Pages

Thursday, March 11, 2010

Absurd dalam Vakum


Agak lama juga tidak menulis. Sedangkan banyak yang ingin saya ceritakan. Tentang EVOLUSI yang berminggu dah berakhir, kunjungan ilmiah Johor-Singapura, menonton teater semalam dan banyak lagi tentang kehidupan seharian saya. Namun, dengan tugasan akademik yang terus-menerus menghimpit masa dan waktu saya pendamkan saja hasrat itu.

Tapi, sebentar tadi pensyarah saya baru memaklumkan mengenai tugasan kami yang di panjangkan tempoh peyediaannya seminggu lagi. Sedikit lega dan merasa seperti mahu mengambil sedikit masa berkongsi ceritera hati.

Hmm…saya rasa mahu bercerita tentang teater semalam. Kisah baru berlaku, masih segar melekat di hati. Sebetulnya saya ada kelas malam tadi, namun dibatalkan di saat-saat akhir. Bersama teman-teman kami menuju ke Panggung Percubaan untuk menyaksikan teater bertajuk Vakum dari produksi kolej 13, kolej yang penuh memori bagi saya dan teman-teman. Dalam kemelut menyelesaikan tugasan yang berlambakan, saya sedikit ragu untuk menghabiskan masa lebih sejam di kerusi penonton. Namun saya akur juga, tambahan lagi pementasan ini melibatkan ramai teman-teman ketika di asasi dahulu. Ya, sewajarnya hadir menyokong.

Seperti sangkaan saya, Vakum adalah satu teks di bawah tema absurd-eksistensialisme. Saya pernah mendengar Faisal Tehrani menghurai agak panjang tentang tema ini. Tema yang agak popular dan mendapat tempat di barat namun pada akhirnya ia sebuah naskhah yang tidak bermakna kerana tiada tujuan dan makna yang hakiki. Meminjam istilah yang diungkapkan Faisal Tehrani, ia adalah tema di mana ‘ manusia yang bosan dengan kehidupan dan tidak percaya pada Tuhan’.

Ketika saya mendengar Faisal Tehrani berbicara soal genre ini, saya pernah tertanya-tanya bagaimana sebenar bentuk genre absurd-eksistensialisme ini. Maka ketika menonton pementasan Vakum, saya sedikit tercerah tentang makna sebenar absurd-eksistensialisme. Walau hakikatnya saya sama sekali tidak mengerti isi pementasan teater selama 60 minit itu.

Barangkali biarpun ia bergenre absurd-eksistensialisme, saya yakin ia masih sebuah naskhah yang mampu memukau penonton. Jujurnya, saya sendiri sedikit tergiur untuk menelusuri genre ini kerana kerumitan persoalannya walau saya sedar bahaya kewujudannya dalam aliran utama seni penulisan kreatif. Maka, kesal di hati tidak dapat menonton teks serupa yang dipentaskan produksi kolej10/11 memang sukar digambarkan. Namun, apakan daya masa memang tidak mampu berputar kembali. Beruntung juga ada teman yang membuat rakaman. Harap dapat menonton kemudian.

Saya tidak mahu bercerita soal teknikal pementasan, namun, bagi pementasan malam tadi saya menyedari betapa watak seakan langsung tidak mengerti makna watak yang dipegang. Barangkali ada lakonan dan aksi namun kering dan gontang dengan rasa. Skrip dihafal dengan intonasi, tapi bukan difahami. Ah, barangkali tidak boleh menyalahkan sesiapa ekoran teks ini memang tidak sebegitu mudah untuk dicerna.


0 comments: