Pages

Thursday, September 16, 2010

Selamat Hari Raya!

Selamat Hari Raya! Terlambatkah saya untuk mengucapkannya? Ini sudah masuk hari raya ke-7. Ya, cuti dua minggu pertengahan semester sempena hari raya. Saya membawa pulang 2 beg penuh dengan buku dan nota untuk menyiapkan tugasan-tugasan akademik. Namun, minggu pertama berlalu dengan kerja sambilan, dan hampir separuh minggu kedua berlalu dengan sambutan hari lebaran. Bilakah saya mahu mulakan segala urusan yang terbengkalai? Dan sedikit kesibukan itu menjauhkan saya dari mengukir bicara di laman ini.

Namun hidup saya lebih bererti. Belajar memang sentiasa menjadi keutamaan saya. Tapi kehidupan mendewasakan saya. Saya masih percaya pada impian dan masih bermimpi untuk merealisasikan biar sesempit mana ruang dan masa. Walau seakan tiada peluang. Saya percaya saya mampu lakukan.

Dan kelukaan menjadikan tangisan sekadar penawar dan saya akan kembali tersenyum dan melihat masa depan bersinar gemilang. Memandang setiap dugaan adalah pemberi kekuatan. Serta berkali-kali mengingatkan diri saya bukan lagi anak kecil yang mengadu dan merungut tentang remeh-temeh permasalahan. Hidup tidak selalunya indah namun kehidupan mencipta keindahan. Saya percaya suatu masa bila saya kembali memandang kebelakang saya akan tersenyum dan merasa rindu untuk menjadi seperti dulu. Ia mustahil kerana manusia terus-terusan berubah dan sukar kembali ke bentuk asal.

Perjalanan saya masih panjang. Sudah 2 tahun saya menyambut hari lahir dalam bulan puasa. Barangkali tahun depan hari lahir saya akan tiba di bulan syawal. Tahun depan adalah tahun ketiga saya sebagai pelajar ijazah sarjana muda. Masih berbaki dua tahun pengajian saya. Jauh di sudut hati saya mahu ia berakhir pantas. Banyak yang ingin dan perlu saya lakukan. Namun hati kecil masih gentar dan resah berdepan dunia luar. Ya, dunia orang dewasa yang penuh tanggungjawab. Ia memang menakutkan.

Tapi sama sekali saya tidak boleh berlari. Sedikit demi sedikit saya perlu mengerti erti kedewasaan. Walau saya masih mahu riang menari mengejar mimpi. Tapi berdepan kedewasaan adalah hakiki yang perlu saya tempuhi. Saya percaya saya mampu lakukan. Ya, doakan agar saya mampu lakukannya!

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin! Tidak terlalu lewat rasanya....

1 comments:

Syifa' said...

ya, benar..dunia orang dewasa memang menakutkan..contohnya, saya..saya sekarang sudah kelihatan usang dan antik gara2 tension tentang kerja..hahaha.. :)s