Hijrah. Ia menjadi titik permulaan kalendar Islam. Ya, Awal Muharram dan Maal Hijrah adalah sama, namun ia tidak serupa. Ya, ia mungkin ada perkaitan.
Hijrah adalah perpindahan. Ada sebuah hadis yang masyhur tentang hijrah. Saya tidak mengingati keseluruhan matannya namun isinya menjelaskan betapa kita akan mendapat apa yang kita hijrahkan. Jika berhijrah kerana wanita, maka wanita yang akan diperoleh. Jika berhijran kerana dunia, maka dunia yang akan diperoleh. Sebaik-baik hijrah adalah kerana Allah.
Hijrah, kita sering menjadikannya simbolik pada perubahan dalam diri individu walau definisi sebenarnya adalah perpindahan antara dua tempat. Saya kira ia bukanlah sesuatu yang utama untuk diperbincangkan kerana indahnya manusia adalah ia mampu menafsir sesuatu menjadi lebih bermakna. Maka penafsiran hijrah sebagai perubahan dalaman diri insan adalah lebih bermakna daripada sekadar perpindahan secara fizikal.
Baiklah, saya memilih untuk berbicara soal hijrah dari sudut perubahan dalaman diri insan. Hakikinya ia sama sekali sukar. Malah kadang-kala mustahil. Namun ada ayat al-Quran yang menyebut tentang Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya. Ya, perubahan hanya berlaku dengan kehendak diri sendiri.
Bagaimana? Manusia terlalu ego dan angkuh untuk berubah. Adakala kita terlalu takut dan bimbang untuk melakukannya. Ya, untuk berpindah kediaman pun kita akan merasa sukar. Kita akan resah memikirkan kediaman yang baru. Bolehkah kita menyesuaikan diri? Adakah ia selesa? Persoalan demi persoalan meragui diri kita. Ya, jika kita tidak benar-benar terpaksa, pasti kita tidak akan melakukan perpindahan itu. Maka untuk melakukan hijrah, lebih-lebih lagi dalam diri keperluan kepada sesuatu daya untuk memaksa hijrah atau perubahan itu berlaku adalah perlu.
Soalnya di sini bagaimana untuk mendapatkan ‘daya pemaksa’ itu? Saya sendiri masih tercari-cari solusi bagi persoalan ini. Namun, untuk jangka masa pendek saya percaya pada kuasa motivasi. Motivasi, secara mudahnya kita akan memahami dengan menyebut tentang kursus atau ceramah motivasi. Ramai dikalangan kita yang percaya menghadiri ceramah motivasi hanya akan memberi kesan motivasi yang singkat dalam diri. Saya yakin 100%. Maka ramai yang beranggapan menghadirinya adalah sia-sia. Saya pernah berfikir demikian. Namun, kewujudan kursus-kursus motivasi serta kelahiran ramainya pakar-pakar motivasi yang semakin bertambah dari sehari ke sehari membuat kita tertanya-tanya. Adakah ianya berkesan?
Saya sering menghadiri majlis taklim atau usrah. Tujuan utama majlis ini diadakan sebagai satu medium untuk kita saling ingat-memperingati. Ya, secara hakikinya ia umpama satu slot motivasi. Ianya diadakan secara berterusan setiap minggu. Berterusan, ia adalah istiqamah. Ia buat saya terfikir perkaitannya dengan motivasi tadi.
Ya, ia mungkin hanya berkekalan untuk jangka masa tertentu jika kita menghadiri satu sesi motivasi sahaja. Tapi jika anda melaluinya sepanjang waktu, berterusan, istiqamah. Saya percaya ‘daya pemaksa’ yang anda perlukan itu tidak akan pernah luntur dan meninggalkan anda.
Mudahnya inti perbincangan ini adalah istiqamah. Ada hadis yang menyebut ibadah yang paling baik dilakukan adalah secara berterusan walaupun sedikit. Ya, motivasi yang berkesan tidak perlu sebegitu panjang, sesi ringkas tapi sentiasa itu yang akan menetapkan hati dn matlamat kita. Maka perubahan yang ingin kita lakukan tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana ia sentasa dibakar agar baranya tidak sesekali padam. Percayalah api yang marak terbakar lama-kelamaan akan hanya menjadi arang yang dingin namun jika ia terus disiram minyak, ia akan terus menghangat.
Itulah cara penghijrahan. Ia tidak berlaku sekelip mata. Ia perlu proses yang menuntut pemupukan jiwa agar sentiasa berdepan ‘daya pemaksa’ tadi sehingga ia menjadi biasa. Ia tidak mudah, tapi tidak juga sukar kerana apa yang penting kita ingin melakukan hijrah itu.
0 comments:
Post a Comment