Jam menunjukkan angka 00:30. Sudah tiga puluh minit melewati jam 12 malam. Saya baru selesai mengemas semua perkakas memasak yang digunakan hari ini. Badan terasa penat dan mata hanya mahu tertutup.
Hari lahir saya sudah berlalu, pantas sekali sehari berlangsung. Banyak sekali suka dan duka yang terakam sepanjang seharian ini. Suka duka yang akan menemani perjalanan hidup saya di masa depan.
Rancangan untuk iftar ini saya tidak pasti bila bermula, namun jauh di sudut hati saya ingin menyatukan hati-hati kami di bawah rasa cinta dan persaudaraan kerana-Nya. Ya, ukhuwwah itu yang ingin saya sambung dan kukuhkan. Maka saya merasakan inilah peluang, hikmah dan rahmat Allah di hari-hari awal Ramadhan ini. Moga Allah terus menerus menghadiahi rahmatNya untuk kita semua.
Saya menyediakan juadah sendirian. Celaru juga sejenak mengenangkan waktu berbuka lebih kurang hanya tinggal sejam lagi. Ada juga rasa resah mengenangkan tiada teman datang membantu. Namun saya istighfar kembali dan merasakan Allah sentiasa di sisi dan memperbaiki niat hanya kerana-Nya.
Sungguh, masa itu cuma makhluk-Nya, dan Dialah yang berkuasa atas segala sesuatu. Kurang 45 minit saya sudah selesai siap memasukkan semua bahan ke dalam periuk, tinggal menanti sup mendidih dan nasi siap ditanak. Alhamdulillah, Dia yang memegang masa memberi ruang yang mencukupi untuk hamba-Nya, tinggal saja untuk kita benar-benar yakin akan kekuasaan-Nya.
Tak lama kemudian, sahabat demi sahabat datang bertandang. Suasana semakin meriah, keresahan dan kerisauan melanda terus terhapus, tawa dan keriangan mengisi suasana dan gurau senda menjadi pengubat rindu setelah sekian lama tidak ketemu. Bagi yang baru, ukhuwwah mula bersatu dan doa saya ada cinta dan kemesraan yang terjalin indah di saat mentari mula tenggelam dan langit berwarna jingga ini. Mereka hadir dengan buah tangan masing-masing. Ruangan tengah kamar penuh dengan pelbagai kuih-muih yang enak. Alhamdulillah atas rezeki kurniaan Ilahi ini.
Semuanya 11 orang. Ruang kamar saya sudah penuh sama sekali. Azan berkumandang dan doa dibacakan. Kami mulakan berbuka mengikut sunnah dengan tamar kering. Kemudian nasi disenduk dan diedar keliling. Alhamdulillah, pinggan mangkuk yang ada masih mencukupi menampung tetamu yang hadir. Saya senang melihat mereka menikmati juadah berbuka itu dengan berselera, lebih senang bila ada yang menambah sup mahupun nasi. Sup yang penuh satu periuk susut menampakkan dasarnya. Alhamdulillah, rezeki ini diberkahi bila semuanya merasa kenyang dan pembaziran tidak berlaku.
Kemudian, kek hari lahir pula dipotong. Seingat saya, kali terakhir saya menyambut hari lahir dengan sebiji kek adalah pada hari lahir saya yang ke 11, sungguh setelah 9 tahun, sebiji kek sekali lagi menjadi tanda hari lahir. Saya merasa terharu dengan pemberian Kak Ana ini. Terima kasih Kak Ana. Kek hari lahir pada hari lahir yang ke 20 tak mungkin akan saya lupakan.
Kepada semua sahabat yang datang, terima kasih banyak-banyak kerana dapat memenuhi undangan, kepada yang tidak diundang, maaf dipinta kerana kamar saya terlalu kecil untuk menampung terlalu ramai kehadiran. Insya Allah, pada kesempatan akan datang saya akan mengundang sahabat yang lain pula.
0 comments:
Post a Comment