Akhirnya semester ini berakhir dengan kertas kursus Oral Interaction Skills. Separuh hati saya merasa lega. Beban yang berat ditanggung sepanjang semester berakhir jua. Akhirnya tiba masa untuk merehatkan diri dan minda terutamanya.
Saya sama sekali tidak menyangka kertas terakhir ini umpama ‘reunion’ pelaja asasi generasi ketiga. Ramai sekali sahabat-sahabat dari asasi yang kebetulan mengambil kursus yang sama di tempat yang sama. Lantaran itu, nota yang di pegang terbiar tanpa tatapan, dan persembangan rancak jadi gantian. Ah, bertemu kawan lama kadang-kadang begitu mengasyikkan. Selain bertanya khabar, banyak sekali berita terbaru saling bertukar.
Seusai tamat peperiksaan, saya bersama beberapa sahabat mengambil kesempatan itu bersarapan beramai-ramai di kafe Mamak di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Keriangan selesai peperiksaan bergabung bersama kebahagian bertemu sahabat, memang sukar untuk diterjemahkan.
Sesekali terselit perbincangan soal KEJATI yang di’sabotaj’ Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Sungguh, rasa kecewa memang sukar untuk saya lenyapkan dari hati walau saya sendiri tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi untuk ‘buah tangan pertama’ saya ini diluluskan lantaran banyaknya kes-kes sebelum ini yang menunjukkan bukti bahawa kelab kami sekadar ‘kambing hitam’ BHEP.
Namun, program yang telah dirancang sedari hujung semester lalu itu tetap diteruskan. Tentunya dengan belanjawan sendiri. Semoga Allah sentiasa memberikan pertolongan dan rahmatNya. Saya Cuma berharap diri saya terus istiqamah dengan tanggungjawab dan fikrah Islam. Saya bimbang niat yang tersemai bakal atau telah terpesong. Saya lebih-lebih lagi bimbang adakah keputusan kami ini adalah yang sewajarnya. Saya resah menanti tarikh terbabit menjelang. Berharap dan berdoa tiada sebarang kejadian buruk berlaku. Bertawakal dan berserah dengan setiap ketentuanNya dan berusaha sedaya upaya dengan kudrat yang dikurniakanNya.
Program yang dilaksana sendiri pastinya memerlukan perbelanjaan yang jauh lebih rendah terutama peruntukan pengangkutan yang pastinya sangat tinggi. Tidak termasuk makanan, penginapan dan lainnya. Faktor keselamatan lebih-lebih lagi perlu ditekankan. Doa saya segalanya berjalan lancar dengan rahmat dan kasih-sayangNya.
Selesai tentang KEJATI yang akan berlangsung 26-28 April ini, saya berkira-kira aktiviti apa yang ingin saya lakukan sepanjang cuti semester hampir 10 minggu ini. Melihatkan baki duit di dalam akaun yang semakin menyusut, ingin sekali rasanya bekerja sambilan menambah duit poket di samping menimba pengalaman baru. Barangkali rancangan ini boleh dipertimbangkan.
Cuti kali ini juga rancangan untuk mengadakan perjumpaan semula generasi ketiga SARJANA. Sungguh teruja juga untuk bertemu kawan lama yang lebih kurang 5 tahun tidak bersua. Sementelah saya meninggalkan sekolah di kaki bukit itu seusai Penilaian Menengah Rendah (PMR) iaitu ketika berusia 15 tahun. Namun, banyak faktor-faktor lain yang perlu dipertimbangkan walaupun waktu yang dicadangkan masih dalam lingkungan cuti saya. Doanya tiada aral yang melintang kali ini.
Apalagi yang ingin dibicarakan? Sekian waktu bergelut dengan buku akademik memang gian untuk menulis. Harapan untuk menyiapkan sekurang-kurangnya 6 buah cerpen tahun ini masih terbengkalai dengan tanpa satu pun yang selesai. Tengah hari tadi sempat meminjam 5 buah novel dari perpustakan universiti. Saya cuma mampu tersenyum sinis pada diri, mampukah menghabiskan novel-novel yang puratanya 300-400 muka surat itu dalam waktu kurang 2 minggu tempoh pinjaman. Tambahan pula esok saya akan ke Pesta Buku, menambah koleksi lagi. Pastinya buku yang lebih menarik yang saya beli nanti lebih saya dahulukan untuk tatapan. Biarlah, yang penting saya puas. Sekadar meminjam, tiada apa ruginya. Banyak saja buku-buku yang telah saya beli namun masih tidak habis ditelaah.
Untuk pesta buku esok, saya memperuntukan RM200 untuk membeli buku. Menyemak dari blog Faisal Tehrani, buku-buku beliau yang masih belum saya miliki saya kira tidak sampai RM 100 semuanya. Saya masih berkira-kira sama ada untuk membeli novel-novel karya Fatimah Syarha atau mungkin Hilal Asyraf penulis muda yang sebaya umur saya. Entahlah, selain novel Faisal Tehrani dan buku-buku berunsur ilmiah saya memang sangat berkira untuk membelanjakan wang demi membeli novel. Tidak berbaloi rasanya membeli jika membaca hanya sekali dan kemudian terbiar sepi berhabuk (Walau hakikatnya semua buku saya berhabuk kerana jarang diusik. Hanya kadang-kadang saja jadi tatapan bila muncul selera untuk membaca).
Biarlah, pasti ada buku yang menarik dan berbaloi untuk dimiliki esok. Sebut tentang cuti juga, rancangan untuk ke Langkawi bersama sahabat-sahabat terpaksa dibatalkan. Namun, keinginan untuk mendaki terasa begitu meluap-luap. Tak puas rasanya sekadar menjejak puncak angsi dalam program KEJATI nanti. Saya sudah berkira-kira untuk meninjau mana-mana hutan, bukit, gunung atau gua cuti nanti. Barangkali selepas bekerja mengumpul sedikit duit. Pastinya akan memujuk adik untuk menemani.
Oh ya, lesen memandu! Itu juga target saya cuti kali ini. Ah, saya rasa perlu merancang sebaiknya dan berbincang dengan keluarga apa yang patut didahulukan dan apa yang patut ditangguhkan. Apapun, harapan saya, cuti kali ini akan lebih bermakna dan memberi lebih banyak warna-warni ceria dalam hidup saya.
0 comments:
Post a Comment