Akhirnya semester ketiga saya dalam program ijazah sarjana muda ini bermula. Tahun kedua. Ini bermakna saya ada tiga tahun lagi untuk menyandang gelaran mahasiswa. Bila difikirkan tempoh itu memang panjang, namun bila mengenangkan banyaknya yang ingin saya lakukan saya merasakan waktu yang ada seakan tidak mencukupi.
Awal semester. Ahad. Saya bergegas pulang dari UNISEL tanpa menghadiri majlis penutup PMG 10 semata-mata untuk mendaftar kolej dan mengambil kunci. Namun setelah mendaftar kunci bilik saya tidak ditemui. Malah yang ‘spare’ pun tak ada. Memang aneh, namun saya hanya memerhatikan saja pekerja-pekerja pejabat itu dalam keanehan. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menukar tombol pintu baru. Saya tidak menanti dan terus pulang kerumah dan berpesan akan mengambil kunci itu esok hari.
Angkara kunci, mesyuarat yang dirancang malam tadi tidak dapat saya hadir. Saya kira sudah ada muktamad untuk induksi pada hujung minggu ini. Rasa bersalah memang tak dapat dibendung namun saya sedar saya hanya manusia biasa yang tak mampu lepas dari melakukan kesalahan demi kesalahan. Moga saya dimaafkan oleh manusia dan juga Tuhan atas kelemahan diri saya ini.
Awal semester, seperti yang diduga masalah pendaftaran kursus terus mengganggu perasaan. Ada saja subjek yang bertindih dan sebagainya. Ya, barangkali inilah ujian. Jika dugaan sekecil ini tidak mampu kita hadapi bagaimana untuk berdepan dugaan besar dalam perjuangan Islam?
Kelas pertama batal. Kelas kedua bermula jam 2 petang. Pengurusan Industri. Awal-awal lagi senarai tugasan dan projek diberi. Rasa sedikit terkejut namun terus menyedari hari-hari serius yang penuh tugasan sudah bermula dan saya wajar telah bersedia.
Hari ini baru hari pertama. Malam hampir tiba. Saya masih menyudahkan berkemas bilik. Malam ini akan mula menyusun jadual dan semoga esok akan lebih baik!
0 comments:
Post a Comment