Antara sebab saya mahu menyertai program ini adalah kerana ia diadakan di UNISEL. Saya tidak pernah menjejakkan kaki ke sana, maka ini adalah peluang yang tidak wajar dipersiakan.
Seperti yang diduga, perjalanan ke UNISEL memang agak jauh. Rasanya hampir dua jam juga masa yang diambil. Berhimpit empat orang di tempat duduk belakang lebih-lebih lagi menduga kesabaran. Namun kami tiba tepat pada waktu yang dirancang, Alhamdulillah. Terima kasih tidak terhingga kepada Abang Baith yang sudi memandu dan menunjuk arah perjalanan kami hingga kami dapat tiba dengan selamat.
Tugas saya sebagai jawatankuasa Pendaftaran, Protokol dan Kaderisasi tidak banyak berinteraksi dengan adik-adik para peserta maka saya agak tidak mengetahui apa yang berlaku dikalangan peserta namun banyak ilmu yang dapat saya timba dalam pengurusan majlis formal serta dokumentasi.
Malam pertama kami perlu menguruskan majlis perasmian. Saya ditugaskan untuk menguruskan bahagian tetamu kehormat. Agak gementar juga kerana ini kali pertama rasanya saya diberi tugasan sebegini. Tapi saya buangkan segala keraguan dan berazam untuk lakukan yang terbaik dengan teman-teman yang kebanyakan baru saya kenali, namun kami semua seakan punya ‘chemistry’ apabila dapat berkomunikasi dengan begitu baik.
Namun ia tidak semudah yang diharapkan. Kami menerima tetamu yang tidak kami tahu diundang. Barisan majlis perwakilan pelajar UNISEL. Kehadiran mereka menjadikan suasana agak sedikit tertekan. Walaubagaimanapun mereka memahami situasi kami dan berlapang dada dengan situasi yang berlaku. Setelah itu tetamu utama yang bakal merasmikan acara tiba agak lewat, dan sebaik saja tiba beliau terus meluru ke dewan acara tanpa kami sempat bersiap sedia, barangkali kerana menyedari kelewatan beliau dan memikirkan pihak pengajur yang sudah agak lama menanti. Maka protokol majlis yang dirancang seakan tidak terjadi sama sekali namun majlis berjalan lancar. Bersyukur juga jemputan yang hadir tidak begitu peduli soal protokol dan sebaginya. Bagi saya inilah yang sering kita perkatakan, manusia hanya mampu merancang, Tuhan juga yang menentukan. Walaubagaimanapun, persediaan yang rapi untuk berdepan dengan apa jua situasi adalah perlu dan ia menunjukkan profesionalisme kita dalam bekerja.
Dua hari kami habiskan dengan mengemaskini maklumat peserta dan urusetia, menyiapkan sijil serta merancang perjalanan majlis penutup. Kerjasama berkumpulan yang kuat dan gerak kerja yang efisien menjadi tugasan berlangsung lancar dan baik. Biarpun masih berlaku kekurangan dan kesilapan, saya merasakan kami semua telah melakukan yang terbaik dan semampu mungkin. Terkenang ketua biro kami yang dengan nada bergurau mahukan ‘team’ yang sama di bawahnya pada masa akan datang. Saya dengan nada bergurau juga menyangkal beliau dengan mengatakan ‘macamlah kami mahu’. Namun jauh disudut hati kumpulan yang kami ada ini memang dapat bergerak dan melaksanakan tugasan dengan begitu baik dan kumpulan seperti ini yang saya turut mahukan dalam melaksanakan apa juga gerak kerja. Masing-masing ada kekuatan dan kelemahan serta saling tolong-menolong dan lengkap-melengkapi. Bagi saya inilah ilmu yang paling bermanfaat yang dapat saya perolehi. Konsep taaruf dan persaudaraan yang diamalkan saya kira paling dapat menyatukan hati kami dalam melancarkan urusan.
Namun di hari terakhir sebelum majlis penutup berlangsung kami diuji lagi. Lif yang digunakan tiba-tiba rosak. 2 jawatankuasa makanan terperangkap, namun berhasil keluar tidak lama kemudian. Isunya ialah tetamu kehormat yang bakal menghadiri majlis penutup perlu menaiki tangga ke tingkat 3. Benar, dalam melaksanakan sesebuah program kita perlu sentiasa tenang dan bersedia serta bijak dalam berdepan apa jua situasi. Alhamdulillah, tetamu terpaksa juga diiring menaiki tangga. Majlis penutup bermula.
Saya pulang awal dan tidak dapat sama-sama menghadiri majlis penutup. Walaubagaimanapun apa yang berlaku sepanjang PMG 10 bakal menjadi kenangan manis yang terlipat dalam secebis memori saya. Saya masih berkira-kira untuk aktif di dalam PEPIAS namun jika diminta memberi sumbangan dan jika diberi Tuhan kudrat dan kemampuan saya tidak teragak-agak untuk memberi.
Akhir kata terima kasih kepada sahabat-sahabat PEPIAS yang sudi menerima kehadiran saya dengan hati terbuka dan banyak memberi saya ilmu dan tunjuk ajar sepanjang perkenalan kita. Semoga ukhuwwah yang terbina kekal berpanjangan.
0 comments:
Post a Comment