Dalam Islam, hari baru bermula apabila maghrib menjelang tiba. Hari ini sudah 2 Ramadhan, kurang sejam lagi waktu berbuka akan tiba. Menjelang maghrib 3 Ramadhan tahun ini jatuh pada hari lahir saya.
20 tahun. Itulah angka permulaan saya melewati zaman remaja belasan tahun ke satu tahap yang lebih dewasa. Tak sedar masa belalu begitu pantas dan saya sudah sebegini tua.
Apakah yang ingin saya perkatakan sempena ulang tahun kali ini? Jujurnya saya sendiri buntu. Ketika kekeliruan tentang hala tuju masa depan masih menguasai diri, kebimbangan terhadap prestasi akademik dan urusan jemaah yang terus-menerus menuntut perhatian serius, saya merasakan kehidupan memang semakin mendewasakan dan saya bukan lagi anak kecil yang ketawa dan menangis sesukanya.
Kehidupan menjadikan saya gadis yang lebih tegas dan sabar. Bukan sedikit rasa kesal dan kecewa menjengah, namun memandang ke hadapan dan terus bertahan sentiasa menjadi pegangan. Saya yakin Tuhan tak akan membiarkan saya sendirian, biar berkali saya jatuh melangkah berkali juga Dia meminjam tongkat unutk saya kembali menapak gagah. Perlunya saya cuma keyakinan untuk meneruskan perjalanan yang pasti panjang.
Perancangan. Biarpun Tuhan yang menentukan setiap ketentuan, saya sedar sebagai insan, kita perlu merancang. Mengatur jalur-jalur kehidupan agar pola yang terlakar indah walau seringkali corak yang terhasil berbeza dari bayangan. Jarang sekali ia serupa. Banyak sekali perancangan masih dirancang. Kadang-kala ia terlalu samar hingga tak kelihatan masa hadapan. Jujurnya saya masih tidak pintar dalam menetukan perancangan.
Namun, perancangan bukan satu keputusan, ia adalah koleksi keputusan yang boleh dibuat pilihan. Maka tak salah untuk saya dalam keraguan dengan kepelbagaian rancangan. Cuma saya perlu pastikan ada di antaranya yang menjadi kenyataan. Antara perancangan-perancangan masa panjang yang saya fikirkan setelah 20 tahun berada di atas muka bumi Tuhan ini;
Pertama, saya akan tamat program ijazah pertama dan memohon menjadi tutor atau pensyarah di mana-mana institusi pengajian tinggi, kalau boleh saya mahu kekal di UPM, tapi kalau tak di mana-mana pun tak mengapa. Cuma kalau di ‘universiti’ kerana saya mahu terus melanjutkan pengajian dalam bidang yang serupa dan mempunyai lebih peluang untuk melakukan kajian. Saya mahu memperoleh gelaran ‘professor’. Walaupun ia bukan satu jaminan seseorang dengan gelaran itu adalah seorang yang hebat namun, saya mahu mencapai yang terbaik dalam kehidupan.
Impian pertama saya seakan begitu gah namun tidak mustahil untuk dicapai kerana saya memang selalu melakukan yang terbaik dalam akademik. Namun, bila berbicara soal bidang saya sekarang, KEJURUTERAAN, saya terpaksa berfikir berkali-kali. Bukan sahaja kerana saya sukar untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam subjek kejuruteraan ini, tapi saya sendiri memang kurang meminati bidang-bidang fizikal seperti ini. Maka perancangan pertama saya menjadi sesuatu yang masih tidak pasti kerana dalam kurang empat tahun sebelum bergraduat saya mungkin saja berubah fikiran.
Oleh sebab itu, muncul pula perancangan kedua, saya akan tamat pengajian ijazah pertama dan kemudian bekerja sebagai seorang jurutera, menduduki ujian sehingga beroleh gelaran ‘Ir’. Seakan saya memang gila gelaran, namun zaman sekarang tanpa gelaran siapalah kita. Namun, saya tidak akan berhenti di situ kerana pantang untuk saya berhenti sebelum benar-benar menamatkannya. Ini adalah keputusan drastik yang perlu saya fikir semasak-masaknya iaitu untuk melanjutkan pengajian pula setelah itu dalam bidang sastera. Saya tidak pernah belajar sastera, bahasa Melayu ketika SPM pula hanya sekadar memperoleh gred A2. Lucu juga bila mengenangkan saya boleh memperoleh A1 dalam bahasa Inggeris dan Arab. Kini pula saya mahu melanjutkan pengajian dalam bidang kesusasteraan. Saya mahu menjadi penulis. Sungguh itulah impian saya. Barangkali saya tidak mengangkat ia sebagai cita-cita, maka sehingga kini ia masih samar untuk berada dalam masa depan saya. Tapi, inilah perancangan kedua saya, bergelar ‘Ir’ dan melanjutkan pengajian dalam bidang kesusateraan. Seterusnya benar-benar bergelar penulis.
Perancangan kedua nampak terlalu samar. Mungkinkah untuk saya bekerja dahulu setelah tamat ijazah pertama kerana minat saya cuma dengan belajar dan bukan bekerja. Kemudian beralih bidang pula. Sangat drastik walaupun ia sesuatu yang sangat saya minati. Namun, ia sesuatu bidang yang tidak pernah saya pelajari secara formal. Sungguh saya masih begitu ragu untuk melakukan keputusan sebegitu walau hakikatnya memilih bidang kejuruteraan ini jelas-jelas suatu keputusan drastik yang saya telah lakukan.
Sebenarnya saya masih ada satu lagi perancangan. Namun ia masih belum cukup tersusun. Maka cukuplah untuk dua ini sebagai panduan saya menuju masa depan. Biar apa sekali pun, saya perlu bergraduat dengan cemerlang bersama Bachelor Kejuruteraan (Proses dan Makanan). Maka setelah itu, keputusan perlu dibuat, biar apa sekalipun, ia pasti tidak mudah.
Panjang sangat rasanya saya berbicara tentang hari lahir ini. Bila umur mula meningkat, soal masa depan adalah yang perlu difikirkan. Saya tidak mahu mengalah biar apa saja halangan dan rintangan yang mendatang. Biar berkali terluka, menangis dan kecewa, saya mahu menjadi cekal dan terus bertahan. Seterusnya mencipta kejayaan.
Akhir kata, Selamat Ulang Tahun Wahai Diri. Semaoga rahmat dan keberkahan Ilahi mengiringi setiap langkah ini.
Tuesday, August 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
hai.. saya nak tnye apekh subjek yg ditawarkan utk bidang ni?? adakah lebih kepada fizik??
hai.. saya nak tnye apekh subjek yg ditawarkn utk bidang ni.. adakah lebih kepada fizik?? dulu mase di matrik saya dlm bidang bio..
sory..lmbt reply..sy dh jarang2 bkak blog..
kos ni byk berkaitan fizik..tp boleh saja nk mohon kalau ambil bio mase matriks coz coursemate sy pun ramai y dr bio stream... kalau nk info tmbhn pm kt fb sye la..Amalina Ismail. pic as like this blog..=) salam perkenalan...
Post a Comment