keterlaluan menatap seorang lelaki. Namun, sungguh ketara berbanding beberapa tahun lalu. Barangkali terlalu sibuk menyelesaikan novel-novel terbaru dan berkualiti.


Jujurnya saya tidak sabar menanti buah tangan terbaru darinya. Teruja dengan kajian tentang tariqat di India yang diuar-uarkan dalam blognya tak lama dulu. Namun, dalam kemelut politik yang tidak sudah kini, saya merasakan sebuah satira politik adalah suatu tema persoalan yang agak sesuai untuk diangkat menjadi sebuah novel.



2 comments:

Unknown said...

minat faisal tehrani? kenapa ye?
saja nak tahu..

Amalina Ismail said...

sbb dia different..
novel2 y dia tulis sgt sukar untuk dihasilkan...
x ramai penulis y dpt tulis spt dia..
selain tu, dia selalu memberi pandangan yang menyebabkan kita berfikir dan mengakibatkan curiosity y sgt tinggi...
ssh la nk citer..baca sajalah novel dia..
saya cadangkan Tuhan Manusia..
Isu pluralisme agama..sgt menarik..