Ramadhan Al-Kareem menjelma lagi. Ramadhan yang dirindu, Ramadhan yang ditunggu. Doanya kita beroleh RAHMAT di awalnya, MAGFIRAH di pertengahannya dan TERLEPASNYA DARI API NERAKA di akhirnya.
Saya mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang telah saya lalui selama 19 tahun yang lalu. Uniknya kali ini, saya bakal menyambut hari lahir yang ke 20 tahun pada awal Ramadhan. Doanya usia dan perjalanan hidup saya selama 20 tahun ini sentiasa berada dalam RAHMAT dan keberkatanNya. Sungguh, saya yakin betapa Dia tidak pernah sedetik meninggalkan saya, hanya sayalah makhluk yang seringkali lupa dan leka akan kehadiranNya.
Malam Ramadhan pertama lagi saya sudah terlepas untuk solat terawih berjemaah. Berat juga untuk mengerjakan sendirian setelah pulang dari menghadiri kelas. Alhamdulillah, Allah masih memberi saya kekuatan dalam melaksanakan tuntutan itu. Bagi saya inilah ujian Tuhan dalam menguji iman saya, keteguhan saya dalam mujahadah di jalanNya. Saya bimbang betapa saya akan lemah di pertengahan simpang dan tewas mudah dalam perjuangan. Kepada sahabat, perkuatkanlah saya dengan sokongan kalian!!
Ramadhan akan berlangsung 30 hari di UPM. Insya Allah, saya akan pulang ke rumah setiap hujung minggu. Namun, berada di UPM bagi saya adalah waktu yang paling baik dalam istiqamah mengejar ganjaran Ramadhan. Maka cuti sebelum tiba hari raya bukanlah sesuatu yang saya dambakan. Lagi pula saya akan sering bertemu keluarga saban minggu.
Tahun ini, saya diberikan amanah untuk menyelia sesi tadarus di kolej. Saya berasa bersemangat dengan taklifan kali ini walau jauh di sudut hati ada resah dan bimbang dengan kemampuan dan keupayaan diri. Doanya saya lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah ini. Kali ini, sengaja kami mengubah sedikit corak tadarus yang dilaksanakan di mana-mana setiap kali Ramadhan tiba. Kami tidak mahu tadarus menjadi wadah hanya untuk menamatkan 30 juz Al-Quran dengan pembahagian-pembahagian juz pada setiap kumpulan. Hakikatnya setiap yang hadir masih belum khatam Al-Quran kerana mereka hanya membaca sebahagian. Maka kami merasakan adalah lebih BARAKAH andai keindahan Al-Quran itu dihayati dan difahami bukan sekadar membaca. Doanya TADARUS DAN TADABBUR ini dapat diterima oleh setiap yang hadir, insya Allah.
Banyak lagi sebenarnya yang ingin saya lakukan sempena Ramadhan kali ini. Namun, menimbangkan dari kemampuan diri, saya mengehadkan keutamaan saya. Saya merasakan istiqamah itu sedikit tetapi berterusan dan saya merasakan kualiti itu lebih baik dari kuantiti. Maka biarlah dahulu segala perancangan itu. Insya Allah, bila bertemu Ramadhan tahun depan, dapat juga terlaksana. Atau mungkin juga tidak sepertinya dilaksanakan pada bulan Ramadhan sahaja.
Namun, dalam pengisian diri, saya telah menetapkan beberapa matlamat untuk dicapai untuk Ramadhan kali ini, doanya saya punya kekuatan untuk melaksanakannya.
Pertama, khatam 30 juz Al-Quran. Tahun lalu saya turut menanam azam yang sama, malangnya Allah tidak mengizinkan untuk ia dipenuhi. Saya berdoa semoga Allah memberi saya waktu dan kekuatan untuk melaksanakannya.
Kedua, solat terawih. Barangkali saya tidak akan dapat untuk solat terawih 30 malam sepanjang Ramadhan. Namun, saya mahukan kekuatan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan syariat untuk menunaikan sunnah yang hanya ada di bulan penuh keberkatan ini.
Ketiga, infaq. Jujurnya, untuk belanja sendiri saya masih berkira-kira. Namun, saya tak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk kikir mengeluarkan sedikit rezeki yang dikurniakan Tuhan bagi dikongsi dengan mereka yang memerlukan. Saya berdoa perniagaan ‘printing and photostat’ dan makanan ringan saya semakin baik dan insya Allah hasil dari itu dapat saya salurkan kepada mana-mana pihak atau dapat saya laksanakan program-program yang membangun hati dan jiwa sepanjang Ramadhan ini.
Keempat, zikir. Saya kira inilah urusan paling mudah yang sering terleka dan alpa. Saya akan teruskan dan mempertingkatkan rutin mathurat pagi dan petang sambil cuba untuk sentiasa berzikir sepanjang bulan Ramadhan ini. Insya Allah, tabiat ini akan berterusan walaupun Ramadhan berakhir.
Kelima, qiamullail. Saya sudah semakin liat untuk melaksanakan ibadah sunat ini. Hambatan tugasan akademik dan kelas pada sebelah malam sering mengambil waktu malam saya. Namun, saya sedar, Ramadhan adalah bulan perjuangan, saya perlu berjuang dalam bulan ini dan perjuangan bukanlah sesuatu yang mudah. Untuk permulaan saya hanya berharap untuk bangun malam paling kurang sekali seminggu dan insya Allah, mendekati 10 malam terakhir saya akan lebih kerap melaksanakannya.
Saya rasa sekadar itu sahaja, 5 perkara yang saya rancangkan untuk diri saya sepanjang Ramadhan kali ini. Insya Allah saya akan sentiasa mempertingkatkannya, jika ada kelapangan barangkali saya dapat menunaikan solat Dhuha dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Apa yang lebih penting istiqamah saya dalm melaksanakan setiap ibadah ini. Doakan saya!! Insya Allah.
Saturday, August 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment