Saya sebenarnya agak terlewat untuk mengupas tajuk ini. Benar, akhir-akhir ini ralit dengan tugasan akademik hingga gagal mendalami isu-isu semasa dan terkini yang menghiasi hari-hari masyarakat.
Saya baru menonton filem yang sedang hangat di panggung. Tiketnya laris seperti pisang goreng panas. Filem adaptasi sebuah novel melayu yang begitu popular pada akhir era 90-an tidak salah saya atau mungkin juga ketika melangkah ke alaf baru tahun 2000. Lebih kurang begitulah sebab seingat saya, saya membaca 'Ombak Rindu' ketika berusia 13 atau 14 tahun. lebih kurang 10 tahun kemudian filemnya diterbitkan. Memang sekarang musim adaptasi novel ke filem. Tentu sekali lebih realistik bagi pengeluar di mana khalayak penonton filem dan pembaca novel dapat sama-sama ditarik ke panggung yang pastinya dapat meningkatkan berlipat kali ganda keuntungan.
Kebetulan saya menonton filem ini. Sungguh, menonton di panggung bukanlah kegemaran, namun ada kala saya merasa ingin juga menukar sudut pandangan dari monitor netbook 12 inch ke layar perak 3-4 meter persegi keluasannya. Kebetulan 'Ombak Rindu' menjadi pilihan. Ya, setelah sekian lama tidak menulis ulasan, terdetik di hati saya untuk mengulas sedikit bukan kerana 'Ombak Rindu' tapi kerana HARAMnya 'Sebongkah Batu di Kuala Berang'.
Sebab itu saya katakan saya agak terlewat mengupas tajuk ini kerana isu pengharaman ini sudah berlangsung hampir seminggu dan novel ini serta merta menjadi 'hangat' juga di pasaran. Stoknya sudah habis terjual. Jika masih ada yang belum membaca, boleh sewa dengan rate RM 2 sehari dari saya..=). Saya juga masih belum khatam, masih berbaki bab terakhir.
Saya setuju atau tidak dengan pengharaman itu? Karya Faisal Tehrani, katakan saja yang mana tidak menimbulkan isu? rasanya lebih separuh hasil karya dan penulisan beliau menjadi bahan polemik dan kontroversi. Rasanya jika menyingkap isu syiah, sebelum novel ini, banyak lagi karya-karya beliau yang mengungkap makna dan isi yang serupa. Namun, apa yang salahnya jika yang ditekankan cuma kecintaan kepada ahlul bait, Ali, Fatimah, Hassan dan Hussin. entahlah, saya bukanlah mufti yang layak mengeluarkan fatwa, jadi apakah pandangan saya sama sekali tidak penting untuk diperbahaskan di sini. Namun yang pasti novel ini sekadar fiksi dan bukan kitab agama untuk diimani. Jika ada dikalangan kita merasakan novel ini benar, kebenarannya tidak akan mengatasi Quran. Jika ada yang menanggapinya sesat, kesesatannya pasti kerana ia cuma kisah rekaan yang menempelkan fakta-fakta sejarah yang masih boleh dikaji dengan mendalam. Pengharamannya? Tak begitu penting kerana penerbit mahupun penulis sudah beroleh pulangan modal dan keuntungan saya kira dengan novel ini habis dijual dengan dua kali cetakan.
Berbalik kepada 'Ombak Rndu'. Tidak dapat dinafikan novel ini memang punya pengikutnya sendiri sebagai antara novel cinta popular terawal dalam zaman bermulanya demam novel cinta popular. Selepas kemunculan 'Ombak Rindu', khalayak pembaca di Malaysia semakin minat menbaca dan hasil penjualan novel-novel genre ini semakin mendapat sambutan di pasaran. Ya, sebelum Ayat-ayat Cinta memasuki pasaran tempatan dan khalayak mula rambang mata dan seterusnya novel cinta islami popular mengambil tempat carta teratas dalam permintaan bahan bacaan di pasaran. Kini khalayak pembaca sudah semakin jemu dengan jalan cerita novel-novel cinta popular, beralih arah kepada novel cinta islami popular. Ya, mengikut zaman dan trend semasa, masyarakat pembaca berubah selera. Sejak akhir-akhir ini semakin ramai pembaca mula mencari bahan bacaan lebih intelektual dan meninggalkan novel-novel genre cinta picisan kepada genre yang lebih matang dan berfakta. Namun, pastinya novel evergreen 'Ombak Rindu' masih mendapat tempat di hati pembaca dan peminat setianya.
Namun, apakah kaitannya 'Ombak Rindu' untuk di ulas dalam entri ini? 'Ombak Rindu' yang tanpa title haram ini telah pun terjual dengan panasnya. Malah dengan klasifikasi U (umum), filem 2 jam ini menjadi tatapan khalayak penonton dari dalam perut sampai tua kerepot. Isunya, kenapa adegan-adegan yang jelas tidak penting dan haram dilakonkan (bagi pelakon) atau ditonton (bagi penonton)dibiarkan menjadi tayangan umum termasuk kanak-kanak kecil. Saya memang jarang menonton cerita melayu, adakah filem-filem melayu memang begini sifat semula jadinya, menampilkan ketimuran dari sudut keharaman? Ah, novel ini memang novel cinta, tapi perlukah untuk menampilkan adegan cinta keterlaluan dan pemakaian pelakon yang sama sekali mengundang nafsu syahwat. Filem ini mampu saya berikan 10 bintang andai tatacara pemakaian di beri perhatian dan babak-babak dalam kelambu sekadar diganti suasana senja yang indah.
Akui saya menuntut sedikit ilmu penulisan daripada Faisal Tehrani, beliau pernah menyebut tentang teknik cerita barat yang menitik beratkan 'bekas' dan teknik cerita islami yang menitik beratkan 'isi'. Jujurnya, saya akui 'Ombak Rindu' hampir sempurna 'bekas'nya walau bengkok dan kemek di sini-sana tapi pastinya mampu menadah 'isi'. Namun, dari sudut 'isi'. Memang ini bukan karya islami, mengapa perlu di cari 'isi' wahai amalina. Saya mengeluh sendiri. Filem hollywood barat Harry Potter yang mengagung-agungkan 'bekas' itu (malah sesat dengan ilmu-ilmu hitam) juga cuba memberi 'isi' agar kisah itu brmakna. Namun, saya tidak bertemu 'isi' dalam filem ini. Ini membuatka saya mengimbau novel 'Ombak Rindu' sendiri, sungguh genre novel cinta popular sememangnya miskin 'isi'. Itulah sebabnya mengapa begitu mudah khalayak pembaca beralih kepada novel cinta islami popular.
Seoran teman bertanya pendapat saya, dari 5 bintang, berapa bintang yang akan saya berikan kepada filem 'Ombak Rindu' ini, saya terdiam lama, teknik sinematografi, jalan cerita, set pengambaran, segalanya buat saya mahu menyebut 5 bintang tapi dari sudut kostum, lakonan dan isi cerita. Saya merenung teman saya dan dengan yakin saya ucapkan, 'aku tak galakkan untuk orang lain menonton filem ini'.
p/s - penapisan filem adalah dari pihak FINAS? betulkan JAKIM memang tidak ada kuasa? seperti mana KDN yang akan mewartakan pengharaman buku yang disarankan JAKIM, rasanya JAKIM perlu lebih kritikal dalam memastikan filem-filem dan hasilan-hasilan media menepati syarak. Bagi saya bukan isunya 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' perlu haram atau tidak, jika benar sesatnya, haramkan saja. Isu yang lebih kritikal ialah begitu banyak yang jelas haramnya tapi di pandang sebelah mata oleh ramai pihak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Assalamualaikum.
Entri yang sangat menarik. Terima kasih atas makluman ini. Dan mohon untuk dikongsi intinya kepada rakan-rakan.
Terima kasih
silakan..
terima kasih kerana sudi membaca saudara Fathul Khair...
saya sudah lama tidak menulis, seperti berkarat juga apa yang dikarang...=)
yup, rasa aneh bila orang ramai membangga-banggakan ombak rindu. bila saya tengok sendiri, rasa kehidupan mereka hanyalah berputar sekitar untuk mencari cinta manusia, sedangkan dalam hidup ini cinta hakiki adalah cinta kepada allah
dan sepertinya ada banyak lagi kerja kita selain daripada melayan perasaan
Post a Comment