Bukan segelintir, tapi majoriti warga Malaysia menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan mereka. Biar sebanyak mana pendapatan yang mereka peroleh, mereka masih berdepan dengan pelbagai isu kewangan yang mengugat dan mengganggu emosi dan jasmani.
Mendidik diri untuk mengurus kewangan dengan bijak juga memerlukan ilmu. Tanpa ilmu yang benar, pasti pengurusan yang tepat tidak dapat dilaksanakan. Masa yang paling sesuai untuk menuntut ilmu adalah zaman muda, zaman di mana manusia paling mudah mencerna informasi dan membentuk tabiat diri.
Mahasiswa hari ini turut tidak ketinggalan berdepan kerumitan isu kewangan. Pastinya jika tidak ditangani segera, golongan-golongan muda ini akan berdepan krisis yang lebih teruk ketika melangkah ke alam dewasa. Maka mengetahui teknik dan disiplin yang betul dalam pengurusan kewangan diri adalah sangat penting dalam kehidupan sebagai mahasiswa khususnya dan manusia seluruhnya.
Berikutan dalam melahirkan mahasiswa yang sentiasa bersedia dengan kepelbagaian kemahiran dan ilmu pengetahuan untuk menghadapi cabaran globalisasi dunia yang tidak terduga, mendedahkan mahasiswa kepada pegurusan kewangan diri yang betul adalah perlu. Bagi tujuan ini, melalui EVOLUSI ’10 modul pengurusan kewangan di bawah tajuk ‘Mahasiswa Bijak Mengurus Wang’, mahasiswa didedahkan kepada pengurusan kewangan secara teknikal dan praktikal oleh Pensyarah dari Jabatan Pembangunan Enterprise dan Perundingan Siswa, Universiti Teknologi Mara; Puan Laila Mohd Kamaruddin yang secara santai dan bersahaja berkongsi ilmu dan pengalaman beliau yang sangat bermanfaat kepada mahasiswa.
Bermula dengan mengulas Surah pertama dalam Al-Quran, Surah Alfatihah, beliau menerangkan betapa wujud dalam Quran yang mulia bagaimana teknik-teknik kewangan itu di ajar Tuhan. Bermula dengan istilah ‘maha’ yang bermasud terbaik,menunjukkan dalam pengurusan sesuatu perlulah dilaksanakan sebaik mungkin untuk memperoleh hasil yang diinginkan. Diteruskan bagaimana penggunaan akal yang bijak dan perkongsian rezeki yang diberi kepada golongan yang memerlukan serta pergantungan kepada Tuhan dalam menetukan pilihan terbaik dalam sesuatu permasalahan.
Beliau meneruskan penerangan tentang keperluan meletakkan tujuan dalam pengurusan kewangan. Dalam setiap urusan baik dalam pelajaran mahupun pekerjaan, kita pasti mempunyai matlamat dan objektif yang ingin dicapai. Begitu juga dalam menguruskan kewangan,meletakkan objektif untuk menguruskan kewangan adalah perlu supaya kita jelas tentang matlamat kita dan sentiasa berusaha ke arahnya.
Secara asasnya, tujuan utama dalam pengurusan kewangan adalah demi merancang masa depan. Pengurusan kewangan yang baik akan menyediakan masa depan yang terjamin, dan selamat dari pelbagai masalah. Sebagai contoh, tujuan pengurusan kewangan adalah untuk mengawal perbelanjaan agar tidak berlaku lebihan perbelanjaan yang menimbulkan masalah kekurangan sumber kewangan pada masa hadapan juga demi mewujudkan hubungan yang baik dengan keluarga, kawan dan masyarakat kerana dapat mengelakkan pergantungan kewangan dengan mereka yang boleh membawa kepada perselisihan faham dan ketidakpuasan hati. Ia juga perlu untuk menjaga insan-insan yang kita sayangi agar menjamin kehidupan mereka pada masa depan.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut, banyak langkah dan teknik serta proses yang boleh diamalkan.Dalam sesi kali ini Puan Laila telah berkongsi agak panjang lebar 5 langkah dalam melaksanankan perancangan kewangan diri;
Langkah pertama ialah menilai situasi kewangan semasa. Ketika ini kita perlu menilai apakah keadaan kewangan kita sekarang. Adakah kritikal atau tidak? Apakah masalah-masalah kewangan yang kita hadapi? Apakah tabiat-tabiat yang ada pada diri kita mengganggu kelancaran pengurusan kewangan kita? Kenal pasti semua ini dan jika mampu senaraikan kedudukan kewangan kita dalam bentuk angka sekali agar lebih jelas dan difahami.
Langkah kedua ialah menetapkan matlamat kewangan persendirian. Matlamat ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Dalam menetapkan matlamat kewangan, adalah penting untuk kita mempunyai ilmu tentang nilai wang berdasarkan nilai masa. Ini berikutan nilai wang yang ada sekarang tidak akan sama untuk 10 tahun lagi. Oleh itu mengadakan simpanan wang untuk masa depan perlu bermula dari sekarang.
Dalam menetapkan matlamat,terdapat dua langkah penting iaitu pertama mengenalpasti apakah matlamat anda, sebagai contoh membeli kereta, rumah, pergi bercuti dan sebagainya. Kemudian pecahkan matlamat-matlamat itu kepada matlamat jangka pendek iaitu kurang dari satu tahun, sederhana antara 1 hingga 3 tahun dan jangka panjang iaitu lebih 3 tahun. Perlu diingatkan antara matlamat yang wajib ada dalam kewangan kita adalah simpanan untuk kecemasan. Sewajarnya simpanan untuk kecemasan ini adalah keperluankewangan yang diperlukan untuk enam bulan atau lebih. Ini bermaksud jika dalam sebulan anda memerlukan wang perbelanjaan sekurang-kurangnya RM1000, maka anda perlu mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya RM6000.
Langkah ketiga adalah menentukan tindakan yang perlu diambil kira. Untuk melaksanakan sesuatu tindakan dalam kewangan, terlebih dahulu sediakan penyata kewangan anda (balance statement) yang menyenaraikan segala aset dan liabiliti anda serta net worth anda. Apa yang perlu anda buat ialah sentiasa meningkatkan net worth anda. Antara cara-cara bagi meningkatkan net worth anda ialah; meningkatkan kadar simpanan, mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan hutang dan menjual barang-barang yang tidak lagi mendatangkan keperluan kepada anda.
Langkah keempat ialah menilai sebarang alternatif. Apa yang penting dalam pengurusan kewangan adalah menyedari dan memahami kemampuan kewangan diri. Kita perlu jelas mengenai keperluan dan kehendak, berbelanja dengan bijak serta menangguhkan keinginan. Setelah itu sediakan satu bajet kewangan, bajet ini perlu memenuhi beberapa syarat untuk dilaksanakan dengan jayanya. Antara syaratnya ialah hendaklah sabar dan berdisiplin, realistic, fleksibel dan menyediakan peruntukan untuk bergembira.
Langkah terakhir ialah menyediakan perancangan kewangan dan laksanakannya. Dalam penyediaan perancangan kewangan ini,beberapa perkara yang perlu diambil kira ialah produk kewangan seperti yang ditawarkan oleh bank-bank, membina kekayaan melalui simpanan, pelaburan dan sebagainya,insurans serta pengurusan hutang.
Puan Laila menamatkan ceramah beliau dengan igatan kepada mahasiswa agar bijak dalam menguruskan kewangan dan tidak mudah terpengaruh untuk berbelanja serta sentiasa berfikir tentang masa depan. Rata-rata peserta sangat berpuas hati dengan modul ini dan berharap untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam kehidupan. Harapan saya ialah mahasiswa mampu untuk bertanggungjawab terhadap kewangan masing-masing danmenjalani kehidupan sebagai mahasiswa yang berketrampilan dan bijak. Juga ilmu yang diperoleh dapat dikongsi bersama rakan-rakan mahasiswa yang lain.
0 comments:
Post a Comment