Hari ini adalah ulang tahun kemerdekaan ke 52. Jatuh pada hari ke 10 ramadhan. Serta tidak sedar, peringkat pertama ramadhan sudah berlalu. Doanya, kita semua telah beroleh rahmat dalam 10 ramadhan yang telah berlalu.
Kini, kita semua melangkah ke peringkat kedua. Peringkat maghfirah, pengampunan dosa. Hati saya merasa bergetar untuk melalui peringkat ini. Sungguh, dosa-dosa saya bergunung banyaknya, mampukah terhapus dalam tempoh 10 hari sahaja?
Saya hanya mampu terus berusaha mencapainya. Sungguh saya yakin kepada Allah, dan Dia sesuai dengan persangkaan saya. Jika saya menyangka betapa Dia maha pemurah yang mengampuni segala dosa hambaNya, atas alasan apa lagi untuk saya ragu kepadaNya?
Alhamdulillah, saya baru selesai menyiapkan sebuah cerpen. Ah, sedikit sebanyak wang RM30 yang saya laburkan untuk ke bengkel penulisan minggu lalu berbaloi.
Namun dalam entri ini, saya tidak mahu berbicara soal cerpen yang baru saya selesai tulis itu. Hakikatnya ia masih perlu disunting. Dengan lembaran yang sedikit, saya bercadang untuk menghantarnya ke akhbar atau majalah. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi, tapi mana tahu ada rezeki, untuk tersiar pula.
Sampai di situ, saya sebenarnya mahu mencukupkan 20 post untuk bulan ini. Maka setelah post ini saya akan menulis satu lagi post, insya Allah. Tentang post ini, saya mahu bicara tentang video klip yang baru saya upload di atas. Dahulu saya meletakkan video I’m Yours versi Melayu, kali ini saya meletakkan video klip drama Nur Kasih. Drama ni saya cuma sempat menonton 2 atau 3 episod yang awal. Bagi saya ia drama yang bagus. Tentu saja, memandangkan pengarahnya Kabir Bhatia.
Sebenarnya, di awal-awal pagi seorang teman menghantar pesanan tentang filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’, katanya lagu sountrack filem itu enak didengar. Maka, saya terus melayari you tube untuk mendengar alunan lagu nyanyian Melly Goeslow berduet dengan seoran penyanyi lelaki yang tidak saya kenali. Bagi saya biasa-biasa sahaja.
Namun, sengaja saya muat turun video itu ke dalam facebook. Kemudian teman saya ini berikan pula video klip di atas. Memang, ia terasa berbeza mendengar lagu yang sama dari video klip yang asal dengan video klip Nur Kasih ini. Seakan ada yang tempang dalam pembikinan video klip yang asal. Barangkali tidak kena dengan lagunya. Atau cerita Nur Kasih lebih memberi kesanuntuk lagu ini. Entahlah, saya sendiri kurang pasti.
Berkisar tentang filem ketika cinta bertasbih pula, saya tidaklah terlalu teruja untuk menonton setelah sedikit kecewa dengan persembahan ayat-ayat cinta. Namun, jika ada peluang tak salah rasanya meluangkan masa. Namun, bila menoton ‘thriller’ filem ini, apa yang tergambar adalah babak-babak yang telah saya baca di dalam novel. Ya, saya pernah berkata pada seorang sahabat saya mahu menjadi seperti Anna Althafunnisha. Kini, saya seakan mentertawakan diri sendiri kerana jelas dan nyata saya ibarat langit dan bumi berbanding watak rekaan Habiburrahman El-Shirazy itu.
Baik Nur Kasih mahupun Ketika Cinta Bertasbih, biarpun dari dua negara, ia miliki satu persamaan, ia membawa tema cinta yang dipercik nilai Islami. Terkenang, ulasan Faisal Tehrani bahawa novel karya Habiburrahman El-Shirazy adalah termasuk dalam novel popular, bukan serius. Walaupun ada yang membandingkan ayat-ayat cinta dengan teggelamnya kapal van der wijck karya Hamka, namun saya kira Faisal Tehrani ada alasannya tersendiri.
Bagi saya itu bukan persoalannya di sini. Beda dan banding memang perlu dan wajar. Namun, jika ada yang jernih peru diambil dan dijadikan teladan. Kehadiran novel-novel popular yang bertema Islami, mahupun drama atau filem yang membawa tema selari adalah perlu dalam mengimbangi lambakan karya-karya seni yang penuh ‘kejahilan’. Bagi saya serius atau tidak itu soal nombor dua, tapi niat kita dalam melahirkan karya-karya yang membina itu yang penting.
Dalam masyarakat yang gila popular ini, kadang-kala elok juga kita megikut arus dan sedikit demi sedikit memesong pandangan dan pemikiran mereka. Saya kira apa guna terlalu serius andai tiada siapa yang mampu menghayati dan meneladeninya. Dek kerana kita memang sudah terbiasa untuk tidak serius.
Lama rasanya tidak mengulas tentang filem. Saya memang jarang berpeluang menonton dalam semester pengajian. Namun, hujung minggu ini saya rehat tiga hari di rumah bersempena cuti hari merdeka yang jatuh pada hari Isnin.
Sejujurnya, saya cuba mencari idea untuk memulakan penulisan cerpen. Saya sedar, saya tidak punya anyak waktu untuk berkhayal dan mengarang. Namun, saya masih dalam kebuntuan. Doanya Tuhan akan membantu saya.
Akhirnya saya meneroka komputer riba dan mencari-cari jika ada filem, drama atau apa-apa cerita yang masih belum ditonton. Mata saya tertangkap pada sebuah cerita Hindustan yang bertajuk ‘Swades’. Filem lakonan Shah Rukh Khan ini seingat saya masih belum saya tonton. Setelah berkira-kira sejenak, akhirnya saya menonton juga filem ini.
Filem ini dikeluarkan pada akhir tahun 2004. Sudah hampir lima tahun. Namun, itu bukan masalahnya, bagi saya sebuah cerita itu tidak penting baru atau lama, namun, apa yang terkandung di dalamnya. Ternyata, filem ini ada ‘sesuatu’ di dalamnya.
‘Swades’, dalam bahasa Inggeris bermaksud ‘Homeland’ atau dalam bahasa Melayu saya kira bermaksud ‘Tanah Air’. Saya tersenyum sendiri, seakan kena pada masanya sempena hari kemerdekaan, walaupun saya tidak merancang pun, apatah lagi mengetahui intisari filem ini. Barangkali, ini semua terdapat dalam aturan rahsia Tuhan.
Kisah seorang lelaki yang berjaya dalam karier di Amerika Syarikat yang pulang ke India demi mencari pengasuhnya yang sudah lama terputus hubungan. Penjejakan beliau akhirnya membawanya ke sebuah perkampungan miskin. Di situ pelbagai peristiwa berlaku yang akhirnya membawa dia kesedaran untuk terus menetap di tanah air sendiri.
Kisah ini penuh dengan isu-isu sosial masyarakat India, berhubangan soal kasta, kemiskinan, pendidikan, kedudukan wanita, budaya dan tradisi serta banyak lagi. Digambarkan melalui babak-babak yang menyentuh hati dan mendetak pemikiran juga kesedaran. Cerita hindi yang sering diwarnai dengan gerak tari dan warna-warni kostum hidup dengan watak-watak kemiskinan dan kemelaratan. Bagi saya ia sebuah filem yang memberi kesedaran dan membuka minda.
Cerita hindi yang sinonim dengan kisah cinta yang agung dan sejati digambarkan di sini betapa cinta pada tanah air itu lebih utama dan bermakna. Watak heroin yang menolak untuk menurut watak utama kembali ke Amerika demi terus berbakti kepada tanah air sangat mengesankan. Sungguh, dalam cerita ini golongan minoriti dan wanita di angkat. Malah dibawa pula solusi dalam berdepan kemelut sosial yang kian meruncing dalam masyarakat.
Plot terakhir yang menayangkan adegan usaha-usaha masyarakat kampung yang bekerjasama membina jana kuasa elektrik dan berjaya mengalirkan arus elektrik sendiri ke seluruh kampung memberi makna betapa setiap permasalahan yang timbul perlu dirungkai penyelesaiannya. Dalam filem ini, ia dilambangkan dengan usaha dan kejayaan membina jana kuasa.
Bagi saya, ini filem yang indah dan bermakna. Dengan dialog dan lakonan yang berkesan, ia menghalang kebosanan pada tema berat yang cuba diketengahkan. Tambahan lagi dengan alunan lagu-lagu hindi yang memang selalunya indah dan mengasyikkan turut memberi kesegaran pada filem ini.
Saya kira filem-filem sebegini wajar menjadi rujukan pembikin-pembikin filem tanah air. Betapa filem nasionalisme tidak sekadar memapar adegan perang dan darurat. Saya teringat tentang sebuah program televisyen yang mengupas isu betapa filem kita masih jauh ketinggalan untuk berada di persada antarabangsa. Sungguh, untuk setanding dengan teknologi dan modal seperti barat, kita mungkin terlalu jauh untuk menyaingi. Namun, dalam membikin filem, teknik bukan satu-satunya instrumen, andai kita tampil dengan keaslian idea dan pandangan tersendiri digabung jalin bersama seni lakonan, latar dan dialog yang indah, saya yakin filem kita bakal mempunyai kelas tersendiri. Jika terus mahu mengejar, kita akan sentiasa dibelakang namun jika kita memilih laluan berbeza, barangkali laluan itu lebih dekat menuju puncak.
Bagi saya Ogos adalah bulan yang istimewa. Dan tahun ini ia tambah istimewa kerana berada pada awal ramadhan. Istimewanya Ogos kerana pada bulan ini adalah hari lahir saya dan jatuhnya tanggal tarikh keramat kemerdekaan tanah air tercinta.
Kepada semua warga Malaysia, Selamat Hari Kemerdekaan yang ke-52.
Sudah 52 tahun rupanya. Saya baru berusia 20 tahun. Kiranya saya lahir setelah 22 tahun kemerdekaan dicapai. Maka saya generasi pasca merdeka yang menilai kemerdekaan hanya dari kaca mata ahli-ahli sejarah. Jujurnya, saya memang kurang merasa kesannya makna kemerdekaan. Akibatnya rasa penghargaan terhadap pejuang bangsa dan tokoh kemerdekaan kurang terserlah.
Saya yakin, bukan saya saja yang merasainya. Teman-teman yang seangkatan dengan saya pasti merasai perkara yang serupa. Kami lebih gemar berbicara tentang masa depan dan isu semasa dari mengimbau sejarah pahit getir demi sebuah kebebasan yang diperjuangkan lebih 52 tahun yang lalu. Itulah hakikat yang berlaku yang tidak perlu kita sorok dan lindung. Betapa kita memang mudah lupa atau mudahnya tidak mahu mengerti sejarah yang telah berlaku.
Atas alasan apa? Mudah, apa saja yang boleh dikecap dengan membaca sejarah? Kita tak mungkin bisa membina pesawat meneroka angkasa, membangunkan vaksin yang mampu menangani wabak yang mengancam dunia, malah kita tak mungkin berjaya menguasai ekonomi dunia. Apa ada pada sejarah yang bisa membuatkan kita mencapai kejayaan-kejayaan seperti itu?
Apatah lagi bebasnya kita bukan dengan air darah tapi hanya dengan air liur. Buakn mahu memperlekehkan perjuangan orang zaman dulu-dulu, namun perjuangan yang kurang pengorbanan ini tidak memberi kesan mendalam dalam diri warga. Malah, membaca sejarah seakan tiada ‘thrill’nya. Akhirnya, kita dipujuk dengan kesyukuran atas kebijaksaan pemimpin yang bijak bertolak bicara. Ya, kesyukuran itu yang kita ungkapkan dengan tergadainya banyak perkara.
Sejarah memang sudah berlalu. Dan benar kata orang, apa guna memandang sejarah yang tak mungkin berulang, diulang apatah lagi di jungkir balikkan. Namun, benarkah serendah itu untuk kita mengerti makna sejarah? Lebih-lebih lagi sejarah sebuah kemerdekaan yang menjadi asas tertubuhnya sebuah negara berdaulat yang sedaya upaya berdiri tanpa bertongkat, berkepak bangsa lain. Walaupun saya generasi pasca merdeka yang tidak pernah merasa dan jarang-jarang terusik dengan proses kemerdekaan yang telah dikecap, saya masih belajar tentang sejarah.
Jelas, sejarah bukan untuk mencipta dan membina produk dan teknologi baru yang semasa. Namun, sejarah menjadi wadah untuk kita mengenal kuat dan lemahnya kita. Menilai benar dan silapnya kita. Memastikan ia agar tidak terus berulang. Memastikan kemerdekaan yang tercapai dengan sedikit payah ini tidak hilang dengan mudah. Kerana, seringkali sesuatu yang senang diperoleh senang pula untuk terlepas dari genggaman.
Sejarah akan terus terukir. Malah sesuatu yang begitu semasa akan berubah menjadi sejarah. Jelaslah, sejarah adalh isu masa depan, cuma ia adalah isu semasa yang berada pada waktu dahulu.