Keberanian sebenar adalah meneruskan impian biar tiada sesiapa yang mempercayainya akan berhasil. Itu kata-kata yang tertulis setelah kisah Barbie and the Three Musketeer tamat. Ya, kisah di mana gadis ingin menjadi pahlawan. Barbie kisah kanak-kanak itu mengambil latar sebuah kerajaan sepeti dalam kisah dongeng kayangan. Rasanya untuk seorang perempuan menjadi pahlawan adalah satu yang hampir mustahil. Ah, jujurnya saya tidak menonton dari mula namun kisah untuk kanak-kanak sekolah rendah itu pasti dapat ditelah mudah orang dewasa seperti saya. Apa yang pasti kisah itu memberikan pengajaran kepada penonton untuk mengejar impian dan cita-cita biar apa jua yang berlaku.
Kemudian saya menonton pula DVD yang baru saya beli; Rondo:Onna No Ichidaki. Filem Jepun yang mengisahkan biografi angkasawan wanita pertama Jepun. Ya, sebuah lagi kisah mengejar impian. Ternyata ia bukan kerja mudah. Seorang wanita yang tinggi cita-cita dan bermotivasi untuk mencapai apa yang tidak terfikir oleh wanita pada zaman itu. Menghilangkan prejudis oleh masyarakat terhadap perbezaan jantina dan keupayaan wanita.
Ia buat saya terfikir, apa yang patut saya lakukan? Bagaimana untuk saya mencari impian dan mengejarnya? Apa yang pasti baik lelaki mahupun wanita, tiada apa yang berbeza dan mustahil zaman ini.
Adik-adik yang bakal menamatkan zaman sekolah menengah dan melangkah ke alam pengajian tinggi. Saat ini memang kritikal, barangkali ia bukan penentu masa depan kalian namun ia hampir menjadi titik penamat pemilihan arah hidup kalian. Ya, membuat pilihan saat ini bakal memberikan jalan hidup yang berbeza bagi setiap individu.
Maka mengenal pasti impian adalah sesuatu yang saya kira amat penting. Namun, berapa ramai yang tidak tahu apakah impian mereka dan masih meraguinya?
Ya, bagi yang sudah yakin mempunyai impian untuk dicapai saya meminta untuk anda memegang kata-kata Barbie seperti di atas. Usahalah dengan apa cara sekalipun untuk merealisasikan impian anda. Jangan mudah putus asa dan jangan merasa lemah dengan ketidak percaya manusia kepada anda. Impian anda adalah anda penentunya. Saya juga yakin, dalam mengejar impian bukan hasil yang menjadi tujuan utama tapi sebanyak dan sejauh mana yang sanggup dan telah kita lakukan demi memperolehnya adalah kepuasan sebenar dalam mengejar impian. Ya, tentu hasil adalah matlamatnya namun perjalanan menujunya pasti lebih bermakna.
Namun bagi yang masih tercari-cari impian dan cita-cita, bertenanglah. Gembirakan hati anda kerana anda punya terlalu banyak pilihan kini dan tanpa sekatan dan ragu anda bisa untuk memilih. Ambillah masa sebanyaknya untuk membuat pilihan kerana anda masih muda untuk membuat sebarang keputusan. Apa yang pasti anda hanya perlu tahu, biar apa jua pilihan anda, sesuatu yang paling penting untuk anda kutip sepanjang anda memikir, menimbang dan mencipta pemilihan adalah ilmu. Biar apa pun impian anda, ilmu yang anda peroleh sepanjang perjalanan hidup anda pasti ada maknanya. Maka, jika anda tidak masih tidak punya pilihan. Teruskan mencari ilmu kerana saya yakin untuk membuat sebarang keputusan juga kita memerlukan ilmu. Apa jua ilmu, anda tidak perlu terlalu memilih saat ini. Apa yang mudah dan bermanfaat, saya kira itu yang perlu anda pilih.
Mengejar impian bukan mudah. Malah impian itu juga bukan semudah itu untuk dicipta. Namun, dengan menciptanya anda akan merasakan kehidupan ini bermakna. Demi mencapainya anda mengeluarkan segala usaha dan upaya. Bagi saya anda sudah menghargai kehidupan dengan cara sebegitu.
0 comments:
Post a Comment