Pages

Wednesday, March 25, 2009

Menjelang terakhir....

Hampir semua tugasan sudah dihantar, pembentangan sudah tamat, ujian dan kuiz juga sudah hampir selesai semuanya....hanya menunggu peperiksaan akhir semester menjelang....


Tempoh 14 minggu pengajian semester pertama sudah hampir tiba dipenghujungnya, tinggal lagi dua minggu untuk minggu peperiksaan akhir yang berlangsung selama dua minggu untuk tiba. Ada rasa lega, bimbang, gembira, resah dan pelbagai lagi bercampur-baur. Lega dengan pengajian yang hampir selesai dan cuti panjang yang bakal menjelang. Bimbang dengan keputusan yang bakal diperoleh dalam semester pertama pengajian. Ah, perjalanan masih terlalu panjang untuk dimulakan dengan episod luka! Doa dan usaha akan terus digembleng demi menggapai impian dan cita-cita yang menggunung. Sungguh, saya pantang menyerah sebelum terbukti kalah!


Semester kali ini, banyak yang telah saya lalui. Antara pengalaman lalu dan pengajaran baru, saya semakin cuba memahami erti hidup yang sebenar. Dalam hempas pulas mendaki menuju puncak saya merasakan banyaknya pemandangan indah yang perlu dinikmati, henti sejenak dan memuji Pencipta atas anugerah yang tak ternilai harganya. Sungguh, tergelincir dan tersadung itu perkara biasa, tapi saya tak akan sesekali terduduk dan diam, sebaliknya terus bangkit dan menyambung perjalanan. Biar berkali khilaf dan silap, saya akan tegar mencari kebenaran. Doakan saya terus istiqamah....


Selepas ini, yang tinggal hanya program yang telah kami rancangkan sejak akhir semester lalu, doanya segalanya akan berjalan lancar. Saya sedar saya tidak menghulurkan usaha yang sepenuhnya untuk menjayakan program ini, sungguh saya masih tidak berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan, saya sewajarnya melakukan lebih lagi. Namun, saya bersyukur dengan kudrat yang Tuhan kurniakan untuk saya melaksanakan tanggungjawab saya sebaiknya. Alhamdulillah. Semoga diberkati selalu.


Pesta buku juga hampir menjelang, Alhamdulillah, pinjaman baru saja diperoleh, boleh juga membeli-belah buku-buku, sudah lama rasanya menahan diri kerana tiada modal untuk berbelanja. Semoga perbelanjaan ini juga berada dalam rahmat Allah. Buku-buku Faisal Tehrani pastinya pilihan utama, saya sudah tak sabar sebenarnya mahu membaca Tunggu Teduh Dulu, novel yang sudah agak lama tetapi masih belum saya tatapi. Alhamdulillah juga dengan kemasukan duit pinjaman ini saya dapat membantu seorang sahabat baik saya yang masih belum selesai menjelaskan yuran pengajian. Sungguh, tak ada apa yang lemah menyenangkan dari membuang beban seorang sahabat. Sungguh, saya benar-benar bersyukur. Harap hidup saya akan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya. Dan yang sangat-sangat saya ingin adalah teguh mencintaiNya, satu-satuNya......


Mungkin saya tidak akan sempat untuk menulis dengan lebih kerap lagi memandangkan mahu membuat persediaan untuk peperiksaan akhir, dan komputer riba ini akan digunakan adik saya. Doakan kejayaan saya dalam peperiksaan akhir... Semoga Allah sentiasa bersama-sama saya dan anda semua...

0 comments: