Selagi kehidupan berlaku, selagi itu wujud pilihan. Hanya kematian satu ketentuan dan kita hilang hak untuk membuat sebarang keputusan. Kadang-kala bila berdepan pilihan, kerunsingan melanda fikiran dan kita berbicara sendiri andai saja kita tidak perlu untuk memilih. Namun, bila kita tidak punya pilihan, kita merasakan pupusnya keadilan dan ia sesuatu yang tidak wajar. Maka saya menemui satu kesimpulan, fitrah manusia adalah resah dengan pilihan yang ditimbulkan sendiri. Kerana kita menginginkannya.
Dalam tempoh kurang sebulan, sudah dua kali saya diajak teman-teman untuk ke Sunway Pyramid. Saya tidak pasti sejak bila kompleks membeli-belah itu wujud, tapi saya mengenali sebagai tempat rekreasi luncur ais yang popular. Namun, baru tahun ini saya sempat melihatnya. Sebuah bangunan yang dibina dengan ciri-ciri Mesir. Piramid dan simbol-simbol yang seumpamanya. Pertama kali melihat saya merasa kagum sekali, seakan tidak percaya melihat reka bentuknya. Walaupun begitu hati saya seperti ditusuk. Bagaimana sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan begitu mudah meluluskan sebuah binaan serupa rumah berhala sebagai kunjungan umum? Ya, kod tatacara pemakaian yang umum juga sukar untuk dituruti, mana mungkin negara demokrasi ini terfikir tentang kod seni bina dan reka bentuk.
Sehingga itu saya membuat keputusan untuk tidak akan mengunjunginya. Sekaligus memadam hasrat untuk mencuba sukan luncur ais. Tapi, saya jadi goyah juga bila diajak berkali-kali kerana saya memang teringin untuk cuba meluncur di atas ais walau saya sedar saya hanya akan jatuh berkali-kali. Sebelum saya menulis entri ini, saya terfikir mengapa saya menahan diri untuk memasuki bangunan itu? Sedangkan saya yakin dan tanpa ragu saya akan melawat mana-mana rumah ibadah di seluruh dunia jika punya peluang. Saya juga telah menjejakkan kaki sebuah gereja dalam usaha memahami agama Kristian. Tapi itu soal lain. Apa yang pasti saya memang seorang pengagum seni bina dan reka bentuk. Angkor Wat antara banyaknya rumah ibadah zaman lampau yang ingin saya kunjungi. Malah ketika menonton rancangan National Geographic tentang pemusnahan patung Buddha oleh Taliban di Afghanistan terdetik di hati saya betapa sebuah warisan zaman lampau akan hilang dan musnah begitu saja. Namun, saya sedar walau saya masih tidak pasti hukum sebenarnya, patung Buddha itu adalah lambang bagi mensyirikkan Allah maka wujud kewajaran untuk menghapuskannya. Barangkali tinggalan Ayah Pin yang dimusnahkan pihak berkuasa boleh dijadikan bandingan.
Banyak pula saya berbicara, soalnya saya telah mencipta pilihan dan setakat ini saya memilih untuk tidak memenuhi ajakan teman-teman saya itu. Walau saya memang mengharap saya tidak perlu untuk memilih.
0 comments:
Post a Comment