Pages

Wednesday, April 29, 2009

Di Pesta Buku

Puas berlegar-legar di ruang-ruang jualan buku di tingkat bawah dan menghabiskan hampir separuh dari belanjawan yang telah saya peruntukan untuk pesta buku kali ini. Saya mula melangkah ke tangga elektrik yang akan membawa saya ke tingkat atas. Memasuki ruang jualan di tingkat atas, sekali lagi saya jadi rambang mata dengan puluhan ruang jualan sama ada dari penerbit-penerbit buku mahupun pengedar-pengedar buku.

Saya berlegar-legar seketika. Berkira-kira untuk sekali lagi mengeluarkan wang dan memiliki mana-mana bahan bacaan yang saya kira wajar. Namun, ‘target’ utama saya masih belum saya temui. Saya bimbang saya terlepas berbelanja sebelum buku yang sekian lama saya ingini diperoleh. Saya sedar ruang jualan penerbit itu berada ‘di luar’. Maka saya segera mencari pintu keluar, meloloskan diri dari ruang jualan yang luas tapi padat itu. Di luar dewan, saya terpinga-pinga memandang ke arah ‘luar’ yang cuba saya fahami.

Tiba-tiba saya terpandang lelaki itu yang berbaju melayu biru muda dan bersongkok. Barangkali baru selesai dari menunaikan solat Jumaat. Entah mengapa jantung saya berdegup kencang dan terasa wajah mulai panas. Saya meneguk liur dan melangkah perlahan menuju ruang jualan yang terletak betul-betul di luar dewan bersebelah dengan pintu masuk.

Saya cuba menenteramkan rasa yang bergelora dalam jiwa. Berlagak selamba dan memilih buku-buku yang tersedia. Sungguh, memang saya selalu mahu menemuinya sejak terpaut dengan penulisannya yang sering saya tatap sejak di bangku sekolah menengah dan pesta buku adalah medium untuk bertemu dengannya saban tahun. Walau hanya sekadar menghulurkan buku meminta tanda tangan. Namun, tahun ini keinginan saya untuk bertemu dengannya tidak sekuat mana. Malah sebahagian kecil hati saya tidak berharap untuk menemuinya. Namun, bagai ‘berjodoh’ kami bertemu jua. Setelah membayar harga buku yang saya beli di kaunter. Saya menanti juga giliran untuk memperoleh tandatangannya.

Tak banyak yang saya bicarakan, sekadar mengucapkan nama untuk dia tuliskan dan bertanya tentang salah satu bukunya yang sudah habis di ruang jualan. Selesai, saya pamit memberi ruang pada beberapa lagi anak muda yang sedang menanti giliran untuk menyapanya. Ah, termasuk kali ini, sudah tiga kali saya melakukan rutin yang serupa saban tahun di pesta buku. Kadang-kadang ada fikiran nakal saya bertanya, agaknya berapa tahun lagi untuk dia mengenali ‘peminat setianya’ ini. Namun, saya sedar ada beratus, mungkin beribu lagi peminatnya di luar sana. Dan saya hanya seorang ‘pengkagum kecil’.

Rasa debar surut, dan saya melangkah kembali ke pintu masuk dan kembali melawat ruang-ruang jualan satu-persatu. Peruntukan yang saya sediakan saya gunakan sebaiknya. Setahun sekali di pesta buku, barangkali juga setahun sekali untuk saya membeli-belah buku. Tawaran potongan harga dan promosi cukup berbaloi berbanding kedai buku biasa.

Hampir pukul lima baru saya selesai. Ketika melintasi ruang jualan di mana dia berada, saya sempat melemparkan pandangan ke arahnya yang kelihatan sibuk meladeni para peminatnya. Saya tersenyum sendiri dan melangkah pulang dengan hati yang puas.

Wednesday, April 22, 2009

Akhirnya....

Akhirnya semester ini berakhir dengan kertas kursus Oral Interaction Skills. Separuh hati saya merasa lega. Beban yang berat ditanggung sepanjang semester berakhir jua. Akhirnya tiba masa untuk merehatkan diri dan minda terutamanya.

Saya sama sekali tidak menyangka kertas terakhir ini umpama ‘reunion’ pelaja asasi generasi ketiga. Ramai sekali sahabat-sahabat dari asasi yang kebetulan mengambil kursus yang sama di tempat yang sama. Lantaran itu, nota yang di pegang terbiar tanpa tatapan, dan persembangan rancak jadi gantian. Ah, bertemu kawan lama kadang-kadang begitu mengasyikkan. Selain bertanya khabar, banyak sekali berita terbaru saling bertukar.

Seusai tamat peperiksaan, saya bersama beberapa sahabat mengambil kesempatan itu bersarapan beramai-ramai di kafe Mamak di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Keriangan selesai peperiksaan bergabung bersama kebahagian bertemu sahabat, memang sukar untuk diterjemahkan.

Sesekali terselit perbincangan soal KEJATI yang di’sabotaj’ Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Sungguh, rasa kecewa memang sukar untuk saya lenyapkan dari hati walau saya sendiri tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk ‘buah tangan pertama’ saya ini diluluskan lantaran banyaknya kes-kes sebelum ini yang menunjukkan bukti bahawa kelab kami sekadar ‘kambing hitam’ BHEP.

Namun, program yang telah dirancang sedari hujung semester lalu itu tetap diteruskan. Tentunya dengan belanjawan sendiri. Semoga Allah sentiasa memberikan pertolongan dan rahmatNya. Saya Cuma berharap diri saya terus istiqamah dengan tanggungjawab dan fikrah Islam. Saya bimbang niat yang tersemai bakal atau telah terpesong. Saya lebih-lebih lagi bimbang adakah keputusan kami ini adalah yang sewajarnya. Saya resah menanti tarikh terbabit menjelang. Berharap dan berdoa tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Bertawakal dan berserah dengan setiap ketentuanNya dan berusaha sedaya upaya dengan kudrat yang dikurniakanNya.

Program yang dilaksana sendiri pastinya memerlukan perbelanjaan yang jauh lebih rendah terutama peruntukan pengangkutan yang pastinya sangat tinggi. Tidak termasuk makanan, penginapan dan lainnya. Faktor keselamatan lebih-lebih lagi perlu ditekankan. Doa saya segalanya berjalan lancar dengan rahmat dan kasih-sayangNya.

Selesai tentang KEJATI yang akan berlangsung 26-28 April ini, saya berkira-kira aktiviti apa yang ingin saya lakukan sepanjang cuti semester hampir 10 minggu ini. Melihatkan baki duit di dalam akaun yang semakin menyusut, ingin sekali rasanya bekerja sambilan menambah duit poket di samping menimba pengalaman baru. Barangkali rancangan ini boleh dipertimbangkan.

Cuti kali ini juga rancangan untuk mengadakan perjumpaan semula generasi ketiga SARJANA. Sungguh teruja juga untuk bertemu kawan lama yang lebih kurang 5 tahun tidak bersua. Sementelah saya meninggalkan sekolah di kaki bukit itu seusai Penilaian Menengah Rendah (PMR) iaitu ketika berusia 15 tahun. Namun, banyak faktor-faktor lain yang perlu dipertimbangkan walaupun waktu yang dicadangkan masih dalam lingkungan cuti saya. Doanya tiada aral yang melintang kali ini.

Apalagi yang ingin dibicarakan? Sekian waktu bergelut dengan buku akademik memang gian untuk menulis. Harapan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya 6 buah cerpen tahun ini masih terbengkalai dengan tanpa satu pun yang selesai. Tengah hari tadi sempat meminjam 5 buah novel dari perpustakan universiti. Saya cuma mampu tersenyum sinis pada diri, mampukah menghabiskan novel-novel yang puratanya 300-400 muka surat itu dalam waktu kurang 2 minggu tempoh pinjaman. Tambahan pula esok saya akan ke Pesta Buku, menambah koleksi lagi. Pastinya buku yang lebih menarik yang saya beli nanti lebih saya dahulukan untuk tatapan. Biarlah, yang penting saya puas. Sekadar meminjam, tiada apa ruginya. Banyak saja buku-buku yang telah saya beli namun masih tidak habis ditelaah.

Untuk pesta buku esok, saya memperuntukan RM200 untuk membeli buku. Menyemak dari blog Faisal Tehrani, buku-buku beliau yang masih belum saya miliki saya kira tidak sampai RM 100 semuanya. Saya masih berkira-kira sama ada untuk membeli novel-novel karya Fatimah Syarha atau mungkin Hilal Asyraf penulis muda yang sebaya umur saya. Entahlah, selain novel Faisal Tehrani dan buku-buku berunsur ilmiah saya memang sangat berkira untuk membelanjakan wang demi membeli novel. Tidak berbaloi rasanya membeli jika membaca hanya sekali dan kemudian terbiar sepi berhabuk (Walau hakikatnya semua buku saya berhabuk kerana jarang diusik. Hanya kadang-kadang saja jadi tatapan bila muncul selera untuk membaca).

Biarlah, pasti ada buku yang menarik dan berbaloi untuk dimiliki esok. Sebut tentang cuti juga, rancangan untuk ke Langkawi bersama sahabat-sahabat terpaksa dibatalkan. Namun, keinginan untuk mendaki terasa begitu meluap-luap. Tak puas rasanya sekadar menjejak puncak angsi dalam program KEJATI nanti. Saya sudah berkira-kira untuk meninjau mana-mana hutan, bukit, gunung atau gua cuti nanti. Barangkali selepas bekerja mengumpul sedikit duit. Pastinya akan memujuk adik untuk menemani.

Oh ya, lesen memandu! Itu juga target saya cuti kali ini. Ah, saya rasa perlu merancang sebaiknya dan berbincang dengan keluarga apa yang patut didahulukan dan apa yang patut ditangguhkan. Apapun, harapan saya, cuti kali ini akan lebih bermakna dan memberi lebih banyak warna-warni ceria dalam hidup saya.

Saturday, April 18, 2009

Sedikit tentang diri waktu kini....

Lama sangat rasanya tak menulis. Macam-macam isu yang timbul. Namun, halangan utama adalah perkhidmatan jalur lebar yang bermasalah. Namun, hikmahnya, tumpuan yang penuh untuk peperiksaan dapat dilaksanakan. Maka terlebih dahulu dalam apa jua keadaan dan situasi, Alhamdulillah atas segala kurniaan Ilahi.


Musim peperiksaan sudah seminggu berlangsung. Masih berbaki tiga kertas pada minggu hadapan. Sungguh, harapan untuk memperoleh keputusan yang terbaik kadang-kala membuatkan kehidupan seakan begitu tertekan. Sungguh, saya masih terlalu sukar rasanya untuk berdepan kegagalan dalam bidang akademik. Doakan saya terus teguh mengulang kaji dan mengharapkan bantuan dan rahmat Allah.


Dalam masa yang sama, masalah program KEJATI masih juga belum selesai. Sungguh perjuangan apa yang akan dibentangi permaidani merah. Tanpa onak dan duri, itu bukan perjuangan. Saya redha dengan ujian yang terus menerus diberikan Tuhan. Pasti ada hikmah. Doa saya, saya akan terus kuat dan sesekali tidak akan menyerah kalah.


Keluarga. Saya rasa saya tidak berhak untuk menjustifikasi erti kebahagian. Sungguh, hidup takkan selamanya melalui jambatan yang teguh terbina, kadang-kala ada juga papan terjongket dan skru yang longgar. Namun, saya cuma berharap Tuhan akan sentiasa di sisi saya. Memberikan rasa bahagia walau hati terus terluka.


Saya rasa, ini sahaja kali ini. Saya perlu menyambung ulang kaji. Isnin ini ada kursus yang sukar menanti. Doakan saya beroleh kejayaan yang cemerlang demi menegakkan maruah agama Islam tercinta!!!

Wednesday, March 25, 2009

Menjelang terakhir....

Hampir semua tugasan sudah dihantar, pembentangan sudah tamat, ujian dan kuiz juga sudah hampir selesai semuanya....hanya menunggu peperiksaan akhir semester menjelang....


Tempoh 14 minggu pengajian semester pertama sudah hampir tiba dipenghujungnya, tinggal lagi dua minggu untuk minggu peperiksaan akhir yang berlangsung selama dua minggu untuk tiba. Ada rasa lega, bimbang, gembira, resah dan pelbagai lagi bercampur-baur. Lega dengan pengajian yang hampir selesai dan cuti panjang yang bakal menjelang. Bimbang dengan keputusan yang bakal diperoleh dalam semester pertama pengajian. Ah, perjalanan masih terlalu panjang untuk dimulakan dengan episod luka! Doa dan usaha akan terus digembleng demi menggapai impian dan cita-cita yang menggunung. Sungguh, saya pantang menyerah sebelum terbukti kalah!


Semester kali ini, banyak yang telah saya lalui. Antara pengalaman lalu dan pengajaran baru, saya semakin cuba memahami erti hidup yang sebenar. Dalam hempas pulas mendaki menuju puncak saya merasakan banyaknya pemandangan indah yang perlu dinikmati, henti sejenak dan memuji Pencipta atas anugerah yang tak ternilai harganya. Sungguh, tergelincir dan tersadung itu perkara biasa, tapi saya tak akan sesekali terduduk dan diam, sebaliknya terus bangkit dan menyambung perjalanan. Biar berkali khilaf dan silap, saya akan tegar mencari kebenaran. Doakan saya terus istiqamah....


Selepas ini, yang tinggal hanya program yang telah kami rancangkan sejak akhir semester lalu, doanya segalanya akan berjalan lancar. Saya sedar saya tidak menghulurkan usaha yang sepenuhnya untuk menjayakan program ini, sungguh saya masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan, saya sewajarnya melakukan lebih lagi. Namun, saya bersyukur dengan kudrat yang Tuhan kurniakan untuk saya melaksanakan tanggungjawab saya sebaiknya. Alhamdulillah. Semoga diberkati selalu.


Pesta buku juga hampir menjelang, Alhamdulillah, pinjaman baru saja diperoleh, boleh juga membeli-belah buku-buku, sudah lama rasanya menahan diri kerana tiada modal untuk berbelanja. Semoga perbelanjaan ini juga berada dalam rahmat Allah. Buku-buku Faisal Tehrani pastinya pilihan utama, saya sudah tak sabar sebenarnya mahu membaca Tunggu Teduh Dulu, novel yang sudah agak lama tetapi masih belum saya tatapi. Alhamdulillah juga dengan kemasukan duit pinjaman ini saya dapat membantu seorang sahabat baik saya yang masih belum selesai menjelaskan yuran pengajian. Sungguh, tak ada apa yang lemah menyenangkan dari membuang beban seorang sahabat. Sungguh, saya benar-benar bersyukur. Harap hidup saya akan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya. Dan yang sangat-sangat saya ingin adalah teguh mencintaiNya, satu-satuNya......


Mungkin saya tidak akan sempat untuk menulis dengan lebih kerap lagi memandangkan mahu membuat persediaan untuk peperiksaan akhir, dan komputer riba ini akan digunakan adik saya. Doakan kejayaan saya dalam peperiksaan akhir... Semoga Allah sentiasa bersama-sama saya dan anda semua...

Tuesday, March 24, 2009

secebis pengalaman....

Ada rasa kesal pada diri. Dalam himpitan waktu, saya mengabaikan untuk mencatat setiap yang perlu. Sungguh, banyak sekali yang ingin saya bicarakan, namun sering kali dikekang waktu. Atau, sebenarnya saya sendiri yang kurang pintar mempergunakan waktu? Hingga akhirnya saya sendiri tenggelam dalam waktu yang tidak cukup.


Banyak sekali yang saya lalui akhir-akhir ini, sayang juga tidak sempat didokumentasikan. Bermula sebagai ahli jawatankuasa sebuah program kebudayaan di kolej. Yang banyak memberi pengajaran dan keinsafan pada diri saya. Kadang-kala timbul rasa kekesalan, namun, seorang muslim itu tidak wajar untuk terus-terusan menyesali apa yang telah belaku tetapi memastikan ianya tidak berulang pada masa akan datang. Seperti selalu, saya terus berfikir positif, mencipta hikmah dan menyemat azam. Kadang-kala kita perlu kenal apa itu jahiliah sebelum mula untuk memeranginya. Saya memohon Tuhan sentiasa memelihara saya dalam melalui kemelut jahiliah yang begitu mencengkam yang banyak tidak sedari masyarakat umumnya.


Himpitan waktu sering meminta saya untuk memilih, berkorban dan membuat keputusan yang terbaik. Kadang-kala terasa kesal kerana tidak dapat meluangkan waktu yang lebih banyak untuk sesuatu perkara. Demi Tuhan, saya bimbang saya akan terus futur dalam himpitan waktu. Astaghfirullah, ampuni daku dan teguhkanlah daku di atas jalanMu......


Alhamdulillah, dalam sempit dan himpit waktu, saya berhasil untuk hadir ke Forum 'Memacu Kebangkitan Mahasiswa' yang dianjurkan oleh Ikatan Siswa Islam Serdang (ISIS) di Fakulti Sains, sabtu malam kelmarin. Walaupun penat sepanjang hari dengan program di Hospital Serdang, ternyata forum ini begitu menarik hingga penumpuan saya langsung tak berganjak dari mula hingga forum berakhir. Panel Prof Madya Dr. Mat Rofa dan Saudara Dzulkhairi memang gandingan yang sangat mantap. Sedikit sebanyak, saya jadi teruja untuk memacu diri dan menjadikan ilmuwan dan ulama silam sebagai idol dalam mengejar kejayaan dan mempertingkatkan diri.


Sebelum itu, siangnya di Hospital Serdang, saya dikagetkan dengan pertemuan dengan seorang sahabat lama yang baru melahirkan cahaya mata pertama. Saya hilang bicara, seorang sahabat yang saya kenali agak rapat sudah berkeluarga dalam usia kami yang sebaya dan saya masih dengan sikap tidak matang dan keanak-anakan. Sungguh, saya sama sekali tidak mengetahui tentang berita perkahwinannya, kini setelah hampir 5 tahun tidak bersua, saya menemuinya dalam suasana yang tidak terjangka. Walaupun agak terkilan kerana sama sekali tidak diberitahu tentang kisah perkahwinannya, tapi saya sedar, berkahwin dalam usia muda, pasti dia punya alasan sendiri. Dalam menghadapi kejutan itu, saya cuma bisa mengucapkan tahniah atas kehadiran cahaya matanya yang pertama. Anak lelaki, semoga kehadiran itu memberi keberkatan dan rahmat dalam kehidupannya sekeluarga.


Menghilangkan kejutan yang diterima, sampai sekarang saya terasa bagai bermimpi tidak percaya. Namun, sedang asyik memikirkannya, terselit pula sedetik rasa cemburu dalam jiwa. Cemburu padanya yang kini tenang dalam sebuah ikatan yang sah dan suci sedang saya masih perlu menahan ujian dan godaan bila hidup sendiri. Semoga Tuhan terus memelihara diri. Ingatan kadang-kadang mengimbau pada seorang sahabat yang pernah saya rapat. Mungkinkah jika saya terus bertahan dalam perhubungan, saya juga mungkin mengalami apa yang sahabat lama saya lalui kini. Saya sendiri tak pasti. Ya, yang pasti, saya masih belum pasti hingga kini. Ah, terlalu banyak yang ingin saya capai dan kecapi sebelum benar-benar bersedia memberi komitmen pada keluarga.


Walau apapun, saya sama sekali setuju dengan tindakannya. Biarpun ujian berkahwin dalam usia muda ternyata banyak. Tapi itu lebih afdhal dari bergelumang dengan dosa berhubung tanpa ikatan yang sah. Kesanggupan untuk memikul tanggungjawab yang besar bakal menjadikan manusia lebih matang dan serius untuk menghadapi kehidupan.


Sekadar itu setakat ini....doakan saya selalu berada pada jalan yang lurus dan petunjuk yang benar....

Wednesday, March 18, 2009

Saya Yang Dulu

Saya dah banyak berubah....
Dulu, saya seorang gadis pemalu, jangankan berbicara, untuk memandang lelaki yang bukan muhrim saja terasa begitu sukar....
Dulu, apabila melangkah saya akan menunduk, mata dijaga, langkah dijaga, tak mahu menjadi fitnah, umpat kata manusia...
Dulu, saya tak mampu untuk duduk dalam kumpulan bercampur pergaulan, saya tak bisa berkomunikasi apatah lagi menyelesaikan urusan dengan sebaiknya jika melibatkan berlainan jantina....
Dulu, saya sama sekali tidak selesa didekati lelaki, berbual apatahlagi diajak bergurau...
Sama sekali dahulu saya tidak biasa...
Jantung saya akan berdegup kencang,
Peluh mula memercik,
dan rasa gentar dan malu menebal dalam diri....
Itu bukan kerna jatuh cinta pertama kali, tapi kerna saya dahulu begitu terjaga diri hingga perkara sebegitu terasa amat menggusarkan...


Itu dulu...
Saya dah banyak berubah...
Sungguh, saya memang mahu berubah...
Sejak dulu, saya mahu jadi gadis berani..
Saya mahu jadi gadis yang hebat berdepan setiap cabaran...
tenang dan yakin ketika melangkah...
sungguh, saya gadis pintar, saya tak mahu diam sendiri...
Saya mahu dikagumi,
Saya juga ingin jadi gadis biasa...
Mudah didekati dan senang berbicara....
Banyak..banyak sekali yang ingin saya jadi...
Saya banyak berubah...


Memang saya telah berubah....
Namun saya sering digamit rindu...pada diri saya yang dulu...
Walau saya belum berubah sehingga mencapai semua yang saya ingini...
Saya seakan mahu kembali...
Menjadi diri saya yang lalu...


Sungguh, saya istimewa...
Dengan ketar dan debar seorang gadis...
mengapa mesti menjadi yang biasa-biasa sahaja?
Sungguh, saya perlu berubah...
namun, saya lebih-lebih lagi mesti kekal...
kekal sebagai diri sendiri....


Barangkali, saya perlu berhenti berubah..
Dan mulai, mempertingkatkan diri...
Agar, satu hari nanti saya akan jadi apa yang saya ingini dan saya masih diri saya yang dulu....

lme menyepi..

Align Centre

Sungguh, terasa lama sekali menyepi....
Sepi dari menitiskan tinta, menghasilkan madah, menggarap karya...
Ah, sepi sekali..hingga kerinduan menggamit...
namun, terasa buntu...
bentuk aksara apa yang mahu diukir?


Friday, March 6, 2009

Sebelah Kasut Itu

Sebelah kasut itu
Warnanya hitam
Ada lumpur melekat
Dan tampak lusuh sekali


Ia milik seorang jeneral
Yang syahid tanpa senjata
Terkorban diri dibedil dari udara
Saat meminta yang lainnya menyelamatkan diri


Tanpa gentar
Dia rela tubuhnya musnah
Lalu dagingnya bertabur
Dan tulangnya hancur


Biar jagat merasai
Biar semangatnya bersemadi
Demi cinta pada tanah air sendiri


Dan dia diingati
Dan dia dikagumi
Saat sebelah kasutnya ditemui.....


7-2-09
2130


Kakinya Kudung Sebelah

Betapa manis gadis itu
Matanya memanah tajam bila memandang
Keningnya indah hitam sekali
Hidungnya mancung molek sekali
Betapa dia cantik saat senyumnya terukir
Dan bicara penuh optimis
'aku mahu terus belajar'
Aku jadi sebak
Menggetap bibir menahan air mata menitis
Menatap cekal hatinya
Biar masih terlantar
Dengan kain menyelimuti
Kakinya yang telah kudung sebelah

7-2-09
2115

Tuesday, March 3, 2009

Tugasan....

Dah agak lama tidak menulis...sibuk dengan pelbagai tugasan yang menuntut banyak masa dan tenaga. Masih banyak yang belum selesai. Namun yang pasti terasa masa menginjak begitu pantas, sedar tak sedar sudah hampir minggu ke sepuluh pengajian semester ini. Minggu di mana tarikh akhir untuk menghantar kebanyakan tugasan kursus. Agak kritikal juga menjelang minggu ini. Tambahan lagi tugasan-tugasan setiap minggu dan akhir sem, disertai ujian kedua yang bakal berlangsung pada minggu yang sama. Sungguh, kesibukan waktu belajar memang begitu menghimpit, namun, ia masih terselit kemanisan dan keindahan.


Walaupun sibuk menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran, petang tadi sempat juga saya mengikuti teman-teman keluar ke Sri Serdang. Tiada apa yang penting cuma seorang teman dengan suka rela ingin menunjukkan jalan ke sana...dengan kata lain jalan pintas...dengan kata lain lagi lompat pagar...=)....


Inilah kali pertama saya lalui pengalaman seperti ini. Walaupun ia bukanlah sesuatu kesalahan besar seperti zaman sekolah dulu. Namun, ia masih dikira tidak mematuhi tatasusila...panjat pagar? Boleh kata bertatasusila kah??? Apa pun, saya rasa teruja untuk melaluinya...dan terus-terang kami akan buat lagi..=)


Dalam keresahan dengan pelbagai tugasan, masalah dan isu yang melanda...terasa sedikit senang bila dapat keluar, walaupun seketika. Tambahan pula sudah lama tidak pulang ke rumah, agak tertekan juga terkurung dalam ruang institusi ini....barangkali tugasan yang menyebabkan tekanan itu. Lebih tertekan, rencana untuk pulang minggu ini terencat bila keluarga semua akan ke Kelantan menghadiri kenduri Abang Din. Nak ke Kelantan, rasa terlalu jauh pula perjalanan, maka keputusannya, terus terkurung di institusi ini...siapkan segala tugasan yang ada....