Pages

Wednesday, April 29, 2009

Di Pesta Buku

Puas berlegar-legar di ruang-ruang jualan buku di tingkat bawah dan menghabiskan hampir separuh dari belanjawan yang telah saya peruntukan untuk pesta buku kali ini. Saya mula melangkah ke tangga elektrik yang akan membawa saya ke tingkat atas. Memasuki ruang jualan di tingkat atas, sekali lagi saya jadi rambang mata dengan puluhan ruang jualan sama ada dari penerbit-penerbit buku mahupun pengedar-pengedar buku.

Saya berlegar-legar seketika. Berkira-kira untuk sekali lagi mengeluarkan wang dan memiliki mana-mana bahan bacaan yang saya kira wajar. Namun, ‘target’ utama saya masih belum saya temui. Saya bimbang saya terlepas berbelanja sebelum buku yang sekian lama saya ingini diperoleh. Saya sedar ruang jualan penerbit itu berada ‘di luar’. Maka saya segera mencari pintu keluar, meloloskan diri dari ruang jualan yang luas tapi padat itu. Di luar dewan, saya terpinga-pinga memandang ke arah ‘luar’ yang cuba saya fahami.

Tiba-tiba saya terpandang lelaki itu yang berbaju melayu biru muda dan bersongkok. Barangkali baru selesai dari menunaikan solat Jumaat. Entah mengapa jantung saya berdegup kencang dan terasa wajah mulai panas. Saya meneguk liur dan melangkah perlahan menuju ruang jualan yang terletak betul-betul di luar dewan bersebelah dengan pintu masuk.

Saya cuba menenteramkan rasa yang bergelora dalam jiwa. Berlagak selamba dan memilih buku-buku yang tersedia. Sungguh, memang saya selalu mahu menemuinya sejak terpaut dengan penulisannya yang sering saya tatap sejak di bangku sekolah menengah dan pesta buku adalah medium untuk bertemu dengannya saban tahun. Walau hanya sekadar menghulurkan buku meminta tanda tangan. Namun, tahun ini keinginan saya untuk bertemu dengannya tidak sekuat mana. Malah sebahagian kecil hati saya tidak berharap untuk menemuinya. Namun, bagai ‘berjodoh’ kami bertemu jua. Setelah membayar harga buku yang saya beli di kaunter. Saya menanti juga giliran untuk memperoleh tandatangannya.

Tak banyak yang saya bicarakan, sekadar mengucapkan nama untuk dia tuliskan dan bertanya tentang salah satu bukunya yang sudah habis di ruang jualan. Selesai, saya pamit memberi ruang pada beberapa lagi anak muda yang sedang menanti giliran untuk menyapanya. Ah, termasuk kali ini, sudah tiga kali saya melakukan rutin yang serupa saban tahun di pesta buku. Kadang-kadang ada fikiran nakal saya bertanya, agaknya berapa tahun lagi untuk dia mengenali ‘peminat setianya’ ini. Namun, saya sedar ada beratus, mungkin beribu lagi peminatnya di luar sana. Dan saya hanya seorang ‘pengkagum kecil’.

Rasa debar surut, dan saya melangkah kembali ke pintu masuk dan kembali melawat ruang-ruang jualan satu-persatu. Peruntukan yang saya sediakan saya gunakan sebaiknya. Setahun sekali di pesta buku, barangkali juga setahun sekali untuk saya membeli-belah buku. Tawaran potongan harga dan promosi cukup berbaloi berbanding kedai buku biasa.

Hampir pukul lima baru saya selesai. Ketika melintasi ruang jualan di mana dia berada, saya sempat melemparkan pandangan ke arahnya yang kelihatan sibuk meladeni para peminatnya. Saya tersenyum sendiri dan melangkah pulang dengan hati yang puas.

0 comments: