Lama rasanya tidak mengulas tentang filem. Saya memang jarang berpeluang menonton dalam semester pengajian. Namun, hujung minggu ini saya rehat tiga hari di rumah bersempena cuti hari merdeka yang jatuh pada hari Isnin.
Sejujurnya, saya cuba mencari idea untuk memulakan penulisan cerpen. Saya sedar, saya tidak punya anyak waktu untuk berkhayal dan mengarang. Namun, saya masih dalam kebuntuan. Doanya Tuhan akan membantu saya.
Akhirnya saya meneroka komputer riba dan mencari-cari jika ada filem, drama atau apa-apa cerita yang masih belum ditonton. Mata saya tertangkap pada sebuah cerita Hindustan yang bertajuk ‘Swades’. Filem lakonan Shah Rukh Khan ini seingat saya masih belum saya tonton. Setelah berkira-kira sejenak, akhirnya saya menonton juga filem ini.
Filem ini dikeluarkan pada akhir tahun 2004. Sudah hampir lima tahun. Namun, itu bukan masalahnya, bagi saya sebuah cerita itu tidak penting baru atau lama, namun, apa yang terkandung di dalamnya. Ternyata, filem ini ada ‘sesuatu’ di dalamnya.
‘Swades’, dalam bahasa Inggeris bermaksud ‘Homeland’ atau dalam bahasa Melayu saya kira bermaksud ‘Tanah Air’. Saya tersenyum sendiri, seakan kena pada masanya sempena hari kemerdekaan, walaupun saya tidak merancang pun, apatah lagi mengetahui intisari filem ini. Barangkali, ini semua terdapat dalam aturan rahsia Tuhan.
Kisah seorang lelaki yang berjaya dalam karier di Amerika Syarikat yang pulang ke India demi mencari pengasuhnya yang sudah lama terputus hubungan. Penjejakan beliau akhirnya membawanya ke sebuah perkampungan miskin. Di situ pelbagai peristiwa berlaku yang akhirnya membawa dia kesedaran untuk terus menetap di tanah air sendiri.
Kisah ini penuh dengan isu-isu sosial masyarakat India, berhubangan soal kasta, kemiskinan, pendidikan, kedudukan wanita, budaya dan tradisi serta banyak lagi. Digambarkan melalui babak-babak yang menyentuh hati dan mendetak pemikiran juga kesedaran. Cerita hindi yang sering diwarnai dengan gerak tari dan warna-warni kostum hidup dengan watak-watak kemiskinan dan kemelaratan. Bagi saya ia sebuah filem yang memberi kesedaran dan membuka minda.
Cerita hindi yang sinonim dengan kisah cinta yang agung dan sejati digambarkan di sini betapa cinta pada tanah air itu lebih utama dan bermakna. Watak heroin yang menolak untuk menurut watak utama kembali ke Amerika demi terus berbakti kepada tanah air sangat mengesankan. Sungguh, dalam cerita ini golongan minoriti dan wanita di angkat. Malah dibawa pula solusi dalam berdepan kemelut sosial yang kian meruncing dalam masyarakat.
Plot terakhir yang menayangkan adegan usaha-usaha masyarakat kampung yang bekerjasama membina jana kuasa elektrik dan berjaya mengalirkan arus elektrik sendiri ke seluruh kampung memberi makna betapa setiap permasalahan yang timbul perlu dirungkai penyelesaiannya. Dalam filem ini, ia dilambangkan dengan usaha dan kejayaan membina jana kuasa.
Bagi saya, ini filem yang indah dan bermakna. Dengan dialog dan lakonan yang berkesan, ia menghalang kebosanan pada tema berat yang cuba diketengahkan. Tambahan lagi dengan alunan lagu-lagu hindi yang memang selalunya indah dan mengasyikkan turut memberi kesegaran pada filem ini.
Saya kira filem-filem sebegini wajar menjadi rujukan pembikin-pembikin filem tanah air. Betapa filem nasionalisme tidak sekadar memapar adegan perang dan darurat. Saya teringat tentang sebuah program televisyen yang mengupas isu betapa filem kita masih jauh ketinggalan untuk berada di persada antarabangsa. Sungguh, untuk setanding dengan teknologi dan modal seperti barat, kita mungkin terlalu jauh untuk menyaingi. Namun, dalam membikin filem, teknik bukan satu-satunya instrumen, andai kita tampil dengan keaslian idea dan pandangan tersendiri digabung jalin bersama seni lakonan, latar dan dialog yang indah, saya yakin filem kita bakal mempunyai kelas tersendiri. Jika terus mahu mengejar, kita akan sentiasa dibelakang namun jika kita memilih laluan berbeza, barangkali laluan itu lebih dekat menuju puncak.
0 comments:
Post a Comment