Pages

Thursday, May 7, 2009

Dari Novel Ke Filem?

Selesai membaca Tunggu Teduh Dulu dalam masa kurang lebih dua hari. Untuk novel garapan Faisal Tehrani, saya kira ia agak mudah dihayati. Berbanding novel-novel beliau sebelum ini, yang mengambil masa paling kurang seminggu dan adakala hampir mencecah satu bulan. Sungguh, saya tak pasti adakah saya hampa atau hanya sedikit kecewa, hakikatnya berbanding novel-novel terdahulu, saya merasakan novel ini kurang unik dan istimewa.

Barangkali, novel ini bukan novel baru malah ditulis lebih lima tahun yang lalu, cuma saya yang terlewat memiliki. Maka pastinya Bedar Sukma Bisu lebih-lebih lagi menggetar kalbu dengan dramatik dan rentetan ilmu yang lebih dinamik. Ia kini malah diterjemah ke bahasa Inggeris. Sungguh, ia novel yang hebat dan Tunggu Teduh Dulu bukan lawannya, walau jalan cerita barangkali jauh berbeza kerana bagi saya Tunggu Teduh Dulu terlalu biasa. Sesuai dengan ungkapan pengarang di dalamnya, betapa ia cuma kisah kecil seorang wanita dan pastinya setiap jiwa punya kisahnya yang tersendiri.

Namun, 1515 lebih dahulu terilham sebelum Tunggu Teduh Dulu, kisah sejarah dengan teknik jungkir balik itu saya baca dua kali bagi benar-benar mengerti. Sungguh, ia adalah novel yang sangat saya gemari disamping Tuhan Manusia. Maka saya kira teknik penulisan Tunggu Teduh Dulu yang berepisod untuk siaran Utusan Malaysia barangkali menjejaskan kualiti dan idea. Ya, menulis untuk menyiapkan tugasan saban minggu kadang-kala berbeza tekanannya. Sungguh saya tak pasti tekanannya berbanding menulis sebuah novel pada satu tempoh waktu.

Walaubagaimanapun, kesederhanaan novel ini saya kira amat sesuai diadaptasi menjadi drama atau filem. Unsur-unsur suspens klise yang serasi dengan masyarakat kita pasti mudah menarik khalayak penonton jika dilayar perakkan atau diskrinkan dengan berkesan. Ditambah lagi pendekatan Islamik yang menekankan tauhid sangat mengesankan dan menginsafi pembaca dan penonton jika pendekatan ini turut dititikberatkan oleh penghasil karya pandang dan dengar.

Bercerita soal adaptasi, saya sempat menonton sebuah filem hollywood rasanya, bertajuk Slumdog Millionnaire. Juga sebuah filem adaptasi sebuah novel yang saya kurang periksa tajuknya. Filem yang memenangi beberapa anugerah di hollywood ini ternyata memang layak untuk dipuji.

Menonton filem bollywood dari hollywood pastinya memiliki banyak keistimewaan. Menampilkan sinematografi masyarakat India kelas bawahan yang menunjukkan India yang sebenar yang jarang-jarang ditampilkan dalam filem hollywood yang lebih senang menyerlahkan kebudayaan India yang penuh warna-warni di dalam mahligai sebesar istana. Penjelmaan filem ini menyedarkan masyarakat dunia hakikat yang berlaku di sebuah negara yang memang terkenal sebagai memiliki warga miskin teramai.

Indahnya filem ini kerana keunikan dan idea yang disampaikan penulis novel asal saya kira apabila seorang lelaki yang kehidupannya bergelumang dengan kemiskinan dan nasib yang buruk berubah 180 darjah apabila berjaya menjadi jutawan dengan takdir yang telah tertulis. Barangkali kerana ia sebuah cereka, fantasi seperti itu mudah direka. Namun, seperti kebanyakan filem bollywood yang tema utamanya cinta sejati yang sering berdepan halangan yang akhirnya akan tamat dengan kebahagiaan dan kegembiraan, begitu juga kisah ini, keperitan hidup dan kefakiran yang dilalui ditamatkan dengan sebuah anugerah bergelar jutawan.

Saya sering mendengar, filem-filem bollywood yang dihasilkan pasti mempunyai pengakhiran yang baik yang dalam bahasa Inggeris sering disebut, ‘happy ending story’, ini adalah disebabkan keperitan hidup yang dilalui masyarakatnya seharian. Menonton dilayar perak sebuah kisah penuh impian yang optimis pasti membuahkan semangat dan kelegaan dalam hati setiap warganya walau kisah itu umpama ‘fairy tale’ yang tak mungkin menjadi realiti untuk mereka.

Dari sudut yang lain, saya mengerti betapa media khususnya filem begitu berpengaruh sebagai bahan dalam membentuk pemikiran dan persepsi masyarakat. Maka ia bukanlah sesuatu yang sia-sia melabur jutaan dolar hanya untuk menyisipkan propaganda tertentu dalam sesebuah filem yang hebat. Sungguh, menonton Slumdog Millionnaire sedikit sebanyak memberi harapan betapa kemiskinan dan keperitan hidup sedikit sebanyak memberi harapan betapa masih ada jalan keluar dalam kehidupan yang yang biasa. Betapa ada yang tak mustahil untuk berubah. Itulah saya kira persepsi yang ingin ditanamkan pengarang dalam setiap yang menghayati karyanya. Selain kebaikan pasti akan mengatasi kejahatan.

Bagi saya nilai moral dalam filem ini sangat tinggi untuk dihayati. Menyoroti kehidupan sangat sederhana watak utama, penonton sama sekali disedarkan dan dibukakan mata. Sungguh, menghayati filem pasti lebih mengesankan berbanding novel, maka itulah saya kira keberkesanan sesebuah mesej yang lebih sampai kepada khalayak melalui filem yang baik berbanding novel yang baik.

Berbalik pada tajuk, saya percaya adaptasi novel-novel yang telah terbukti diterima baik khalayak masyarakat pelbagai kelas kepada filem pastinya sesuatu yang baik sekali. Barangkali perlu ada usaha giat dan komprehensif untuk melaksanakannya. Dan sebagai seorang peminat kecil industri seni dan sastera tanah air, saya kira kolaborasi yang erat pastinya bisa menghasilkan karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada khalayak yang menghayatinya.

0 comments: