Pages

Saturday, August 15, 2009

Muktamar PKPIM kali ke 48

Minggu lepasnya saya di Shah Alam, menghadiri Muktamar ABIM, minggu ini pula saya di Kuala Lumpur, tersesat di Jalan Syed Putra di belakang Istana Negara untuk mencari Wisma Belia, Kompleks MAYC untuk menghadiri pula Muktamar PKPIM.





Kurang dua minggu, pertama kali saya menyertai muktamar, saya sertai dua sekali. Adakah agak terburu begini? Saya tidak pasti, namun saya yakin ini semua takdi Allah dalam melorongkan jalan saya. Jujurnya saya masih seperti dulu, membandingkan setiap jemaah dan gerakan. Bukan mahu mencari kelemahan dan perbezaan, namun mencari kekuatan dan keistimewaan. Saya masih tidak sempat menyertai program anjuran GAMIS maka kurang adil untuk saya memberi perbandingan di sini. Namun saya suka melihat Progran Suara Siswa yang saban minggu di udarakan di RTM sebagai perbandingan dengan muktamar kali ini.





Walaupun tidak terlalu kerap, saya ada juga menonton rancangan bual bicara yang menampilkan pemimpin pelajar peringkat institusi-institusi pengajian tinggi sebagai ahli panel ini. Seringkali juga saya menukar ke siaran lain pabila melihat ‘wakil-wakil’ pelajar itu jelas sekali masih ‘gagap’ dan ‘kelu’ untuk berbahasa apatah lagi menyampaikan idea dan pemikiran yang bisa merubah masa depan. Sungguh, saya kecewa. Namun, menghadiri muktamar kali ini, saya yakin ramai lagi ‘wakil-wakil’ pelajar yang lantang bersuara dan tinggi idealisme, cuma kurang saja publisitinya.





Generasi muda adalah hadirin yang hadir. Rata-rata masih pelajar berusia 25 tahun ke bawah. Saya kagum melihat semangat dan perjuangan mereka walau masih ada tempang di mana-mana dek kerana ‘hijau’nya usia. Namun, saya melihat kekuatan yang bergerak dalam diri mereka. Bekerja bukan untuk imbuhan atau manfaat tapi bergerak atas kesedaran sebagai bakal pemimpin masa depan. Sungguh, sejak hampir 50 tahun penibuhannya, PKPIM ternyata telah melahirkan bukan sedikit tokoh-tokoh negara dan masyarakat.






Walaupun bergerak atas nama agama, Islam. PKPIM adalah wadah yang sentiasa peka akan peruabahan semasa. Bagi saya menangani setiap isu-isu semasa yang hadir terutama melibatkan pelajar adalah fokus utamanya. Saya sedar itu, betapa persatuan ini bergerak pantas mendepani arus perubahan masyarakat dan dunia yang sentiasa dinamik dengan permasalahan-permasalahan. Ia menjadikan mahasiswa satu golongan yang punya kesedaran untuk menyumbang kepada masyarakat dengan ikhlas dan bukan sekadar memenuhi masa lapang atau menimbun sijil penyertaan.





Itulah yang saya belajar dari muktamar kali ini. Betapa era muda adalah zaman untuk bersuara, bergerak aktif dan menyumbang sebanyak mungkin. Ia mengajar saya untuk terus peka dalam menangani isu-isu yang berbangkit dalam masyarakat dan negara.

0 comments: