Thursday, September 16, 2010
Selamat Hari Raya!
Namun hidup saya lebih bererti. Belajar memang sentiasa menjadi keutamaan saya. Tapi kehidupan mendewasakan saya. Saya masih percaya pada impian dan masih bermimpi untuk merealisasikan biar sesempit mana ruang dan masa. Walau seakan tiada peluang. Saya percaya saya mampu lakukan.
Dan kelukaan menjadikan tangisan sekadar penawar dan saya akan kembali tersenyum dan melihat masa depan bersinar gemilang. Memandang setiap dugaan adalah pemberi kekuatan. Serta berkali-kali mengingatkan diri saya bukan lagi anak kecil yang mengadu dan merungut tentang remeh-temeh permasalahan. Hidup tidak selalunya indah namun kehidupan mencipta keindahan. Saya percaya suatu masa bila saya kembali memandang kebelakang saya akan tersenyum dan merasa rindu untuk menjadi seperti dulu. Ia mustahil kerana manusia terus-terusan berubah dan sukar kembali ke bentuk asal.
Perjalanan saya masih panjang. Sudah 2 tahun saya menyambut hari lahir dalam bulan puasa. Barangkali tahun depan hari lahir saya akan tiba di bulan syawal. Tahun depan adalah tahun ketiga saya sebagai pelajar ijazah sarjana muda. Masih berbaki dua tahun pengajian saya. Jauh di sudut hati saya mahu ia berakhir pantas. Banyak yang ingin dan perlu saya lakukan. Namun hati kecil masih gentar dan resah berdepan dunia luar. Ya, dunia orang dewasa yang penuh tanggungjawab. Ia memang menakutkan.
Tapi sama sekali saya tidak boleh berlari. Sedikit demi sedikit saya perlu mengerti erti kedewasaan. Walau saya masih mahu riang menari mengejar mimpi. Tapi berdepan kedewasaan adalah hakiki yang perlu saya tempuhi. Saya percaya saya mampu lakukan. Ya, doakan agar saya mampu lakukannya!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin! Tidak terlalu lewat rasanya....
Sunday, September 5, 2010
hmm...saya dah lama tak menonton...
TV3 sudah melampau! Celaka TV3!
KAMI BANTAH IKLAN RAYA 2010 TV3 YANG MEMPUNYAI UNSUR2 KHURAFAT DAN TIDAK MENJAGA SENSITIVITI UMAT ISLAM!!! BANTAHAN AKAN DITERUSKAN SEHINGGA TV3 MOHON MAAF SECARA TERBUKA KEPADA SELURUH UMAT ISLAM!!
TARIK BALIK IKLAN TERSEBUT DAN MEMOHON MAAF KEPADA UMAT ISLAM MALAYSIA
BERUNSUR DAN MIRIP KEPERCAYAAN AGAMA LAIN
IKLAN RAYA TV3 : pakcik berbasikal roda tiga yang mengangkut cucu mereka terbang ke bulan umpama santa claus membawa pendati yang diheret oleh rusa-rusanya :
Adakah Lembaran ini sama dengan hari natal ? Apa kena mengena bunga teratai dengan hari lembaran ? cam taipusam pun ada
diambil dari wall: KAMI MEMBANTAH PROMO IKLAN RAYA AIDILFITRI TV3 2010
KESAL dan sedih dengan iklan terbaru TV3 (Iklan Raya) yang mengelirukan. Keliru dengan 'mesej' beca terbang yang menjadi 'trademark' santa-claus atau "krismas", malah paling memeranjatkan 'hiding mesej @ objek' bunga lotus - yang berkait rapat dengan simbul utama tuhan buddha "Brahma God".. yang dipaparkan sehingga ke akhir iklan. Ia akan mengelirukan penonton khususnya di kalangan kanak2, siapa yg perlu bertindak? Ia boleh mencetuskan perbalahan agama.. KLIK SINI
INIKAH MAKSUDNYA????
Scene 1 - Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia dengan bertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung di sebelah kanan tingkap yang terbuka.
1.Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu
2.Buku - Bible
3.Pondok Buruk Beratap Rumbia - Kemiskinan
4.Malam Yang Gelap - Islam yang mundur
5.Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) - Lucifer@Iblis
6.Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM7.Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran
Scene 2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted).
1.Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity)
2.Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan
3.Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus
4.North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal)Pokok Krismas - Simbol Paganism
Scene 3 - Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya dari gambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk.
1.Bintang-bintang kecil beraura - Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran, kemodenan etc.
2.Lelaki Rambut Putih Dan Bersongkok Putih - POPE - Ketua Agama Kristian
3.Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan Masuk Kristian Scene
4 - Budak Lelaki Melayu dengan seorang Budak Perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Scene ini memaparkan kejayaan memurtadkan (merosakkan) Bangsa Melayu)
1.Budak Lelaki Dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu.
Scene 5 - Beca terbang ke Pulau Pinang, Teluk Intan, dan Kuala Lumpur. Tempat-tempat ini bercahaya dan bersinar (illuminated) dengan kehadiran beca merah.
1.Pulau Pinang - Tempat Illuminati mula bertapak (Francis Light)2.Teluk Intan, Hilir P...erak (Anson) - Ada Illuminati Lodge kat sini. Rotary club pun bersepah.3.Kuala Lumpur - Malaysian Illuminati punya capital.
Scene 6 - Tiba-tiba ada satu pasangan tambahan budak lelaki/perempuan melayu dalam beca.
1.Pasangan Melayu Extra - Murtad dan kerosakan makin berkembang dan mendapat sambutan
Scene 7 - Beca berhenti depan unit kondo. Satu pasangan budak Melayu lagi diorang pickup. Budak Melayu Kampung gembira sampai bercahaya-cahaya mukanya.
1. Kondo - Bandar/Middle Class. Budak kampung dah diterima oleh orang bandar. Masuk Kristian adalah cool, urban, modern dsbnya.
Scene 8 - Seorang budak perempuan memeluk seorang budak perempuan lain dari belakang. Kepala seorang budak lelaki hanya tersengih di tepi pasangan tersebut.
1.Pasangan Budak Perempuan Berpelukan - Lesbianism/Feminism2.Kepala Budak Lelaki Tersengih - Lelaki yang tak dipedulikan dan diperbodohkan.
Scene 9 - Beca terbang merentasi sebuah pulau.
1.Pulau - Singapore lah.
Scene 10 - Beca terbang merentasi awan dan menuju ke sebuah kawasan pergunungan. Kelihatan sebuah masjid di sebelah kiri, budak-budak Melayu tak mempedulikan kewujudan masjid malah lebih tertarik dengan pemandangan di bawah beca terbang.
1.Kawasan Pergunungan (Bukit-bukau) - tempat tinggal Jin2.Masjid Kecil - Agama Islam yang lemah
Scene 11 - Budak-budak Melayu sudah mendarat dan terus berlari sambil menunjuk-nunjuk ke arah Masjid yang terletak jauh disebalik jurang yang dalam sambil ketawa berdekah-dekah. Terdapat dua tangan misteri yang juga sedang menunjuk-nunjuk ke aras masjid. Sebuah bangunan misteri berada di antara masjid dan budak-budak Melayu.
1.Bangunan Misteri - Sebagai cover up (Yang sebenarnya ditunjuk-tunjuk adalah Masjid)
2.Perbuatan Menunjuk Menggunakan Jari Telunjuk - Perlakuan Biadab
taken from Yusrizan Usop
Sumber: http://www.facebook.com/notes/tohirah-sufi-mskhzyla/iklan-raya-tv3-suku-2010-/426944797546
Wednesday, September 1, 2010
Malam Merdeka
Manusia barangkali hanya merancang namun perancangan Allah itulah ketentuan. Seorang sahabat mempelawa untuk mengikuti Tamrin Marahil di I-city malam itu. Tanpa banyak bicara, saya bersetuju. Sungguh, saya teruja untuk sambutan malam kemerdekaan, tapi terlibat dalam Tamrin Marahil adalah satu pengalaman baru yang sukar untuk dilepaskan.
Akhirnya, kami tiba di I-city lebih kurang jam 11 malam. I-city, kota cahaya itu sungguh memukau pandangan. Lampu-lampu pelbagai warna dan bentuk itu menawan hati dan penglihatan. Saya sungguh mengagumi. Sungguh indah!
Namun,apa yang lebih mengagumkan adalah sambutan indah malam merdeka yang dianjurkan sebuah organisasi dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor. Kali pertama menyertai ‘countdown’ merdeka, saya menyertai sebuah majlis yang begitu terkawal dan terjaga.Sungguh, usaha pihak penganjur untuk melaksanakan sambutan malam merdeka yang ‘islamik’ dan sopan patut diberi pujian. Saya sempat berbisik pada teman, ‘sambutan seperti ini umpama mimpi untuk berlaku di negeri Selangor. Namun kini ia adalah kenyataan yang hakiki’. ‘Countdown’ merdeka ditutup dengan solat hajat beramai-ramai di depan pentas utama.Walaupun tidak semua pengunjung yang menyertai, namun apa yang cuba dibawa pihak penganjur adalah mustahil yang tidak lagi mustahil.
Tamrin Marahil sebenar bermula selepas selesai solat hajat. Tidak semena-mena, ia bukan berlaku di sekitar I-city saja tapi hampir seluruh tempat tumpuan masyarakat di Selangor. Entah nasib baik atau tidak, kami perlu ke Tanjung Harapan, Klang. Saat mendengar tempat yang bakal kami tuju untuk Tamrin Marahil itu, aku terdiam lama. Ya, jauhnya! Dan hari sudah menjelang pagi. Kami bertolak dari I-city hampir jam 2 pagi.
Perjalanan memakan masa lebih setengah jam untuk sampai ke Tanjung Harapan. Ini kali pertama saya ke kawasan yang terkenal sebagai Muara Ikan Bakar ini. Sungguh, kawasan jeti tepi laut yang indah berhampiran pelabuhan Klang. Namun, keindahan ini tercemar dengan ramainya muda-mudi yang hadir mengisi hening dinihari. Di sini tugas kami bermula.
Konvoi kami terdiri begitu ramai. Saya kira hampir mencecah seratus orang. Tidak banyak yang sempat saya dan sahabat dapat lakukan. Kami hanya mengedar risalah kepada pengunjung yang ada. Lebih kurang pukul 3 suku pagi, kami pulang kembali ke I-city. Bersahur di kedai mamak dan tidur di surau sehingga subuh menjelang. Kami menyambung lagi tidur sejenak selepas subuh sebelum bertolak pulang ke UPM.
Penat. Namun pengalaman itu memang indah. Diharapkan Tamrin Marahil yang diadakan sempena pelancaran Kempen Anti-Zina ini sedikit-sebanyak memberi kesan kepada masyarakat Selangor. Semoga semangat kemerdekaan meresap dalam hati setiap warga untuk bebas dan merdeka dari melakukan kemaksiatan.
Salam kemerdekaan semua!!!
Monday, August 30, 2010
Coretan kerja sambilan...
Barangkali tujuan utama saya bekerja sambilan memang kerana wang ringgit. Namun, semakin lama saya bekerja, semakin saya memahami, bekerja bukan semata-mata kerana wang. Ia lebih dari itu. Banyak yang saya pelajari dan sedikit-sebanyak ia mendewasakan diri.
Pertama, bila bekerja saya berlatih untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab. Biarpun berpuasa dan kepenatan, ataupun dilanda sakit, saya terpaksa berfikir berulang-ulang kali untuk mengambil cuti. Ini disebabkan, saya perlu memikirkan kesulitan yang terpaksa orang lain hadapi jika saya tidak hadir tiba-tiba. Tanggungjawab yang memaksa saya untuk sanggup berkorban dan melepaskan keperluan diri demi melaksanan satu tanggungjawab. Selain itu, tanggungjawab untuk melaksanakan setiap pekerjaan dengan sebaiknya. Sukar. Kadang-kala saya dihambur resah andai saya gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan sempurna, pasti akan di soal Tuhan di akhirat kelak kerana tanggungjawab adalah amanah. Halalkah gaji yang saya terima andai saya tidak melaksanakan amanah ini sejujurnya? Ya, saya seakan menjadi lebih dewasa. Tiada masa berkeluh-kesah dan merungut tidak menentu. Amanah dan tanggungjawab adalah kewajipan yang perlu saya laksanakan sebagai seorang pekerja. Moga-moga rezeki yang saya peroleh berisi barakah dan rahmat.
Kedua, saya mengenali dunia masyarakat. Sungguh, jika saya tidak bekerja sambilan, habis belajar, bergraduat dan bekerja, saya pasti tidak mengerti wujudnya kehidupan seperti itu. Saya menggeluti masyarakat yang berlatar-belakang pelbagai, dengan masalah dan rencam kehidupan yang kadang-kala menambah gusar dalam hati. Ia menyedarkan saya betapa banyak urusan dan tanggungjawab pula sebagai golongan mahasiswa juga da’i untuk dicurahkan pada masyarakat. Banyak lagi perkara yang perlu diberi pendidikan dan penerangan. Masyarakat yang sering-kali kita salahkan ini perlu ditumpahkan usaha, tenaga dan segala-galanya dalam proses tarbiyah agar impian mewujudkan masyarakat madani yang hevat dapat terlaksana. Ya, tugas kita begitu banyak dan kita perlu menyedarinya juga berhenti bicara saling menyalah. Apa yang perlu sekarang adalah bertindak tegas.
Banyak. Banyak lagi yang saya perolehi dalam waktu sepanjang kerja sambilan saya yang akan berlarutan sehingga Aidilfitri menjelma. Apa yang pasti, kerja itu memang memenatkan. Ia menyearkan saya pentingnya ilmu pelajaran. Tanpanya kita akan terus di bawah dan melakukan kerja-kerja yang melelahkan ini.
Wednesday, August 25, 2010
‘Happy birthday amal! Semoga kau mencapai semua impian...’
Kali ini tiada sambutan yang dirancang dan saya bukan lagi anak kecil yang merengek mahukan hadiah dan kek hari lahir. Bagi saya hari lahir adalah titik permulaan, sebagai mana 21 tahun lalu ia menjadi detik pertama saya menatap wajah dunia, ia turut menjadi titik bermula untuk saya berubah menjadi lebih baik. Barangkali lebih dewasa. 21 tahun, usia yang penuh signifikan. Menurut undang-undang saya sudah layak untuk mengundi dalam pilihan raya. Ya, ini bermakna usia yang cukup dewasa untuk membuat pilihan dan bertanggungjawab atas pilihan itu.
Lama saya tidak mencoret di halaman maya ini. ‘Come back’ sempena hari lahir ke 21 seakan amat sesuai rasanya. Ya, saya memang terlalu rindu untuk berpencak dengan aksara dan madah. Kesepian untuk beberapa ketika atas beberapa sebab-sebab peribadi yang tidak perlulah dikongsikan di sini. Apa yang pasti saya kembali dengan seribu misi!
Sebenarnya banyak yang telah berlaku sepanjang ‘pertapaan’ saya. Peristiwa-peristiwa yang begitu mengajar dan mendewasakan saya. Saya tidak akan menceritakan peristiwa-peristiwa itu di sini kerana ruangan ini tidak mahu saya jadikan diari peribadi yang semata-mata membongkar kisah hidup saya. Tapi saya mahu jadikan ia sebuah catatan perjalanan kehidupan yang penuh warna dan sarat dengan pengisian. Doakan saya mampu melakukannya!
Namun, ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi; pertama, Alhamdulillah untuk semester lalu pointer saya telah melebihi 3.75, walaupun pointer keseluruhan masih di bawah 3.75 namun saya benar-benar bersyukur kerana semester lalu saya mampu menunjukkan pencapaian yang memuaskan. Kedua, saya sudah memulakan ‘part-time job’. Saya tidak meletakkannya sebagai resolusi tahun baru tahun ini tapi ia adalah antara resolusi tahun baru tahun lalu yang gagal saya capai, namun Alhamdulillah, secara tak sengaja semasa saya membeli-belah di Bangi Utama beberapa minggu sebelum bulan ramadhan bermula saya mendapat kerja sambilan di sebuah kedai pakaian. Seminggu sebelum ramadhan, saya memulakan kerjaya baru saya setiap hujung minggu. Kerja dengan gaji yang tak seberapa itu memang agak penat dan membosankan namun, banyak yang saya peroleh dan pelajari. Sungguh, keluar dari lingkungan kampus ke pusat membeli-belah, saya membuka pandangan saya ke sebuah dunia yang begitu berbeza. Ia mengajar saya erti kesyukuran dan tanggungjawab. Betapa banyak lagi keperluan yang perlu disumbangkan golongan mahasiswa kepada masyarakat dan komuniti. Walaupun wang adalah tujuan saya memulakan pekerjaan sambilan, namun saya sedar betapa Allah menentukan saya untuk bekerja adalah supaya saya terjun dalam masyarakat dan memahami kepincangannya. Saya berdoa semoga satu hari nanti saya mampu untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat ini. Perkara ketiga yang ingin saya kongsi di sini adalah tentang impian saya untuk menulis novel. Ya, impian untuk menjadi seorang penulis tak pernah pudar dan saya akan terus menuju ke arah impian itu. Baru-baru ini saya telah menyertai sebuah bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam UPM dengan kerjasama PTS Islamika dan PTS Litera. Saya melihat betapa luasnya peluang untuk saya menjadi seorang penulis di situ. Doakan impian saya ini tercapai!
Saya kira sampai di sini sahaja celoteh tengah malam di permulaan hari lahir saya yang ke 21. Doakan saya tetap dalam iman dan Islam serta teguh dalam perjuangan. Doakan jasad dan rohani saya sihat dari anasir-anasir syirik, munafik dan fasik. Doakan kesejahteraan keluarga dan sahabat-sahabat saya. Doakan dalam keberkatan ramadhan yang mulia ini Allah akan terus berada dalam hati saya. Sungguh, saya masih terkenang kali pertama menyambut hari lahir pada bulan ramadhan ketika masih kecil saya memotong kek gulung coklat ketika sahur di kampung nenek. Setelah dewasa, saya tidak lagi memikirkan soal memotong kek, apa yang saya harapkan doakan saya selalu dalam setiap doa anda!
Friday, May 7, 2010
resepi : sambal goreng
Bahan A
1. Ikan bilis
2. Kentang
3. Fucuk dan suhun
4. Tempe
5. Kacang Tanah
6. Tauhu
Bahan B
1. Bawang merah
2. Bawang putih
3. Cili kering
4. Air asam jawa
5. Gula
6. Garam
Cara-cara
1. Semua bahan A di goreng garing.
2. Bahan B adalah untuk sambal. Kisar bawang merah, bawang putih dan cili kering. Tumis dalam seperti memasak sambal tumis. Masukkan air asam jawa, gula dan garam secukup rasa. Gula yang dimasukkan untuk membuat sambal goreng biasanya agak banyak. Tapi terpulang pada citarasa masing-masing.
3. Masukkan air yang banyak dan biarkan bahan-bahan B tadi rebus dan masak. Makin lama lagi bagus. Biasanya saya biarkan masak dalam masa lebis sejam ikut pada kuantiti. Bahan-bahan tadi akan masak bila warnanya dari merah garang kepada merah hati.
4. Sambal tadi bila sudah berwarna merah hati, biarkan agak pekat kemudian masukkan bahan-bahan A yang telah digoreng tadi. Gaul rata
Senang sahaja. Cuma agak mengambil masa. Bahan-bahan bergoreng itu ikut kegemaran. Kalau tak letak semua pun tak apa.
Monday, March 29, 2010
Ke Pesta Buku
Minggu lepas, seperti perang dunia ketiga sedang berlangsung dengan 2 subjek ujian dua dan satu projek yang meniti tarikh akhir. Sungguh, tidur tak lena, mandi tak basah!
Bila ujian matematik berakhir petang jumaat, terasa tubuh sedikit melayang melepaskan beban berat yang ditanggung seminggu. Ah, barangkali memang salah sendiri yang menunda tugasan ke saat-saay akhir. Ada dua lagi projek yang bertarikh akhir minggu depan. Namun, cuti hujung minggu memang dimanfaatkan sepenuhnya membalas dendam dengan rehat sepuas-puanya tanpa menyentuh senaskhah buku mahupun nota pelajaran. Ah, hujung minggu memang menyegarkan.
Semalam, sabtu saya tekad juga menaiki komuter menuju pesta buku di PWTC. Memang baru cuti tahun baru cina yang lalu bertaubat untuk sama sekali tidak menjejakkan kaki ke dalam komuter lagi angkara serik tersepit dan terhimpit di celah ramainya penumpang. Namun, dengan semangat mahu berdikari, saya tanggung mimpi ngeri sekali lagi dalam keretapi letrik yang sentiasa padat dan sesak dengan penumpang itu. Ya, memang serik. Namun, memang tiada jamin untuk saya tidak terlibat lagi.
Namun, tidak semuanya ngeri. Dalam padat dan sesak penumpang, ada seorang jurukamera ralit merakam suasana dalam tren penuh sesak itu. Saya amati pada vast yang di pakai ada seakan simbol berkaitan kempem membaca atau buku. Tidak semena-mena hampir setiap penumpang yang dapat duduk mengeluarkan buku dan menatap khusyuk dan si jurukamera makin galak merakam peristiwa. Saya hanya mampu menahan ketawa dalam hati, entahkan sengaja atau tidak, namun suasana itu memang unik, seakan ada pelakon yang berbayar pula. Segera pula saya teringat saya turut mengusung sebuah buku di dalam beg. Ah, itu memang kelaziman saya dalam perjalanan, menjadikan buku sebagai teman walau hakikatnya saya tidaklah begitu membaca.
Tanpa di sedari Saudara Sayed Munawar, pengacara televisyen yang terkenal itu turut bersesak di kalangan penumpang. Rupa-rupanya beliau bersama dengan jurukamera tadi. Tanpa saya sedari juga di bahagian berbeza gerabak yang sama di mana saya berada tepat di depan pintu, ada seorang lagi jurukamera, dan dari tali tag yang tergantung di lehernya saya ketahui jurukamera kali ini dari Astro. Ah, entah kebetulan namun ia menceriakan pagi hari saya yang baru mahu dinodai rasa kesal teramat memilih menaiki pengangkutan awam. Sungguh memang banyak lagi yang manis dapat dicoret dalam sesak dan padat yang melemaskan.
Keluar dari perut tren di hentian putra saya berpaling ke belakang. Memang ramai, serasa satu tren memang penuh penumpang untuk ke pesta buku. Rasanya komuter mesti dah ringan macam kapas. Ya, manusia memang tidak surut. Nak lepaskan tiket tren bersesak, dalam dewan pameran apatah lagi, di surau lebih-lebih lagi. Sebetulnya, setiap kali nak bina bangunan tumpuan rakyat kena bina sebuah masjid sekali macam di KLCC. Hmm, tiba-tiba saya dah seperti perancang bandar jadinya.
Kami berputar dari satu gerai penerbitan ke satu yang lain. Memang saya tidak merancang untuk berbelanja lebih. Sekadar mencukupkan koleksi dari Faisal Tehrani dan mungkin sebuah dua buku yang lain. Akhirnya satu membawa pulang 5 buah buku semuanya, tiga dari Faisal Tehrani; Bahlut, Ingin Jadi Nasrallah dan Saasatul Ibad. Hampir-hampir saya tidak dapat memilik Saasatul Ibad. Entah mengapa memang sukar betul untuk memiliki novel satira politik berlatar belakang kerajaan kesultanan melayu-Johor ini. 2 buah lagi dari seorang penulis Indonesia, Muhammad Alexander; Ya’juj dan Ma’juj bencana di sebalik gunung dan Alexander adalah Zulqarnain. Memang tak berniat untuk membawa pulang buku kajian yang berat dan tebal itu namun oleh sebab tergoda dengan harga potongan yang ditawarkan PTS publication saya berpatah balik membeli 2 buah buku menarik ini walaupun sudah meninggalkan gerai PTS publication. Ya, saya memang meminati 2 isu yang mahu disampaikan penulis lantaran Surah Al-Kahfi yang memuatkan kisah-kisah ini adalah surah yang paling saya gemari. Sungguh, kisah-kisah sejarah zaman lampau yang mengukir seribu tanda tanya yang pasti ingi saya terokai kebenarannya.
Usai solat zohor, hampir pukul tiga juga keluar dari perut surau lantaran ramainya orang. Kami kemudian bergegas ke pentas aktiviti utama. Ada pelancaran buku Faisal Tehrani. Salah satu sebab saya memilih berkunjung ke pesta buku pada tarikh ini. Ya, saya memang dah agak ‘rindu’ nak mendengar bicara beliau walau hanya seringkas ucapan pelancaran.
Namun, kisah selepas majlis pelancaran itu lebih menarik lagi. Ada slot silang kata jawi. Entah apa yang merasuk saya dengan berani menjadi pengujung pertama yang menjawab soalan dan kemudian bertekad untuk membaca puisi jawi di atas pentas di hadapan ramainya pengujung di pesta buku itu walau saya sedar, berapa ramai pun yang melihat saya ketika itu. Namun,saya benar-benar telah mencipta sejarah. Ya, dalam usia 21 tahun, buat kali ke 5 dalam hidup berkunjung ke pesta buku, pertama kalinya saya menaiki pentas. Sungguh, saya begitu bermimpi andai satu hari nanti saya akan menaiki pentas itu untuk melancarkan buku saya. Ya, insya Allah, satu hari nanti.
Saya tidak jadi melihat ke dalam gerai karangkraf. Ya, saya memang tidak berkira untuk membeli apa-apa dari sana. Selepas peristiwa di pentas utama kami pulang. Kali ini kami memilih menaiki STAR Lrt pula. Memang tak sanggup samasekali bersesak dalam komuter sekali lagi.
Saturday, March 13, 2010
EVOLUSI ’10 – Modul Personaliti
EVOLUSI ’10 menutup tirai semester ini dengan madul ketiga iaitu modul personaliti. Modul ini membawa pendekatan Membetuk Personaliti Diri Sebagai Seorang Muslim : Hindari Syirik Yang Tersembunyi. Dikelolakan oleh Dr. Asmah Yahaya, Pensyarah UPM yang pernah memenangi pingat emas dalam penyelidikan di Geneva.
Menjadikan syirik sebagai kontra dalam pembentukan personaliti, Dr Asmah menjelaskan bagaimana personaliti diri dapat dibina dengan nilai-nilai Islami. Syirik yang tersembunyi umpama kotoran hitam pada batu yang hitam di malam yang gelap. Ia sangat sukar untuk dihindari. Maka adalah penting dalam pembinaan personaliti muslim untuk berhati-hati dari terjebak dengannya.
Bagi membina personaliti, tiga langkah penting yang perlu ditekankan ialah ialah bentuk, baja dan hargai. Personaliti itu pertamanya perlu dibentuk,untuk dibentuk ia perlu kepada satu acuan,maka untuk memilih acuannya, kita sebagai muslim perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Allah swt sudah menetap dan menggariskan bagaimana sebenarnya akhlak atau personaliti seseorang muslim itu. Oleh sebab itu,mebentuk personaliti perlulah berdasarkan acuan yang telah ditentukan Allah swt. Kemudian personaliti yang telah dibentuk itu perlu dibaja. Ini adalah konsep istiqamah iaitu bagaimana personaliti yang telah dibentuk tadi dapat kekal di dalam diri serta sentiasa dipertingkatkan kualitinya. Ia memerlukan kepada usaha yang berterusan. Seterusnya ialah menghargai. Personaliti muslim yang baik dan bagus itu perlu pula dihargai. Antara caranya ia memanfaatkan personaliti yang baik itu untuk kebaikan kepada masyarakat serta bersyukur kepada Allah atas kurniaan yang diberikan.
Personaliti muslim itu merangkumi beberapa aspek, antaranya ialah nyata,personaliti seseorang muslim itu hendaklah tidak tersembunyi dan disembunyikan. Kemudian ia perlu seimbang untuk kehidupan di dunia dan akhirat serta ia berdasarkan ajaran Al-Quran dan mencontohi Rasulullah saw. Keperluan utama dalam membentuk personaliti muslim ialah Tauhid iaitu kepercayaan dan keyakinan kepada Tuhan yang satu dan lawan kepada Tauhid itu adalah syirik.Maka dalam membentuk personaliti muslim,musuh utama yang perlu dihindari ialah syirik.
Seterusnya,Dr Asmah menerangkan keperluan bersikap positif dalam membentuk personaliti. Beliau mengungkapkan betapa sikap positif itu memerlukan kepada aset. Ini bermaksud adalah lebih mudah untuk bersifat positif bila mengetahui kelemahana dan kekuatan kita agar ia membantu kita untuk sentiasa dapat bersikapa positif dengan apa yang kita miliki.
Dr Asmah menamatkan bengkel beliau dengan petikan kata-kata Dr Mazlan Osman, warga Malaysia yang berjaya di peringkat antarabangsa dalam bidang sains astrofizik;
‘Determine what you want to do, and do what you really want to do not what your teacher and parent want you to do. Look what you want to do in 5 to 10 years and make a path. In order to make a different, you have to different. Different thinking, different approach.’
Harapan saya mahasiswa hari ini akan lebih berupaya untuk bekerja keras dalam membentuk personaliti diri dan berjaya di dunia dan akhirat.
EVOLUSI ’10 – Modul Pengurusan Kewangan
Bukan segelintir, tapi majoriti warga Malaysia menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan mereka. Biar sebanyak mana pendapatan yang mereka peroleh, mereka masih berdepan dengan pelbagai isu kewangan yang mengugat dan mengganggu emosi dan jasmani.
Mendidik diri untuk mengurus kewangan dengan bijak juga memerlukan ilmu. Tanpa ilmu yang benar, pasti pengurusan yang tepat tidak dapat dilaksanakan. Masa yang paling sesuai untuk menuntut ilmu adalah zaman muda, zaman di mana manusia paling mudah mencerna informasi dan membentuk tabiat diri.
Mahasiswa hari ini turut tidak ketinggalan berdepan kerumitan isu kewangan. Pastinya jika tidak ditangani segera, golongan-golongan muda ini akan berdepan krisis yang lebih teruk ketika melangkah ke alam dewasa. Maka mengetahui teknik dan disiplin yang betul dalam pengurusan kewangan diri adalah sangat penting dalam kehidupan sebagai mahasiswa khususnya dan manusia seluruhnya.
Berikutan dalam melahirkan mahasiswa yang sentiasa bersedia dengan kepelbagaian kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menghadapi cabaran globalisasi dunia yang tidak terduga, mendedahkan mahasiswa kepada pegurusan kewangan diri yang betul adalah perlu. Bagi tujuan ini, melalui EVOLUSI ’10 modul pengurusan kewangan di bawah tajuk ‘Mahasiswa Bijak Mengurus Wang’, mahasiswa didedahkan kepada pengurusan kewangan secara teknikal dan praktikal oleh Pensyarah dari Jabatan Pembangunan Enterprise dan Perundingan Siswa, Universiti Teknologi Mara; Puan Laila Mohd Kamaruddin yang secara santai dan bersahaja berkongsi ilmu dan pengalaman beliau yang sangat bermanfaat kepada mahasiswa.
Bermula dengan mengulas Surah pertama dalam Al-Quran, Surah Alfatihah, beliau menerangkan betapa wujud dalam Quran yang mulia bagaimana teknik-teknik kewangan itu di ajar Tuhan. Bermula dengan istilah ‘maha’ yang bermasud terbaik,menunjukkan dalam pengurusan sesuatu perlulah dilaksanakan sebaik mungkin untuk memperoleh hasil yang diinginkan. Diteruskan bagaimana penggunaan akal yang bijak dan perkongsian rezeki yang diberi kepada golongan yang memerlukan serta pergantungan kepada Tuhan dalam menetukan pilihan terbaik dalam sesuatu permasalahan.
Beliau meneruskan penerangan tentang keperluan meletakkan tujuan dalam pengurusan kewangan. Dalam setiap urusan baik dalam pelajaran mahupun pekerjaan, kita pasti mempunyai matlamat dan objektif yang ingin dicapai. Begitu juga dalam menguruskan kewangan,meletakkan objektif untuk menguruskan kewangan adalah perlu supaya kita jelas tentang matlamat kita dan sentiasa berusaha ke arahnya.
Secara asasnya, tujuan utama dalam pengurusan kewangan adalah demi merancang masa depan. Pengurusan kewangan yang baik akan menyediakan masa depan yang terjamin, dan selamat dari pelbagai masalah. Sebagai contoh, tujuan pengurusan kewangan adalah untuk mengawal perbelanjaan agar tidak berlaku lebihan perbelanjaan yang menimbulkan masalah kekurangan sumber kewangan pada masa hadapan juga demi mewujudkan hubungan yang baik dengan keluarga, kawan dan masyarakat kerana dapat mengelakkan pergantungan kewangan dengan mereka yang boleh membawa kepada perselisihan faham dan ketidakpuasan hati. Ia juga perlu untuk menjaga insan-insan yang kita sayangi agar menjamin kehidupan mereka pada masa depan.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, banyak langkah dan teknik serta proses yang boleh diamalkan.Dalam sesi kali ini Puan Laila telah berkongsi agak panjang lebar 5 langkah dalam melaksanankan perancangan kewangan diri;
Langkah pertama ialah menilai situasi kewangan semasa. Ketika ini kita perlu menilai apakah keadaan kewangan kita sekarang. Adakah kritikal atau tidak? Apakah masalah-masalah kewangan yang kita hadapi? Apakah tabiat-tabiat yang ada pada diri kita mengganggu kelancaran pengurusan kewangan kita? Kenal pasti semua ini dan jika mampu senaraikan kedudukan kewangan kita dalam bentuk angka sekali agar lebih jelas dan difahami.
Langkah kedua ialah menetapkan matlamat kewangan persendirian. Matlamat ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Dalam menetapkan matlamat kewangan, adalah penting untuk kita mempunyai ilmu tentang nilai wang berdasarkan nilai masa. Ini berikutan nilai wang yang ada sekarang tidak akan sama untuk 10 tahun lagi. Oleh itu mengadakan simpanan wang untuk masa depan perlu bermula dari sekarang.
Dalam menetapkan matlamat,terdapat dua langkah penting iaitu pertama mengenalpasti apakah matlamat anda, sebagai contoh membeli kereta, rumah, pergi bercuti dan sebagainya. Kemudian pecahkan matlamat-matlamat itu kepada matlamat jangka pendek iaitu kurang dari satu tahun, sederhana antara 1 hingga 3 tahun dan jangka panjang iaitu lebih 3 tahun. Perlu diingatkan antara matlamat yang wajib ada dalam kewangan kita adalah simpanan untuk kecemasan. Sewajarnya simpanan untuk kecemasan ini adalah keperluankewangan yang diperlukan untuk enam bulan atau lebih. Ini bermaksud jika dalam sebulan anda memerlukan wang perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1000, maka anda perlu mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM6000.
Langkah ketiga adalah menentukan tindakan yang perlu diambil kira. Untuk melaksanakan sesuatu tindakan dalam kewangan, terlebih dahulu sediakan penyata kewangan anda (balance statement) yang menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda serta net worth anda. Apa yang perlu anda buat ialah sentiasa meningkatkan net worth anda. Antara cara-cara bagi meningkatkan net worth anda ialah; meningkatkan kadar simpanan, mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan hutang dan menjual barang-barang yang tidak lagi mendatangkan keperluan kepada anda.
Langkah keempat ialah menilai sebarang alternatif. Apa yang penting dalam pengurusan kewangan adalah menyedari dan memahami kemampuan kewangan diri. Kita perlu jelas mengenai keperluan dan kehendak, berbelanja dengan bijak serta menangguhkan keinginan. Setelah itu sediakan satu bajet kewangan, bajet ini perlu memenuhi beberapa syarat untuk dilaksanakan dengan jayanya. Antara syaratnya ialah hendaklah sabar dan berdisiplin, realistic, fleksibel dan menyediakan peruntukan untuk bergembira.
Langkah terakhir ialah menyediakan perancangan kewangan dan laksanakannya. Dalam penyediaan perancangan kewangan ini,beberapa perkara yang perlu diambil kira ialah produk kewangan seperti yang ditawarkan oleh bank-bank, membina kekayaan melalui simpanan, pelaburan dan sebagainya,insurans serta pengurusan hutang.
Puan Laila menamatkan ceramah beliau dengan igatan kepada mahasiswa agar bijak dalam menguruskan kewangan dan tidak mudah terpengaruh untuk berbelanja serta sentiasa berfikir tentang masa depan. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan modul ini dan berharap untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan. Harapan saya ialah mahasiswa mampu untuk bertanggungjawab terhadap kewangan masing-masing danmenjalani kehidupan sebagai mahasiswa yang berketrampilan dan bijak. Juga ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama rakan-rakan mahasiswa yang lain.
Thursday, March 11, 2010
Absurd dalam Vakum
Agak lama juga tidak menulis. Sedangkan banyak yang ingin saya ceritakan. Tentang EVOLUSI yang berminggu dah berakhir, kunjungan ilmiah Johor-Singapura, menonton teater semalam dan banyak lagi tentang kehidupan seharian saya. Namun, dengan tugasan akademik yang terus-menerus menghimpit masa dan waktu saya pendamkan saja hasrat itu.
Tapi, sebentar tadi pensyarah saya baru memaklumkan mengenai tugasan kami yang di panjangkan tempoh peyediaannya seminggu lagi. Sedikit lega dan merasa seperti mahu mengambil sedikit masa berkongsi ceritera hati.
Hmm…saya rasa mahu bercerita tentang teater semalam. Kisah baru berlaku, masih segar melekat di hati. Sebetulnya saya ada kelas malam tadi, namun dibatalkan di saat-saat akhir. Bersama teman-teman kami menuju ke Panggung Percubaan untuk menyaksikan teater bertajuk Vakum dari produksi kolej 13, kolej yang penuh memori bagi saya dan teman-teman. Dalam kemelut menyelesaikan tugasan yang berlambakan, saya sedikit ragu untuk menghabiskan masa lebih sejam di kerusi penonton. Namun saya akur juga, tambahan lagi pementasan ini melibatkan ramai teman-teman ketika di asasi dahulu. Ya, sewajarnya hadir menyokong.
Seperti sangkaan saya, Vakum adalah satu teks di bawah tema absurd-eksistensialisme. Saya pernah mendengar Faisal Tehrani menghurai agak panjang tentang tema ini. Tema yang agak popular dan mendapat tempat di barat namun pada akhirnya ia sebuah naskhah yang tidak bermakna kerana tiada tujuan dan makna yang hakiki. Meminjam istilah yang diungkapkan Faisal Tehrani, ia adalah tema di mana ‘ manusia yang bosan dengan kehidupan dan tidak percaya pada Tuhan’.
Ketika saya mendengar Faisal Tehrani berbicara soal genre ini, saya pernah tertanya-tanya bagaimana sebenar bentuk genre absurd-eksistensialisme ini. Maka ketika menonton pementasan Vakum, saya sedikit tercerah tentang makna sebenar absurd-eksistensialisme. Walau hakikatnya saya sama sekali tidak mengerti isi pementasan teater selama 60 minit itu.
Barangkali biarpun ia bergenre absurd-eksistensialisme, saya yakin ia masih sebuah naskhah yang mampu memukau penonton. Jujurnya, saya sendiri sedikit tergiur untuk menelusuri genre ini kerana kerumitan persoalannya walau saya sedar bahaya kewujudannya dalam aliran utama seni penulisan kreatif. Maka, kesal di hati tidak dapat menonton teks serupa yang dipentaskan produksi kolej10/11 memang sukar digambarkan. Namun, apakan daya masa memang tidak mampu berputar kembali. Beruntung juga ada teman yang membuat rakaman. Harap dapat menonton kemudian.
Saya tidak mahu bercerita soal teknikal pementasan, namun, bagi pementasan malam tadi saya menyedari betapa watak seakan langsung tidak mengerti makna watak yang dipegang. Barangkali ada lakonan dan aksi namun kering dan gontang dengan rasa. Skrip dihafal dengan intonasi, tapi bukan difahami. Ah, barangkali tidak boleh menyalahkan sesiapa ekoran teks ini memang tidak sebegitu mudah untuk dicerna.




