Pages

Monday, August 31, 2009

Usrah dan Iftar



Seperti biasa, setiap tengah hari jumaat saya akan ke fakulti bahasa untuk usrah. Selalunya waktu ketika muslimin menunaikan solat jumaat ini menjadi waktu rehat bagi kami kaum hawa. Namun, semester ini saya terpaksa berkorban sedikit. Sungguh, pengorbanan ini terlalu kecil dan saya berdoa agar hati saya terus ikhlas dalam ‘pengorbanan’ ini.



Sukar untuk saya meninggalkan usrah yang dijalankan saban minggu, ia seakan satu pemacu memberi kekuatan untuk saya melalui satu minggu yang mendatang. Maka, walaupun saya begitu mendamba waktu rehat, saya gagahi juga mengambil bas menuju ke fakulti bahasa. Alhamdulillah, usrah kali ini banyak memberi kesan kepada ibadah puasa yang sedang saya lalui kini.



Seorang sahabat membawa tajuk tentang pemakanan di bulan puasa. Ya, puasa itu secara umumnya menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ramai yang mampu melaksanakan tuntutan itu, namun, setelah tiba waktu berbuka, siapa saja yang mampu menahan nafsu? Malah hakikat yang berlaku, nafsu makan itu menjelma seawal ketika masih dalam melaksanakan ibadah puasa ini sendiri. Nafsu ketika melihat iklan-iklan di kaca televisyen, saat membeli-belah di bazar ramadhan dan sebagainya. Maka, adakah sempurna puasa, bila ketika kita dituntut menahan lapar dan dahaga, nafsu untuk makan itu dilampiaskan dengan berbelanja sebanyaknya saat berkunjung ke bazar ramadhan?



Sahabat saya menyatakan tentang 7 nafsu makan;

1. Nafsu semulajadi

2. Hawa nafsu

3. Nafsu mata

4. Nafsu mulut

5. Nafsu hidung

6. Nafsu telinga

7. Nafsu lapar

Dan, bagi seorang Islam itu hanya ada satu nafsu iaitu nafsu lapar. Ia lantas mengingatkan saya tentang pesan Nabi s.a.w. supaya makan hanya ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Juga saya merasakan, dalam melepaskan nafsu lapar itu, soal jenis makanan, keenakan, kelazatan dan lain-lain tidak menjadi isu. Bagi yang lapar, sekadar ada sedikit rezeki yang boleh mengalas perut itu sudah memadai.



Ini membuatkan saya bertanya pada diri, bagaimana kita dapat mendidik nafsu-nafsu yang lain agar tunduk dan memuaskan hanya nafsu lapar semata-mata? Saya akhirnya menemui solusi yang ringkas;

1. Saling ingat-mengingat

2. Tidak berkunjung ke bazar ramadhan

3. Sentiasa bermuhasabah

4. Terus bermujahadah

Jujurnya ia bukan mudah, seorang sahabat pernah berkata, tarbiyah yang dilakukan syaitan sebelum ketibaan ramadhan terlalu kukuh kerana biarpun syaitan terbelenggu di bulan ramadhan ini, ajarannya masih teguh kita ikuti dan taati. Nauzubillah.



Malamnya, saya iftar di Kolej Serumpun atas jemputan Kak Ana. Selepas solat maghrib, kami berdiskusi panjang soal ini di samping isu-isu berbangkit yang lain. Saya akui, bukan mudah untuk mengekang nafsu makan,namun, bila kita terus dalam tarbiyah, saling bertazkirah, saling berterusan dalam mengingati Allah, saya yakin mujahadah kita akan terasa kelaziman. Saya yakin betapa Allah akan sentiasa membantu hamba-hambanya yang berjuang di jalan-Nya. Lebih-lebih lagi dalam perjuangan melawan hawa nafsu. Insya Allah.



0 comments: