Pages

Thursday, February 14, 2013

Kekasih



Cinta sering disalah ertikan. Maka cinta perlu diertikan. Hanya kerana tidak mengerti tentang cinta, jangan semua kekasih menjadi mangsa.

Pasti cinta bukan sekadar mengenang hari kekasih tapi dinamakan hari kekasih kerana wujudnya makhluk bernama cinta. Maka adakah salah untuk meraikannya kerana wujudnya cinta yang kembang mekar di dalam jiwa?

Mengulang kisah Qaisy yang gila dan Laila yang derita kerana mereka menanggung rasa cinta yang membara. Bukan mahu membuka hikayat. Namun kisah cinta agung karangan sufi ini membawa nilai tersendiri. Betapa cinta adalah ujian yang begitu menduga kerana di dalamnya terkandung nafsu dan percaya.

Silap aturan kepercayaan bisa dirobek nafsu yang bermaharajale. Sehingga menyangka ada penyatuan abadi dengan bertindak ‘kamikaze’bagai penyelesaian cinta dua darjat Romeo dan Juliet. Lebih derita bila kepercayaan terus musnah bila cinta hanya sekadar terkandung nafsu semata.

Maka mengertilah yang diperangi adalah nafsu yang membelenggu cinta. Bukan rasa percaya yang mengawalnya. Jika jauh di sudut jiwa, ada kepercayaan yang begitu padu berupaya mengawal hawa nafsu, silakan sahaja untuk bercinta. Tapi jika nafsu lebih terpercaya, maka hati-hatilah bermain cinta kerana bakarannya mampu melebur apa saja.

Sekadar menawar perbezaan, bahawa cinta itu bukan sekadar dua gender berlawanan. Bukan sekadar terukir antara Qaisy dan Laila atau Romeo dan Juliet. Kisah cinta yang melatari kehidupan sahabat zaman anbiya memberi teladan bahawa manusia yang beragama itu hidupnya adalah cinta. Sehingga mereka percaya untuk mengorbankan apa sahaja demi rasa cinta yang telah disemai dalam jiwa.

Mencontohi para sahabat yang saling bercinta, kami raikan hari kekasih ini. Bukan mahu menyokong sambutan mengenang valentine, tapi mengerti bahawa sahabat adalah kekasih yang perlu untuk diraikan. Serta cinta perlu diertikan!

kisah laila majnun di sini

0 comments: