Jika ada yang bertanya apakah erti kemerdekaan pada saya? Sejujurnya, minda saya kosong sama sekali. Ya, kesibukan kadang-kala mengalpakan kita, sekali lagi saya hampir terlupa tentang hari kemerdekaan pada 31 Ogos. Namun ketika Ikim meuar-uar tentang sambutan kemerdekaan yang bakal diadakan di I-city Shah Alam ketika di dalam kereta menuju ke kampus pada pagi 30 Ogos, saya tersedar dan sedikit teruja untuk mengikuti. Namun, mencongak masa, saya pendamkan hasrat. Tiada masa untuk keluar berseronok, ada begitu banyak urusan yang menuntut perhatian.
Manusia barangkali hanya merancang namun perancangan Allah itulah ketentuan. Seorang sahabat mempelawa untuk mengikuti Tamrin Marahil di I-city malam itu. Tanpa banyak bicara, saya bersetuju. Sungguh, saya teruja untuk sambutan malam kemerdekaan, tapi terlibat dalam Tamrin Marahil adalah satu pengalaman baru yang sukar untuk dilepaskan.
Akhirnya, kami tiba di I-city lebih kurang jam 11 malam. I-city, kota cahaya itu sungguh memukau pandangan. Lampu-lampu pelbagai warna dan bentuk itu menawan hati dan penglihatan. Saya sungguh mengagumi. Sungguh indah!
Namun,apa yang lebih mengagumkan adalah sambutan indah malam merdeka yang dianjurkan sebuah organisasi dengan kerjasama kerajaan Negeri Selangor. Kali pertama menyertai ‘countdown’ merdeka, saya menyertai sebuah majlis yang begitu terkawal dan terjaga.Sungguh, usaha pihak penganjur untuk melaksanakan sambutan malam merdeka yang ‘islamik’ dan sopan patut diberi pujian. Saya sempat berbisik pada teman, ‘sambutan seperti ini umpama mimpi untuk berlaku di negeri Selangor. Namun kini ia adalah kenyataan yang hakiki’. ‘Countdown’ merdeka ditutup dengan solat hajat beramai-ramai di depan pentas utama.Walaupun tidak semua pengunjung yang menyertai, namun apa yang cuba dibawa pihak penganjur adalah mustahil yang tidak lagi mustahil.
Tamrin Marahil sebenar bermula selepas selesai solat hajat. Tidak semena-mena, ia bukan berlaku di sekitar I-city saja tapi hampir seluruh tempat tumpuan masyarakat di Selangor. Entah nasib baik atau tidak, kami perlu ke Tanjung Harapan, Klang. Saat mendengar tempat yang bakal kami tuju untuk Tamrin Marahil itu, aku terdiam lama. Ya, jauhnya! Dan hari sudah menjelang pagi. Kami bertolak dari I-city hampir jam 2 pagi.
Perjalanan memakan masa lebih setengah jam untuk sampai ke Tanjung Harapan. Ini kali pertama saya ke kawasan yang terkenal sebagai Muara Ikan Bakar ini. Sungguh, kawasan jeti tepi laut yang indah berhampiran pelabuhan Klang. Namun, keindahan ini tercemar dengan ramainya muda-mudi yang hadir mengisi hening dinihari. Di sini tugas kami bermula.
Konvoi kami terdiri begitu ramai. Saya kira hampir mencecah seratus orang. Tidak banyak yang sempat saya dan sahabat dapat lakukan. Kami hanya mengedar risalah kepada pengunjung yang ada. Lebih kurang pukul 3 suku pagi, kami pulang kembali ke I-city. Bersahur di kedai mamak dan tidur di surau sehingga subuh menjelang. Kami menyambung lagi tidur sejenak selepas subuh sebelum bertolak pulang ke UPM.
Penat. Namun pengalaman itu memang indah. Diharapkan Tamrin Marahil yang diadakan sempena pelancaran Kempen Anti-Zina ini sedikit-sebanyak memberi kesan kepada masyarakat Selangor. Semoga semangat kemerdekaan meresap dalam hati setiap warga untuk bebas dan merdeka dari melakukan kemaksiatan.
Salam kemerdekaan semua!!!
Wednesday, September 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment