Pages

Wednesday, August 26, 2009

Hadiah Bonus

Sebenarnya saya ada 2 lagi hadiah hari lahir yang ingin dikongsi di sini. Hadiah ini bukan hadiah sempena hari lahir saya, tapi hadiah ini tiba disaat saya sedang menyambut hari lahir. Maka saya merasakan ini hadiah Allah buat saya. Terlebih dahulu segala puji dan syukur ke hadratNya atas segala kurnia.



Hadiah pertama. Sebenarnya ini tiada kena mengena langsung dengan saya. Namun kerana ia sesuatu yang sangat saya gemari, saya anggap ia satu anugerah. Ia adalah slot Mari Menulis Karya Nan Indah oleh Faisal Tehrani setiap selasa jam 6.15 petang di radio IKIM(frekuensi lembah Klang : 91.5). Rancangan ini akan keudara setiap minggu namun bermula pada hari lahir saya. Saya tidak pasti takdir apakah ini. Namun, ia sesuatu yang mengembirakan kerana saban minggu saya akan mendengar bicara dari penulis yang amat saya kagumi ini. Dan pada hari lahir saya ini, tidak disangka untuk mendengar bicaranya. Walaupun yang diulas kebanyakannya perkara yang sama dibacarakan dalam bengkel penulisan kreatif yang lalu. Saya tidak pasti sama ada saya memang menumpukan perhatian atau terlalu khusyuk mendengar kerana ternyata tiap patah kata-kata beliau seakan melekat di minda. Apa sekalipun, syukur kepadaNya atas hadiah ini.



Hadiah kedua. Saya baru memeriksanya petang tadi. Namun, di laman sesawang itu terpamer pengumuman itu telah diadakan sejak semalam. Maka, hakikatnya ia adalah anugerah Allah pada hari lahir saya semalam. Ia adalah kelulusan permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam. Alhamdulillah, soal kewangan masa depan sedikit melegakan. Namun, ia masih tidak terjamin kerana saya perlu pula menghantar maklumat-maklumat yang dikehendaki. Doanya segala proses akan berjalan lancar. Insya Allah, dari pengalaman senior-senior yang lepas, cuti semester nanti wang biasiswa untuk 3 semester sekaligus akan diterima. Saya perlu lakukan perancangan sebaiknya agar wang yang ada tidak digunakan tanpa sebarang keperluan.



Itulah dua hadiah lagi. Syukur berkali-kali atas kurniaan Ilahi.

0 comments: