Pages

Sunday, January 13, 2013

KL112 : Bukan sekadar jumlah kehadiran....


Perjalanan kami bermula dari ERL Putrajaya...

'Tak pernah ERL seramai ini,' teman saya bersuara. Mata meliar memerhati penumpang ERL yang menyarung t-shirt merah, hijau dan kuning sambil tangan kejap memegang tiang memaut diri (berdiri, tiada tempat duduk kosong dan ramai berdiri). Saya cuma berdiam kerana pertama kali menaiki ERL dan tidak mampu membuat perbandingan. Namun senyuman mengiringi perjalanan keretapi letrik pantas menuju KL sentral.

KL sentral menghadapi fenomena warna serupa. Ditambah ungu dan oren. Tujuan kami adalah hotel premier. Tempat keluarga teman saya ini menginap. Keluarganya begitu semangat sehingga menempah bilik hotel. Saya pula berdepan keraguan melepaskan diri oleh keluarga. Ibu saya bukanlah penyokong Barisan Nasional, namun, bila saluran informasi hanya tv. Keresahan dan kebimbangan turut menyelinap dalam hati, tambahan sifar kefahaman tentang himpunan yang akan dianjurkan. Tapi, saya memang keras untuk lembut mengakur dan saya yakin ibu pasti memahami penglibatan saya ini. Pasti, beliau memberi keizinan dengan seribu pesanan.

Keluar dari KL sentral, ragu mencari arah. 2 orang lelaki berkuturunan India pertengahan usia laju melangkah, saya tegur menanya arah. Pasti, mereka juga keliru di mana terletak pasti hotel tersebut. Pasti, laluan ke stadium merdeka tujuan mereka sambil bertanya arah sebenar perjalanan kami. Saya mengangguk iakan. Itu misi utama namun, kami perlu mampir ke hotel tersebut meletakkan beg pakaian yang dibawa teman saya dan singgah solat zohor.

Antara yakin dan percaya, kami melangkah bersama. Berbual basa-basi dengan 2 uncle yang saya terlupa bertanya nama. Berbicara soal kepincangan sistem pentadbiran dan keperluan untuk berubah. Saya menghadapi sedikit kesulitan menghadam kefasihan berbahasa Inggeris mereka. Mengeluh kelemahan diri tidak menguasai Inggeris sebaiknya atau kesal betapa bahasa Inggeris begitu rutin sehingga menjadi pertuturan harian yang lebih selesa diguna pakai dari bahasa kebangsaan. Namun, saya hanya membalas dengan senyuman dan ucapan terima kasih ketika hotel premier yang dituju kelihatan susuknya. Pastinya walau berbeza keturunan dan budaya, kami berkongsi idealisme serupa. Terasa perpaduan warga Malaysia terjelma.

Usai solat, dari jendela hotel di aras 14, kelihatan 'barisan rakyat' bergerak panjang dan padat di atas jalan. Teruja untuk menyertai. Berkobar untuk menggabungkan diri. Lantas, kami bergegas ke lif menuruni hotel dan melangkah pantas ke arah khalayak rakyat.

Adakah istilah untuk menggambarkan sangat sangat sangat ...... ramai ini? Saya jarang menyertai demonstrasi jalanan. Namun, pasti inilah demonstrasi (jika sesuai istilahnya) paling ramai pernah di adakan di Malaysia. Syukur, Saya dapat menyaksikan dan menjadi sebahagian daripadanya.

Setelah memetik kamera untuk gambar dan video. Kami menggabungkan diri. Melangkah perlahan mengikut arus manusia. Sesak, terhimpit. Namun aman. Namun selamat.

Saya bukan penggemar demonstrasi. Berpanas, berhimpit, apatah lagi bercampur lelaki wanita. Lemas dan rimas malah resah tidak dapat menjaga batasan dan maruah. Namun, entah bila bermula, saya mendapat perspektif berbeza soal himpunan demonstrasi baik di jalanan mahupun dataran.

Sambil melangkah, menjaga diri dan air wuduk yang masih lagi ada usai solat zohor tadi. Dalam sorak dan laungan semangat, saya dan teman sempat bergurau...

'tak terjaga wuduk kita.' Senyum.

'latihan untuk mengerjakan haji.' Sengaja saya memberi alasan. Seorang ustaz yang kami kenali lalu. Ketika menegur dia selamba berbicara, 'latihan tawaf dan padang arafah'. Kami terdiam sejenak sebelum tertawa perlahan. Bukan kami sahaja memikir seperti itu.

'Iktibar dari demonstrasi...
pertama, latihan untuk pelaksanaan haji,
kedua, reunion sahabat dan teman lama," kami senyum. Pandangan berlegar melihat beberapa peserta perarakan menyerbu sebuah van sarat dengan minuman untuk jualan.

'dan peluang perniagaan.' kami ketawa. Riang sebenarnya berdemo ini.

Memandang keliling tiada yang tertekan terhimpit dan tersepit. Semua melangkah tenang penuh semangat. Bila ada kesulitan ramai bertolak ansur memberi laluan dan menghulur bantuan.

Perjalanan berterusan dengan aman. Kelihatan beberapa kenderaan yang tersepit di kalangan demonstran. Melihat penumpang di dalam, tenang menunggu redha perarakan atau sabar memusing kenderaan dengan senyuman keluar dari khalayak demonstran. Ah, warga kita memang penuh kesedaran dan pemahaman, isu sehari terperangkap dalam lalulintas demi kebebasan dan kelestarian hidup rakyat bukanlah isu besar yang sengaja diperbesarkan golongan tertentu.

Sehingga tiba di persimpangan monorel hang tuah menuju ke satadium, perjalanan kami terhenti. Ya, laluan itu terlalu padat. Kami cuba juga melangkah. Namun, tidak berjaya. Hasrat untuk ke stadium terpaksa di padamkan. Dalam hati mengutuk diri keluar terlalu lewat bila ramai yang menuju stadium awal-awal pagi lagi.

Di persimpangan itu, beberapa wakil NGO dan Pakatan Rakyat memberikan ucapan. Saya cuba memberi perhatian. Tapi sedikit sukar. Namun ada ucapan seorang wakil menarik penumpuan saya, '...inilah perhimpunan yang diadakan oleh rakyat dan ditaja oleh rakyat.....'

Ya, ini adalah program yang ditaja oleh rakyat. Saya hadir dengan wang saku yang terhad dan tawakal yang menggunung tinggi. Tanpa paksaan dan tanpa tajaan pastinya. Kehadiran di sini dari seluruh ceruk tanah air tanpa sebarang huluran kewangan. Melihat semangat generasi warga emas dengan tongkat dan di papah anak-anak. Beralih pula melihat anak-anak kecil melangkah yakin tanpa rungutan apatah lagi tangisan. Ini bukan persoalan biasa, luar biasa melihat taburan generasi yang rela dan redha turun ke jalanan menunjukkan  harapan dan impian untuk berubah. Saya terfikir, adakah ini suasana ketika kemerdekaan di umumkan lebih 50 tahun lalu. Bila berduyun-duyun warga keluarga meraikan pembebasan sebuah negara yang sekian lama tertindas oleh penjajahan. Terus tertanya-tanya, adakah suasana ini menggambarkan selama lebih 50 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan, rasa tertindas serta kebebasan yang di injak melilit kehidupan rakyat hingga memaksa mereka keluar untuk menuntut kebebasan itu kembali?

Teman menggamit untuk kami bergerak pulang. Maaf, saya tidak menanti hingga himpunan bersurai dan melangkah pulang lebih awal. Ketika melangkah saya mencadangkan melencong ke Petaling Street mencari tempat mengisi perut. Baru terasa perut berkeroncong, kerana saya cuma sempat bersarapan pagi tadi.

Berjalan sekali lagi tanpa memahami arah laluan sebenar. Kami berdua memang dari selangor, hidup dalam kebanyakan usia di selangor, namun, berdepan jalan-jalan di kuala lumpur, kami masih seperti rusa masuk kampung. Sepanjang jalan, demonstran dengan baju warna tema merah, hijau, kuning, oren dan banyak lagi mengisi jalan-jalan. Kebanyakan kedai tutup, tidak pasti kerana demonstrasi atau hari cuti, tapi pasti kedai makanan yang di buka penuh pelanggannya. Kami terus melangkah mencari tempat sesuai mengisi perut.

Akhirnya, papan tanda marry brown menggamit kami. Saya tidak begitu gemar menikmati marry brown, namun, tidak begitu mudah mencari medan selera lain, saya ambil keputusan untuk mengisi perut di situ. Kelihatan ramai juga demonstran yang lain turut memilih restoran makanan segera ini.

Tidak ketinggalan dua anggota polis lengkap seragam turut menikmati burger dan ayam goreng di marry brown ini. Saya hampir terlupa mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang memberi kerjasama terbaik sepanjang himpunan. Lihat, jika tiada provokasi, polis yang bertugas turut boleh menjamu selera dengan tenang dan kenyang... =)

Tanpa sedar, rupanya restoran ini berdepan dengan lrt pasar seni yang bersambung dengan stesen komuter kuala lumpur. Saya akan bergerak pulang ke bangi dan teman saya akan menuju kembali ke hotel premier. Kami berpisah. Saya meneruskan langkah sendiri membeli tiket komuter.

Terpegun tiket manual komuter berupa resit cetak ditulis tangan oleh penjaga kaunter. Senyum lagi dan pandangan tertebar melihat di mana-mana demonstran berada.

Komuter berjalan lancar. Barangkali saya agak awal pulang. Masih beratus ribu di stadium dan sekitar. Sambil menanti komuter dan sepanjang perjalanan, update himpunan saya ikuti melalui facebook dan blog.

Tiba di stesen ukm, turun bersama saya, peserta perarakan lainny. Dari mula perjalanan hingga penghujung ada peserta himpunan bersama saya. Dan bilangannya bukan seorang dua..tapi lebih sepuluh orang. Terfikir, perarakan himpunan kebangkitan rakyat tidak bermula di sekitar KL di check point yang telah ditentukan tapi bermula sepanjang perjalanan dari seluruh pelusuk negara!

Pasca perhimpunan, jumlah kehadiran menjadi isu untuk dipolemikkan. Pasti, itulah 'outcome' sebuah perhimpunan, bilangan menampilkan kejayaan dan kegagalan. Saya akui, jumlah itu menggoda saya untuk turut serta. Namun, KL112 punya makna lebih dari sekadar mengira jumlah kehadiran....

Gambar-gambar yang sempat di rakam (saya akui perlu masuk kelas fotografi...huhu)

dari tingkat 14 hotel premier

sebelum menggabungkan diri

tak pasti hujung pangkal

ada sisters, bergegas melintas untuk bergabung...




antara polis yang terlibat. Yang sempat ambil gambar...byk lagi sebenarnya...
terima kasih dalam melancarkan lagi perjalanan perhimpunan.. ^_^








kebetulan.. (tiz zaqyah tak terlibat dalam himpunan kali ini...may be lain kali...^_^)












di marry brown, demonstran yang beratur memesan makanan, gmbar sebahagian bendera pas milik demonstran yang menjamu selera di meja sebelah. (saya bukan ahli parti politik, so, tak miliki sebarang bendera parti ^_^)

tiket manual komuter untuk pulang ke bangi (stesen ukm)

2 comments:

♥ Nur Hazlina Binti Mohd Fisol ♥ said...

Assalamualaikum, salam ziarah :)

Wah, coretan yang ditunggu-tunggu! Tahniah kerana berjaya merakamkan detik-detik demonstrasi yang julung kali disertai tu...Baca tulisan Kak Amal membuatkan Ina tak sabar nak telefon abah dan tanya pengalaman dia pula bersama rombongan 2 biji bas tu dari daerah kami.

Ya benar, tiada sebarang bayaran dan upah diberikan namun, mengapa rakyat sanggup turun untuk sertai? Inilah yang perlu difikirkan. Apa sebabnya kebangkitan rakyat ini. Sekadar bersuka-suka, bersesak dalam kesesakan lalu lintas dan menghabiskan masa cuti sahajakah???ada sesuatu yang sedang diperjuangkan!

(*^-^*) Lepas rindu baca tulisan Kak Amal.

Amalina Ismail said...

Lain kali kena turun sekali ye NUR HAZLINA MOHD FISOL. Buat coverage bersama-sama... =)