Nur Kasih akhirnya tamat. Drama ini memang menarik. Saya akui saya tidak menonton setiap episod namun bila saya terbuka televisyen Jumaat malam dan rancangan ini sedang disiarkan, saya tidak bisa menukar saluran. Ternyata drama ini ada auranya yang tersendiri.
Saya tidak menonton episod pertamanya, tapi ia mempunyai penamat yang boleh tahan menyentuh perasaan. Seperti biasa drama hebat ini turut memilih pengakhiran yang bahagia. Itu yang sepatutnya bagi sesebuah cerita. Siapa yang berpuas hati menonton drama yang berakhir dengan derita. Walau saya akui banyaknya kisah-kisah cinta hebat tidak berakhir dengan penyatuan, namun perpisahan kadang-kala adalah pengakhiran yang bermakna juga.
Walauapapun, banyak yang dapat diperoleh dari karya Kabir Bhatia ini. Saya merasakan untuk menulis sedikit pemerhatian yang saya lakukan bagi mengenal pasti mengapa drama ini dapat menarik perhatian khalayak masyarakat. Jujurnya saya mencari alasan bagaimana ia mampu mencuri hati saya. Walaupun ia tidak membuatkan saya menjadi penonton setia, namun, saya terpaksa akui ia sebuah drama yang baik.
Pertama, saya menyentuh dari sudut teknikal. Pencahayaan dan sudut pandang kamera yang unik memberikan setiap babak begitu berkesan. Bagi saya teknik yang digunakan Kabir Bhatia dalam drama ini jarang diperoleh dalam drama-drama Melayu lain. Ia menjadikan drama ini berbeza, dan saya merasa ia sangat memberikan kesan kepada penonton seperti saya.
Kedua, pembawakan watak. Saya tidak tahu bagaimana seorang pelakon itu benar-benar dapat menghayati watak yang dibawa. Namun, saya merasakan pengarah sangat mengambil berat tentang emosi yang dibawa setiap pelakon agar ia benar-benar sampai kepada penonton. Ia banyak memainkan air wajah persis seperti drama Korea atau mungkin juga Hindustan. Bukan saya mahu menafikan drama Melayu jarang menitikberatkan aspek ini, namun, saya seakan sukar untuk menyelami apa yang dirasai oleh pelakon hanya melalui air muka atau ‘body language’ yang dipaparkan. Saya dapat merasakan ia sesuatu yang sukar untuk setiap pelakon melakukannya, maka saya merasakan aspek penelitian adalah begitu penting. Selain daripada perwatakan yang jelas bagi setiap watak.
Ketiga, latar. Ya, kisah ini mengambil latar hampir di seluruh dunia. Dari kampung ke bandar, Australia, Timur Tengah dan Asia Tengah. Saya sempat berbual dengan seorang teman yang turut berkongsi minat terhadap drama ini betapa beruntung Remy Ishak dapat merantau ke semua lokasi, beruntung berbanding Tiz Zaqyah yang membawa watak Nur. Baiklah, itu bukan soalnya. Apa yang ingin saya perjelaskan di sini betapa penting latar itu bagi sesebuah cerita. Latar kampung dengan sawah padi yang hijau yang indah hingga ke sudut ruang kamar pelajar yang sempit adalah sesuatu yang perlu dititikberat. Biar ia hanya ruang membasuh pinggan, setiap latar menjadi begitu signifikan, bagi saya ia menjadikan drama ini begitu bermakna.
Keempat, jalan cerita. Skrip, lakon layar. Bagi saya inilah aspek utama sesebuah cerita. Ia umpama inti. Jika ia enak maka cerita itu pastinya laku dipasaran. Namun, aspek-aspek lain seperti di atas umpama kulit, jika ia hodoh dan tidak menarik, inti yang enak itu tidak mungkin dapat sampai ke lidah khalayak masyarakat. Maka setelah kulit yang cantik itu saya kupas, maka inti pula akan saya terjemahkan.
Kisah ini secara umumnya sebuah jalan cerita yang klise. Anak yang nakal, dipaksa kahwin. Seorang isteri menderita dengan sebuah perkahwinan namun setia mencintai si suami. Namun, atas sebab-sebab tertentu mereka akhirnya bersatu dan berharap kebahagiaan milik mereka. Tetapi, bahagia bukan sesuatu yang mudah, banyak rintangan dan dugaan yang perlu ditempuh. Walaubagaimanapun, kebahagiaan tetap milik mereka kerana itu yang diingini setiap orang. ‘Happy ending story’. Jalan cerita begini bagi saya sudah teruji dipasaran. Ia adalah kegemaran kebanyakan masyarakat. Ia mengisi novel-novel cinta yang popular juga beberapa drama menarik sebelum ini. Maka, saya lebih merasakan ‘kulit’nya adalah faktor utama drama ini mampu mengikat hati penonton.
Namun, saya merasakan aspek spiritual yang dibawa adalah sesuatu yang turut bermakna. Faisal Tehrani sering berkata, karya yang hebat adalah karya yang membawa tema politik, falsafah dan agama. Hanya tiga persoalan ini yang mampu mengangkat sesebuah karya itu. Dalam Nur Kasih, saya tidak dapat menafikan agama menjadi persoalan utama perjalanan cerita ini. Dalam kemelut perhubungan antara Nur dan Adam, nilai-nilai murni dan Islami diangkat menghiasi drama ini sehingga ia mampu menimbulkan keinsafan dikalangan penonton.Ya, saya merasakan ada benarnya bicara Faisal Tehrani, walau saya meragui beliau akan mengakui Nur Kasih sebuah karya yang serius mengangkat tema agama. Namun, memasukkan persoalan agama dalam sesebuah cerita menjadikan sesebuah kisah itu seakan peribadi. Seakan kita mahu memiliki nilai-nilai yang dipaparkan walaupun kita bukanlah seorang yang suka beribadah, kerana kita merasa dekat dan apa yang pasti kita percaya.
Nur Kasih, saya tidak tahu berapa banyak usaha yang dicurahkan dalam pembikinannya. Namun, jika usaha-usaha serta ilmu-ilmu yang sebegini digunakan dalam penghasilan sesebuah drama atau filem, kita bukan saja tidak perlu bimbang akan kualiti karya tempatan malah keuntungan yang diharapkan juga bakal milik kita. Saya tidak mengatakan Nur Kasih adalah baik seluruhnya, namun saya percaya kita cuma perlu menjadi diri kita dengan nilai-nilai indah yang di ajar agama dan nenek moyang, kita mampu menawan hati dunia untuk mengagumi karya kita.
2 comments:
wow sangat teruja dengan komen anda..sgt berinfomatif...
Baguslah komen awak..
Post a Comment