Konflik kuasa di Perak, isu PPSMI, konflik antara gerakan Islam, konflik dengan pihak pentadbiran, isu golongan Islam liberal dan banyak lagi antara isu-isu semasa yang mendapat tempat dalam perbincangan dalam Tamrin Qiyadi yang saya sertai baru-baru ini.
Banyak informasi baru. Banyak pula penilaian yang perlu dibuat semula. Banyak yang perlu dipertimbangkan sebaiknya. Namun, saya bukan seorang yang mudah dipengaruhi. Seperti dalam isu Islam liberal yang telah saya berikan pendirian saya dalam entri yang lalu. Jelas saya mahu ia diharamkan. Tanpa kompromi. Sungguh kebebasan itu perlu namunada batasnya. Saya tak mahu berlaku pula solat Jumaat yang diimamkan wanita berlaku di Malaysia.
Berbeza pula dengan isu politik di Perak. Ternyata khalayak yang saya temui kali ini lebih bersifat sederhana dan sama sekali non-partisan. Seperti temanya. Konflik ini sudah sekian lama berterusan. Saya merasakan pembubaran Dun dan pilihanraya semula adalah jalan terbaik. Lebih-lebih lagi dengan dua wakil rakyat yang baru mengisytiharkan diri mereka ‘bebas’ yang sedang menghadapi dakwaan di mahkamah atas kes masing-masing. Apa saja boleh berlaku. Tidak mustahil ada kerusi dun yang bakal kosong dan menuntut pilihanraya kecil. Tidak mustahil tampuk pemerintahan kerajaan negeri bakal bertukar tangan lagi. Ah, isu tak mungkin akan selesai jika berterusan tukar-menukar begitu.
Jika pilihanraya semula diadakan pula, kemungkinan berlaku sekali lagi perbezaan kerusi yang kecil dalam sidang dun tidak mungkin dielakkan. Barangkali dalam situasi dan trend semasa kelihatan Pakatan Rakyat adalah lebih popular. Namun, Barisan Nasional tidak mungkin menyerah begitu mudah. Akibatnya isu akan terus berpanjangan. Barangkali inilah kelemahan sistem demokrasi yang diamalkan kita waktu ini.
Saya bukanlah sebahagian rakyat Perak yang dapat membuat penilaian mana satu pemerintah yang paling sesuai memerintah. Namun, berdasarkan sembang-sembang bersama orang-orang Perak, jelas menunjukkan pihak Pakatan Rakyat lebih mendapat tempat di hati rakyat. Bukan sekadar kerana gelombang tsunami politik namun kerana sifat pemimpinnya yang dikatakan lebih dekat dengan rakyat. Atau barangkali ada bias di situ kerana khalayak yang saya temui adalah generasi muda yang memang terkenal dengan sifat mahukan perubahan dan terikut-ikut dengan arus yang melanda.
Itulah anehnya di tamrin ini. Saya bertemu generasi muda yang bersifat terlalu sederhana. Malah tanpa ragu betapa kerajaan Barisan Nasional wajar diberi peluang. Malah menteri besar yang baru diharap dapat memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Lebih mengujakan bila saya mengetahui betapa menteri besar itu dianggap ‘orang sendiri’ berdasarkan sejarah yang diketahui. Hakikatnya saya tidak tahu. Itulah yang disampaikan kepada saya.
Namun setelah dipertimbangkan sebaik dan sewajarnya, saya masih menyokong pembubaran Dun dan pilihan raya semula. Bukan kerana ragu dengan pemerintah yang baru yang sebenarnya sudah lama diuji dalam pemerintahan. Namun atas dasar demokrasi yang disanjung tinggi dalam sistem pentadbiran negara. Saya merasakan hak perlu dikembalikan kepada rakyat sesuai dengan corak demokrasi. Serta bersainglah secara adil tanpa menimbulkan sebarang isu.
Berkait soal pembaziran yang akan berlaku jika pilihanraya semula diadakan. Itu bukan alasan. Wang negara adalah milik rakyat. Jika ia bersoal kebajikan dan kepentingan rakyat tidak sepatutnya perlu ada kompromi di sini. Saya tak mahu berbicara soal wang di sini kerana banyaknya duit rakyat tidak semua mengalir ke tangan rakyat. Barangkali dalam entri yang lain.
Berkait pula soal titah paduka Sultan. Saya terpaksa memberikan pendirian di sini sebagai rakyat betapa saya masih berbangga dan bersyukur hidup dalam sebuah negara yang masih tepu dengan sistem beraja. Jujur sekali itu sesuatu yang membanggakan malah saya tak mahu sama sekali negara ini menurut langkah-langkah negara-negara lain mengadakan revolusi terhadap pemerintahan monarki. Kerana saya yakin kedaulatan negara ini serta kesejahteraan rakyatnya yang berbilang kaum sangat dipengaruhi oleh kewujudan sistem beraja. Maka sebagai rakyat apa yang ingin saya ucapkan hanyalah, dengarlah suara rakyat demi ketenteraman yang ingin dicapai.
0 comments:
Post a Comment