Pages

Wednesday, June 17, 2009

Percutian hampir berakhir


Adakah patut merasa sedih? Atau teruja dan gembira? Persoalannya percutian saya sudah dipenghujung. Seperti biasa, saya merancang terlalu banyak sebelum bercuti, dan tak banyak yang dapat saya penuhi. Sedikit kecewa pada diri. Tapi, saya puas begini. Bercuti dengan tenang sepuasnya.


Ini bukan tabiat baik yang boleh dijadikan ikutan. Masa cuti sewajarnya menjadi medan untuk melakukan pelbagai aktiviti dan mengumpul pengalaman yang tidak sempat dilakukan ketika sibuk belajar. Lebih-lebih lagi ketika pada tahun-tahun awal pengajian. Pastinya banyak tanggungjawab dan tugasan bila usia semakin meningkat.


Sekali lagi saya menerima pengajaran. Masa adalah anugerah paling berharga untuk dimanfaati sebaiknya. Bak kata imam Ghazali, ‘perkara yang paling jauh dari kita adalah masa lalu’. Tentu sekali, kerana masa yang telah berlalu tak mungkin dapat kita lalui kembali.


Walau bagaimanapun, dalam tempoh hampir 10 minggu percutian kali ini, banyak juga pengalaman baru yang saya perolehi. Dimulai dengan ekspedisi mendaki Gunung Angsi di Negeri Sembilan, seingat saya pendakian kali ini adalah paling mencabar dan menarik selama 19 tahun saya hidup. Pengalaman yang tak mungkin untuk dilupa.


Seterusnya banyak waktu saya habis di rumah. Rutin harian saya tak banyak. Saya akan habiskan waktu seharian dengan membaca buku, menonton cerita atau melayari internet. Sebelah petang saya akan menyediakan juadah untuk makan malam. Saya jarang masak untuk tengah hari dan pagi, saya tidak terlalu rajin untuk semua itu. Namun, ketika terpaksa memasak saya belajar beberapa masakan yang biasa saya makan tapi tidak saya ketahui cara menyediakannya sebelum ini. Seterusnya, saya merasakan betapa saya sangat berbakat dalam soal masakan. Hanya saya perlu lebih masa, usaha dan kerajinan. Saya memang mengimpikan untuk memiliki sebuah restoran. Tapi buat masa terdekat, saya ingin sekali mengadakan jamuan di mana saya memasak setiap juadah yang ada.


Kemudian ada suatu hari saya mengalami sakit perut yang amat sangat. Sebenarnya biasa berlaku bila saya silap makan, tak tentu waktu makan atau terlebih makan. Semuanya soal makan. Mungkin itulah hadis Nabi ada menyebut tentang kebanyakan penyakit datangnya dari perut. Bermula soal pemakanan. Tapi bukan itu yang ingin saya kongsikan. Oleh kerana penyakit itu berlaku di hadapan ibu bapa, dan saya tidak berminat untuk bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan. Ayah saya mencadangkan untuk saya pergi mendapatkan rawatan di Darul Syifa’.


Darul Syifa’ adalah satu pusat rawatan Islam yang diasaskan oleh Dato’ Haron Din. Rawatan alternatif yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran untuk rawatan dan penyembuhan penyakit.Kadang-kadang agak sukar untuk menghadam sesuatu yang tidak logik. Tapi kita akan mempercayainya bila telah melaluinya. Saya menjalani rawatan di situ. Menarik. Saya sempat pergi tiga minggu. Barangkali saya akan pergi lagi minggu ini.


Tiga kali saya mengikuti keluarga melawat saudara-mara. Dua kali ke Perak dan sekali ke Temerloh. Saya memang gemar bertemu saudara-mara. Saya sering terkenang majlis kenduri kahwin kakak dan abang sepupu saya. Saya berharap untuk menyertai lagi majlis-majlis kenduri di mana saya memegang peranan yang agak berguna. Saya rasa saya perlu mengingatkan mana-mana sepupu saya yang bakal berkahwin agar memilih tarikh yang bersesuaian kerana saya amat gemar untuk membantu menyempurnakan sebuah majlis perkahwinan. Saya kira saya boleh menguruskan sebuah majlis perkahwinan. Barangkali itu juga satu alternatif sebagai sumber pendapatan.


Kemudian yang terbaru saya meluangkan masa hujung minggu menyertai satu kem kepimpinan; Tamrin Qiyadi PKPIM peringkat kebangsaan di Sekolah Tinggi Agama Yayasan Sofa, Rembau, Negeri Sembilan. Pengalaman yang menarik. Sudah agak lama juga tidak menyertai program sebegini. Banyak perkara yang saya perolehi. Termasuk pengalaman-pengalaman baru yang tak mungkin dilupakan.


Saya kira setakat itu yang dapat saya kongsikan. Minggu depan saya akan menyertai kem persediaan untuk pembantu universiti. Bersambungan dengan minggu perkasa putra. Agak teruja untuk bertemu pelajar-pelajar baru. Setelah itu semester baru akan bermula.


Semester akan datang pastinya lebih mencabar. Insya-Allah saya bakal mengambil 19 kredit. Satu kredit kokurikulum, renang asas pada petang sabtu. Saya berkira untuk mengambil kelas memandu pada hari ahad. Masih di peringkat perancangan. Banyak lagi perkara baru. Dan saya semakin dewasa untuk menimbanya. Semoga segalanya akan lebih baik!



0 comments: