Pages

Sunday, December 20, 2009

Cuti yang bakal berakhir



Saya merasakan masa berlalu begitu pantas. Enam minggu cuti semester bakal berakhir. Tirai cuti saya bakal berlabuh dengan melibatkan diri sebagai jawatankuasa untuk Program Menara Gading di UNISEL. Perkara yang tak mungkin saya lakukan pada hari-hari terakhir percutian saya. Ya, saya memang terpaksa. Namun saya positif dengan pemaksaan ini. Barangkali saya perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan pada masa depan.


Cuti kali ini saya akui masih banyak saya habiskan dengan ‘tilam dan televisi’. Ya, itulah makna cuti saya yang sebenar. Saya merasakan ia waktu rehat untuk saya tidak perlu memikirkan urusan-urusan yang penuh dengan tanggungjawab dan tarikh luput. Ya, selama mana masa untuk saya ada lagi untuk menikmati cuti sebegini. Bila mengenangkan saya bakal kehilangan detik-detik ‘percutian’ yang sungguh mendamaikan ini, isu perkahwinan dan pekerjaan adalah dua perkara yang tidak mahu saya bayangkan. Namun selama mana saya mahu bertahan hidup tanpa tanggungan dan tanggungjawab ini? Jelas sekali manusia ini diciptakan dengan tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Kahalifah dan hamba.


Walaubagaimanapun, inilah rasanya cuti yang paling banyak aktiviti yang saya lakukan. Barangkali sebab utama duit biasiswa yang baru masuk yang menyebabkan saya tidak perlu begitu khuatir soal kewangan. Lainnya saya merasa sedikit bosan terperap di rumah tanpa sambungan internet dan televisyen dengan gambar yang tidak jelas. Tapi, apa yang pasti banyak peluang yang terbuka untuk saya lebih aktif. Mudahnya mungkin sudah takdir Tuhan.


Walauapapun cuti hampir berakhir. Saya perlu bersedia berdepan tekanan dan cabaran minggu-minggu pengajian yang pastinya menuntut tumpuan dan pengorbanan. Saya bertekad untuk jalani semester kali ini dengan lebih tekun dan bersemangat. Ya, saya bakal memasuki tahun 2 pengajian ijazah sarjana muda dan berada di tahun tiga kehidupan sebagai mahasiswa. Saya merasakan saya perlu lebih matang untuk menjadi lebih bertanggungjawab .


Bila cuti berakhir. Tanggungjawab saya bakal bermula. Sungguh, saya memang tidak begitu tahan berdepan tanggungjawab yang berat. Namun saya perlu akui betapa saya perlu memikulnya dengan lebih bertanggungjawab!!!


0 comments: